SHAH ALAM - Ramai murid sekolah rendah tidak boleh membaca dan keciciran pelajaran akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu. Sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) juga dikatakan antara faktor pelajar hilang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ramai murid sekolah rendah tidak boleh membaca dan keciciran pelajaran akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu.

Sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) juga dikatakan antara faktor pelajar hilang fokus selain tahap kesihatan mental terganggu.

Pakar Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata, kini bukan masanya untuk menuding jari kepada mana-mana pihak kerana ia perlu diselesaikan segera.

"Pihak sekolah wajar menyegerakan program khas bagi membantu pelajar yang keciciran dan guru pula mengenal pasti pelajar yang tidak boleh membaca untuk dibantu melalui program khas.

"Bagi murid di sekolah rendah, kita boleh mengurangkan mata pelajaran mereka supaya lebih fokus kepada kemahiran membaca.

"Mengikut pengalaman saya, murid yang mempunyai IQ tipikal mereka boleh membaca dalam masa tiga bulan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambah beliau, murid istimewa pula memerlukan program khas secara individu iaitu guru akan mentafsir tahap pelajar dan akan mengajar mengikut penerimaan mereka

Bagaimanapun, beliau bimbang jika pandemik Covid-19 berlarutan dan murid tidak dapat ke sekolah seperti biasa menyebabkan hilang motivasi untuk belajar.

"Pada saya, pelajar yang keciciran ini dapat dibantu melalui pembelajaran di sekolah kerana dipantau oleh guru secara bersemuka dan mereka lebih mudah memahami.

"Selain itu, kesihatan mental pelajar juga antara punca utama mereka hilang fokus disebabkan pelbagai masalah yang dihadapi oleh keluarga di rumah dan di sekeliling mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, anak-anak juga mempunyai masalah yang jarang ibu bapa ambil tahu menyebabkan mereka mengalami tekanan, hilang fokus dan tidak bermotivasi.

"Ibu bapa memainkan peranan penting memantau kesihatan anak-anak di rumah dan bertanyakan kepada anak-anak jika mereka mempunyai masalah.

"Fizikal anak-anak memang nampak okey namun dalaman mereka pelbagai masalah yang disimpan mengakibatkan mereka mengalami kemurungan dan kebimbangan kerana budaya kita kurang memberi perhatian terhadap kesihatan mental kanak-kanak.

"Oleh itu, bagi mengatasi masalah pelajar yang tercicir ibu bapa dan guru perlu bersama membantu anak-anak,” katanya.

PdPR yang diguna pakai dalam tempoh dua tahun pandemik Covid-19 dilihat secara tidak langsung mencetuskan isu hilang motivasi untuk belajar dan membaca dalam kalangan pelajar, khususnya murid sekolah rendah.

Menurut laporan Bernama, Kajian Fakulti Pendidikan UKM yang diketuai Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor bagi 2020 menunjukkan 70 hingga 80 peratus guru melaporkan antara cabaran utama melaksanakan PdPR ialah mendapatkan perhatian/fokus pelajar serta kadar kehadiran tidak mencapai 80 peratus.

Klik di sini untuk terus membaca