TAHUN 2021 masih bergulat dengan dwi krisis utama, kesihatan dan ekonomi. Vaksin menjadi titik perubahan kepada pembukaan sektor sosial dan ekonomi negara. Lebih 24 juta rakyat Malaysia telah menerima dos pertama, manakala kes aktif masih sekitar 40,000 orang. Purata penggunaan katil hospital Covid-19 ialah 62.5 peratus. Tahun 2022, majoriti rakyat dijangka akan menerima dos penggalak dan ubat antiviral akan mula diperkenalkan.
Adakah ini pukulan terakhir? Belum tentu. Fasa peralihan ke endemik tertangguh. Varian Omicron disifatkan lebih berisiko kerana mengandungi lebih 30 jenis mutasi protein dan potensi kebolehjangkitan lebih tinggi. Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih mendebatkan risiko Omicron memandangkan data Afrika Selatan menunjukkan varian ini kurang berbahaya berbanding Delta.
Unjuran pertumbuhan ekonomi bergantung kepada kondisi kesihatan awam. Ekonomi negara diunjur berkembang sehingga 6.5 peratus pada tahun 2022 berbanding anggaran tahun 2021 iaitu sehingga 4 peratus. Unjuran beberapa institusi seperti World Bank (5.8 peratus), ADB (5.9 peratus), Moody’s Analytics (5.0 peratus), ICAEW (6.7 peratus), Nomura Group (7.0 peratus), MIDF Research (6.5 peratus) dan Maybank IB (6.0 peratus). Harapan lantunan semula yang positif.
Trajektori ekonomi negara didukung oleh beberapa faktor antaranya pembukaan aktiviti lebih luas, harga komoditi, permintaan global, penggunaan swasta dan perbelanjaan awam terhadap projek-projek infrastruktur. Walaupun begitu, kerajaan turut berwaspada dengan ruang fiskal yang semakin kritikal terutama sumber pendapatan baharu, perbelanjaan besar, defisit tinggi dan hutang semakin banyak.
PERSAINGAN POLITIK
Dua eksperimen politik memberikan gambaran baharu politik negara tahun 2022. Pertama ialah Pilihan Raya Negeri Melaka. Barisan Nasional (BN) telah bergerak solo dan mendabik dada dengan kemenangan besar, manakala Pakatan Harapan (PH) mencatatkan prestasi terburuk. Tidak dinafikan Perikatan Nasional (PN) mampu memberi signal baharu untuk mengisi vakum pertembungan dwi parti utama negara.
Kedua ialah Pilihan Raya Negeri Sarawak. Selain kemenangan majoriti lebih dua pertiga yang diraih oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), PH sekali lagi mengulangi prestasi terburuk seperti di Melaka. Situasi tersebut mengundang ketidakselesaan dalam kalangan parti komponen PH. Mungkin tahun 2022 akan menyaksikan penyesuaian baharu PH dalam persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Hal sama mungkin akan berlaku kepada UMNO terutama menjelang pemilihan parti tahun ini.
Ramai mahu melihat sejauh mana jangka hayat politik Melayu-Islam yang didukung oleh tiga parti teras, UMNO, Pas dan Bersatu. Sifir mudah ialah kembali kepada agenda penyatuan. Namun, pergeseran-pergeseran api kecil tidak mustahil membakar unggun penyatuan ummah dan akhirnya persaingan politik akan kembali kepada dominasi unipolar. Hegemoni politik sesuatu parti akan mengheret semula corak politik lama.
Perspektif baharu yang boleh dinilai ialah civil unrest. Tertarik dengan tulisan Robert Guest, Foreign Editor The Economist: "Pandemics can upend politics. A study of 133 countries between 2001 and 2018 finds that political unrest tends to peak two years after a typical epidemic starts. If so, 2022 will be a bumpy year”. Tidak semestinya agresif di jalanan. Protes kritikal di media sosial.
Tiga faktor yang memungkinkan hal itu terjadi ialah kemunculan politik Generasi Z, jumlah kelas menengah yang lebih vokal dan penggunaan rangkaian media sosial. Populisme dan pragmatik akan menjadi tema politik tahun 2022. Tambahan pula, PRU akan datang menjadi medan untuk mencengkam kembali penguasaan politik masing-masing. Siapa akan beroleh laba dengan mengekalkan prinsip politik masing-masing?
AGENDA 2030
Dekad ini menuju sasaran merealisasikan Agenda 2030 yang digarap daripada dimensi politik, ekonomi, sosial dan alam sekitar. Perubahan iklim adalah wacana penting global dan nasional. Pelestarian dan menolak degradasi alam sekitar merupakan faktor pemboleh ubah kritikal bagi pembangunan dekad ini. Kita tidak lagi akan bercakap soal kesedaran tetapi pembudayaan gaya hidup lestari.
Impak antropogenik selepas Revolusi Industri menyebabkan peningkatan gas rumah hijau dan mempengaruhi komposisi atmosfera. Pemanasan melampau, pencairan ais, kenaikan paras air laut dan perubahan ketumpatan hujan antara indikator yang memberi kesan langsung kepada bencana alam seperti banjir dan kemarau. Justeru, persiapan negara menghadapi bencana perlu diperkukuh lebih rapi.
Bencana banjir hujung tahun 2021 terutama di Selangor adalah satu wake up call kepada semua pihak untuk memainkan peranan penting. Laporan Banjir Tahunan 2020 merekodkan 132 kejadian banjir di Selangor, kedua tertinggi selepas Sarawak.
Aspek pembangunan yang meminggirkan faktor bencana tidak lagi relevan. Sebaliknya, pembangunan kental iklim yang merangkumi pelan mitigasi, adaptasi dan restitusi akan menjadi teras utama.
Bencana banjir khususnya akan menatijahkan kesan besar terhadap golongan rentan yang hanya mengharapkan sumber pendapatan daripada aktiviti agrikultur dan pekerjaan tidak formal. Ia akan meningkatkan kesenjangan pendapatan, insiden kemiskinan dan kemelaratan hidup. Dasar perlindungan sosial akibat bencana perlu disemak semula dan tampil dengan pelan lebih komprehensif dengan mengambil kira fiskal kerajaan.
Perancangan green new deal akan melibatkan kos besar termasuk kesan greenflation. Dasar tenaga, transformasi sektor air, konsep ekonomi kitaran dan kredit karbon antara isu-isu besar yang mengubah landskap pembangunan ekonomi negara. Malaysia juga mesti bersedia untuk mempersiap ekosistem baharu termasuk pengkanunan akta perubahan iklim, pendidikan alam sekitar dan pembiayaan yang lebih ampuh.
Sukar, rumit dan kompleks bukan bererti kegagalan. Pembangunan pasca pandemik menuntut persediaan yang lebih luas. Banyak lagi yang perlu dirungkaikan. Identiti bangsa, patriotisme, nilai mulia, proses pendidikan, pegangan agama, martabat bahasa, kerukunan masyarakat, institusi kekeluargaan dan pengekalan citra budaya. Konteks sudah berbeza. Pendekatan dan aktor politik juga mesti berubah. Cabaran baharu mesti dipikul dengan kredibiliti tinggi.
Adakah kita sanggup mendepani dekad mencabar ini?
* Mior Isfandy Mior Azizan ialah Setiausaha Akhbar Menteri Alam Sekitar dan Air
Klik di sini untuk terus membaca