HINGGA pagi 3 Januari 2022, suasana negara masih suram.
Ini bukan sahaja kerana gelagat sebahagian golongan politikus yang menjadikan ramai rakyat ‘menyampah siasah’; tetapi juga lantaran keadaan cuaca yang terus membimbangkan. Banjir yang bertali arus berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain; dari satu negeri ke negeri lain.
Gelagat politikus boleh diperbaiki dengan pendidikan yang berterusan kepada para pemimpin di Putrajaya dan di istana, kepada kelompok politikus yang semakin rakus dan kepada kumpulan pengikut yang tersepit dalam era Covid-19 ini.
Ia memerlukan satu jenis pembaharuan kecelikan akal (insight) semua kumpulan ini. Usaha yang sukar ini wajib diteruskan jika negara mahu maju dengan akhlak dan pencapaian yang tinggi.
Cara kerja yang lembab dan lambat pihak pemerintah yang mengutamakan birokrasi dan keseronokan majlis pelancaran rasmi mesti diubah berhadapan dengan tuntutan desakan atau urgency kecemasan.
Ini sewaktu banjir atau ketika apa-apa malapetaka yang melanda.
Rakyat yang terkandas di bumbung rumah selama satu atau dua hari adalah sebenarnya rakyat sebuah negara yang fikiran kepimpinan dan sistem penggera bencananya tidak maju-maju. Dalam masa sama, wujud sekumpulan rakyat cekap; yakni dalam bentuk kumpulan bukan kerajaan atau NGO.
Kita boleh diingatkan oleh maksud kata-kata Gautama Buddha dalam kitab agama Buddha Samyutta Nikaya yang diterjemahkan daripada laman sesawang Real Buddha Quotes (3 Januari 2022): "Apabila menjaga dirimu, engkau menjaga orang lain. Apabila menjaga orang lain, engkau menjaga dirimu.” Adakah keadaan alam sekitar luar daripada kawalan manusia? Cuba kita teliti hujan yang mencurah-curah dan kemarau yang mengeringkan bendang. Salji yang turun dengan tebal, tanah yang menggelongsor, dan air sungai yang melimpah ruah hingga menghanyutkan segala-galanya yang berada di lembah.
Sebenarnya tangan manusia memberi sumbangan kepada bencana alam; seperti maksud ayat Quran berikut: "Telah dizahirkan fasad di darat dan di laut dengan sebab tangan-tangan manusia; kerana ALLAH hendak mereka merasakan sebahagian daripada amalan mereka, supaya mereka kembali.” (Ar-Rum 30:41)
Fasad atau kerosakan ini merangkumi cara kehidupan manusia dalam pengendalian ranah ekofizikal serta juga ranah psikospiritual yang berkaitan dengan ranah psikososial.
Pendek kata, bila manusia tidak cermat dalam mengurus hayat eko-alam serta interaksi psikososial, maka keburukan hayatnya itu akan juga mengesani ranah psiko spiritualnya.
Bencana alam adalah fenomena tabii yang bercampur dengan akibat amalan jahat insan yang egosentrik. Ia tidak memikirkan akibat kerosakan yang dilakukannya kepada insan dan alam dalam masa setengah atau dua dasawarsa akan datang.
Kita tidak boleh memikirkan diri (self-centered) sahaja tanpa memikirkan kebajikan orang lain, kerana lambat laun kesan fasad yang kita abaikan itu akan menyelubungi hayat kita juga.
Golongan insan yang bijaksana ialah mereka yang berjaya melaksanakan amanah sebagai khalifah yang dilantik oleh ALLAH Taala untuk memakmurkan dunia dan alam ini. Apabila kelompok insan yang fasad dan fasik membanjiri masyarakat, pengaruh golongan insan yang bijaksana semakin terancam.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial
Klik di sini untuk terus membaca