BENCANA adalah suatu kejadian yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan negara, melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya.
Bencana banjir telah menjadi perhatian utama dalam beberapa dekad kebelakangan ini kerana risiko dan terdedahnya manusia kepada bahaya banjir, khasnya di kawasan bandar besar yang mempunyai taburan penduduk padat serta kadar binaan tinggi telah meningkat dengan signifikannya. Apatah lagi pengaruh perubahan iklim yang mempengaruhi Malaysia yang berpotensi meningkatkan bencana banjir.
Natijahnya, bencana banjir mewujudkan pelbagai impak. Dalam sesuatu bencana banjir, hampir seluruh masyarakat manusia menjadi mangsa yang mana sistem sokongan dalam masyarakat terjejas dan mekanisme penyesuaiannya juga musnah.
Kos tahunan yang dibelanjakan kerajaan dalam mengendali operasi bantuan bencana banjir melibatkan persiapan, penyelamatan, pemindahan, penempatan sementara, pembekalan makanan dan pakaian, serta pemuliharaan mangsa-mangsa banjir juga besar.
Dari segi kehilangan nyawa, hampir setiap tahun terdapat mangsa yang terkorban. Kerugian akibat banjir pula tertumpu pada kerosakan tanaman, ternakan, infrastruktur awam dan bangunan awam.
Malaysia pernah mengalami beberapa episod banjir buruk. Pada 15 Disember 2014 hingga 3 Januari 2015, lebih 200,000 orang terjejas sementara 21 terkorban. Banjir pada 2006 dan 2007 di Johor pula, telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM1.5 bilion dan mengorbankan 18 nyawa sementara 110,000 orang telah terjejas dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Sarawak juga pernah mencatatkan sejarah banjir paling teruk pada tahun 2009 dengan jumlah kerugian berjumlah RM300 juta.
Elak kesan lebih buruk
Bencana boleh berlaku pada bila-bila masa, namun apa yang boleh mengurangkan impak bencana adalah melalui sistem amaran awal. Justeru, ramalan berlakunya bencana seperti banjir, puting beliung, gempa bumi atau tsunami menjadi sebahagian maklumat semasa yang sangat dikehendaki manusia.
Hakikatnya, kejadian bencana alam sememangnya sukar diduga, tetapi ia mampu diramal bersandarkan teknologi, kepakaran dan kajian dijalankan. Dengan adanya satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Seharusnya kesemua data dan maklumat ini akan sampai ke tangan orang ramai hanya dalam beberapa saat saja menerusi aplikasi telefon pintar masing-masing. Adalah tidak praktikal jika teknologi unggul yang berjuta ringgit dibelanjakan, tidak digunakan dengan secara efektif.
Walaupun Malaysia bukan rantau yang sering dilanda bencana alam, sebarang ramalan atau amaran awal cuaca adalah cukup penting. Dengan adanya sistem ini, penduduk mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam menyelamatkan keluarga dan harta benda.
Persediaan negara Jepun menghadapi bencana boleh dijadikan contoh terbaik. Setelah berkurun pengalaman menghadapi bencana alam, Jepun telah berubah menjadi sebuah negara yang mempunyai persediaan lengkap.
Maka, perancangan menghadapi bencana banjir perlulah efektif. Tindakan tersebut meliputi tiga fasa iaitu kaedah mencegah krisis, tindakan terhadap krisis dan pemulihan daripada krisis bertujuan mengurangkan kerosakan ke atas harta benda dan nyawa. Selanjutnya, perolehan maklumat di peringkat awal dan komunikasi berkesan memainkan peranan penting dalam komponen sistem pengurusan bencana.
Pengurusan bencana pula perlu melibatkan tiga proses iaitu pembentukan pelan bencana, penyelenggaraan inventori sumber dan latihan kepada kakitangan agensi berkaitan serta orang ramai.
Justeru, kesedaran tentang bahaya banjir, persediaan menghadapi banjir dan amaran mengenai banjir mesti disampaikan dengan kerap terutamanya pada musim hujan.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca