SHAH ALAM - Faktor penggunaan gajet yang berlebihan dalam kalangan kanak-kanak terutama murid sekolah tahun satu, dua dan tiga adalah antara punca mereka tidak minat belajar sekali gus menyebabkan mereka sukar menguasai asas membaca.
Perunding Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh berkata, gajet merupakan alat ‘berhantu’ yang membuatkan kanak-kanak mudah ketagih sehingga menjejaskan motivasi, emosi dan psikologi mereka untuk belajar dan membaca.
"Kanak-kanak apabila sudah mendapat gajet di tangan, maka yang lelaki mereka akan bermain game manakala perempuan tengok drama sampai lewat malam kerana ketagih.
"Ini antara faktor minat dan juga motivasi untuk belajar dalam diri mereka menurun sebaliknya memilih bermain gajet berbanding membaca buku,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang pandemik turut menyumbang kepada kurangnya minat membaca.
"Apabila sesi persekolahan sekejap buka dan sekejap tutup, maka persekitaran ini turut mengakibatkan anak-anak tidak bermotivasi untuk pergi sekolah.
"Kalau di sekolah mereka ada cikgu berbanding di rumah. Apabila belajar seorang diri keadaan ini punca mereka cepat bosan selain lambat belajar."Justeru, guru kaunseling khususnya perlu menaikkan semangat murid-murid untuk kembali minat membaca,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hushim berkata, ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting untuk membugarkan semula semangat dan minat membaca dalam kalangan anak-anak.
Tambahnya, kanak-kanak pada usia tahun satu, dua dan tiga masih belum terlambat untuk membentuk, memupuk dan merangsang semula pemikiran mereka supaya minat belajar.
"Mereka masih boleh diselamatkan dan dibentuk untuk pandai membaca tetapi dengan syarat adanya inisiatif ibu bapa seperti membaca buku bersama anak-anak.
"Pada mulanya memanglah mereka tidak tunjuk minat kerana sudah terbiasa dengan gajet tiba-tiba perlu membaca buku tetapi ibu bapa perlu bertegas.
"Jika tidak mereka akan menyebabkan anak-anak semakin leka dan alpa seterusnya hilang minat belajar,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca