Beliau sebelum ini disingkirkan daripada jawatan itu oleh pihak tentera pada Oktober tahun lalu dalam apa yang dianggap sebagai satu rampasan kuasa ke atas kerajaan peralihan yang juga diwujudkan oleh tentera pada 2019.
Namun selepas Abdalla disingkirkan buat pertama kalinya daripada jawatan Perdana Menteri pada Oktober 2021 dan diletakkan di bawah tahanan rumah selama berminggu-minggu, beliau kemudian secara rasmi bersetuju untuk kembali memegang jawatan tersebut.
Sebelum ini, Abdalla dipilih oleh Majlis Kedaulatan memegang jawatan Perdana Menteri pada Ogos 2019 untuk mengawasi peralihan ke arah demokrasi setelah Bashir ditahan pihak tentera.
Beliau kemudian menyatakan akan menyelesaikan krisis ekonomi, menangani beban hutang dan mencapai perdamaian di negara yang telah lama dilanda dengan Perang Saudara itu.
Bagaimanapun, agak aneh apabila pihak tentera melakukan rampasan kuasa pada Oktober 2021 ke atas kerajaan peralihan yang ditubuhkannya sendiri selepas Abdalla menyatakan bahawa perpecahan dalam kerajaan sementara adalah krisis berbahaya dan terburuk sedang dialami oleh Sudan.
Ketua Tentera Sudan, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan yang mengetuai Majlis Kedaulatan iaitu sebuah badan pemerintah yang berkongsi kuasa dengan orang awam kemudian mengumumkan darurat di seluruh negara dan membubarkan majlis tersebut bersama kerajaan peralihan.
Dalam rampasan kuasa itu, beberapa pemimpin awam juga ditahan manakala protes jalanan oleh orang awam turut diadakan di negara tersebut.
Abdalla kemudian memegang jawatan itu buat kali kedua dalam sebuah kerajaan peralihan di bawah perjanjian yang ditandatanganinya dengan pemimpin tentera tersebut pada 21 November tahun lalu.
Selepas Majlis Kedaulatan itu dibubarkan, jeneral tentera tersebut pula melantik dirinya sendiri mengetuai majlis berkenaan.
Bagaimanapun, pihak penganjur protes pro-demokrasi menolak perjanjian itu dan puluhan ribu orang dijangka turun ke jalanan untuk memprotes pemerintahan Perdana Menteri tersebut yang dianggap tidak berkesan disebabkan oleh cengkaman kuasa yang kuat daripada pihak tentera.
**media[ 1404704 ]**
Pergolakan itu juga berlaku setelah Sudan yang pemerintahannya diketuai oleh seorang jeneral tentera bersetuju untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel pada Oktober 2020 dan pengumuman untuk menjalinkan hubungan diplomatik itu dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Donald Trump.
Semasa Trump membuat pengumuman itu, tentera Sudan telah mengambil alih pemerintahan daripada Omar al-Bashir yang telah menjadi pemerintah sejak tahun 1989 sehingga 2019 sebelum ditahan dan didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Bekas pemimpin Sudan itu ditahan tentera selepas orang awam terlibat dalam tunjuk perasaan besar-besaran ekoran tidak berpuas hati dengan pemerintahannya dan disebabkan kenaikan tinggi harga roti selain beliau dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana disyaki terlibat dalam kejadian pembunuhan kaum di negaranya.
Ketika pemerintahannya, AS pernah melakukan sekatan ke atas rejim Bashir yang sebelum ini melakukan rampasan kuasa pada tahun 1989 ke atas sebuah kerajaan campuran awam yang tidak stabil ketika beliau menjadi seorang pegawai tentera.
Dalam pada itu, Abdalla merupakan seorang ahli ekonomi yang berpendidikan Inggeris dan pernah bekerja untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi Afrika.
Rejim Bashir telah lama berada di bawah sekatan AS tetapi ketika era pemerintahan Abdalla, Washington mengeluarkan Sudan daripada senarai penaja keganasan.
Ekoran pengunduran Abdalla sebagai Perdana Menteri, Sudan iaitu sebuah negara yang mempunyai sejarah rampasan kuasa nampaknya sekali lagi terjun ke jurang politik baharu dan ironinya ialah harapan untuk melihat demokrasi terus subur masih belum dicapai.
Sebaliknya, krisis demi krisis pula yang berlaku di negara berkenaan. - Agensi Klik di sini untuk terus membaca