Terkini, peralihan dari Fasa 3 ke Fasa 4 melibatkan negeri Sarawak dan Kelantan berkuatkuasa Isnin dipersetujui Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 setelah mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Persoalannya, adakah terdapat kontradiksi antara keberadaan semua negeri dalam Fasa 4 PPN tatkala masih wujud kebimbangan berlakunya badai gelombang Omicron seperti yang melanda negara lain di dunia pada ketika ini.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Profesor Dr Mohamed Rusli Abdullah berkata, peralihan fasa bukan persoalan utama sebaliknya strategi penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang berada dalam Fasa 4 yang harus diberi perhatian.
"Sekiranya dalam Fasa 4 ini kita buka semua sektor seperti ekonomi dan sosial tanpa memperketat SOP maka ia akan menyebabkan kes (Covid-19) naik mendadak.
"Walaupun kes melibatkan varian Omicron setakat ini dilihat tidak mendatangkan penyakit serius, namun penjujukan genomic menunjukkan tahap kebolehjangkitannya adalah tinggi berbanding varian lain sebelum ini," ujar Mohamed Rusli kepada Sinar Premium pada Selasa.
Menurut Mohamed Rusli yang juga Pakar Perunding Epidemiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), masih banyak belum diketahui tentang varian Omicron dan masih terlalu awal untuk memandang rendah tahap keseriusan jangkitannya berikutan ketiadaan data klinikal mencukupi.
"Maka pematuhan terhadap SOP harus diteruskan sepanjang masa dan strategi surveilan klinikal misalnya adalah perlu bagi mendapatkan spektrum klinikal jangkitan COVID-19 yang disebabkan oleh varian Omicron.
"Walaupun sehingga kini Omicron hanya menyebabkan gejala ringan, namun masih terlalu awal untuk kita merasa terlalu selesa memandangkan kumpulan pesakit yang dijangkiti oleh varian ini masih dikira terlalu kecil.
"Peningkatan dan penularan kes secara meluas yang melibatkan pesakit-pesakit berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi serta julat umur ekstrem mungkin akan memberikan data epidemiologi klinikal yang lebih jelas.
"Namun pada masa sama, rakyat tidak perlu terlalu panik sebaliknya teruslah mengamalkan SOP pencegahan dan kawalan Covid-19 seperti penjarakan sosial dan memakai pelitup muka," katanya lagi.
Paling utama, tegas Rusli di sebalik peralihan semua negeri ke Fasa 4 PPN jangan memberikan persepsi yang salah kepada masyarakat.
"Peralihan memasuki Fasa 4 ini bererti menghampiri fasa endemik namun ia tidak bermakna kita boleh leka dan lalai.
"Sebaliknya kita perlu memastikan masyarakat faham bahawa peralihan fasa tersebut merupakan satu keputusan pentadbiran (administrative decision) sedangkan daripada segi kawalan penyakit itu sendiri kita masih belum menang sepenuhnya," ujar Mohamed Rusli.
Ditanya sama ada situasi semasa banjir yang melanda di beberapa negeri pada ketika ini akan 'mencacatkan' peralihan semua negeri ke fasa akhir PPN, Mohamed Rusli berkata prosedur mitigasi mencegah Covid-19 perlu diterapkan terutama di pusat penempatan sementara banjir (PPS).
Antaranya memastikan sekretariat dan pengurus PPS dilatih untuk melaksanakan SOP, saringan kesihatan dan Covid-19 berdasarkan penilaian risiko, ujian RTK-Ag, penempatan mengikut famili dan PPS khas untuk kuarantin dan merawat kes positif dalam kategori 1 dan 2 di samping SOP lain.
"Pada masa sama semua lapisan masyarakat harus memainkan peranan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.
"Kita tidak boleh hanya mengharapkan KKM misalnya untuk memastikan SOP dipatuhi sebaliknya perlu koordinasi pelbagai pihak," katanya. Klik di sini untuk terus membaca