SHAH ALAM - Kerajaan seharusnya memberikan tempoh sekurang-kurangnya satu atau dua bulan untuk merealisasikan tempahan umrah yang telah dibuat sebelum menangguhkan perjalanan jemaah yang berkuat kuasa pada 8 Januari depan. Naib Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan seharusnya memberikan tempoh sekurang-kurangnya satu atau dua bulan untuk merealisasikan tempahan umrah yang telah dibuat sebelum menangguhkan perjalanan jemaah yang berkuat kuasa pada 8 Januari depan.

Naib Presiden Haji dan Umrah Bumitra, Shamsulnidza Mudari berkata, dengan itu, mereka dapat memastikan segala perjalanan dapat diatur lebih sempurna mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Apabila diberi tempoh sehingga 7 Januari tarikh terakhir jemaah boleh berangkat ke tanah suci sebenarnya menimbulkan banyak implikasi kepada pengendali dan jemaah umrah sendiri.

"Ini disebabkan kita telah merancang perjalanan jemaah sejak Disember sehingga Ramadan dan setiap tempahan telah pun diatur.

"Jadi apabila diberi peluang hanya dalam masa tujuh hari, ia amat memberi kesan kepada pengendali umrah dan jemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Wacana Sinar Harian edisi ke-315 yang bertajuk 'Sekat Umrah, Antara Logik, Diskriminasi atau Nyawa?' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For Covid-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar dan Pengasas Into Taqwa Malaysia dan I Taqwa Care, Fara Othman manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut mengenai penglibatan Bumitra dalam keputusan penangguhan tersebut, Shamsulnidza akui, pihaknya hanya dipanggil setelah keputusan itu telah pun dibuat, bukan ketika ia sedang dibincangkan.

"Perbincangan tersebut hanya memanggil persatuan yang tidak memahami perjalanan umrah itu sendiri, tidak perlu saya sebut persatuan apa.

"Sebaliknya, persatuan kami yang ahli-ahlinya mempunyai lesen umrah dan haji tidak dipanggil untuk membincangkan tentang implikasi penangguhan keberangkatan jemaah umrah secara serta-merta.

"Perancangan umrah ini memang kompleks kerana ia melibatkan kerajaan Arab Saudi di mana visa perlu dikeluarkan dan tiket penerbangan juga perlu dibayar terlebih dahulu.

"Jadi apabila dibuat penangguhan, buat masa ini syarikat penerbangan tidak akan memulangkan kembali wang yang telah dibayar. Cuma mereka akan panjangkan tempoh sehingga kerajaan buka semula perjalanan untuk jemaah menunaikan umrah,” jelasnya.

Beliau berharap kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menjalankan kajian lebih terperinci demi memenuhi keinginan rakyat terutamanya jemaah umrah yang telah tertangguh perjalanannya.

"Saya harap penangguhan sementara ini dapat dibatalkan dan memberi ruang, peluang serta harapan kepada jemaah untuk menunaikan umrah dengan SOP yang ketat,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca