SHAH ALAM – Kerajaan sepatutnya menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang sama rata dalam isu menangani jangkitan Covid-19 termasuk dalam soal mengawal penularan varian-varian baharu.
Pengasas Into Taqwa Malaysia & I Taqwa Care, Farah Othman berkata, ia termasuk dalam soal sekatan mengerjakan umrah yang kini menimbulkan persepsi kurang senang masyarakat.
"Jangan hanya sekat penerbangan ke (Arab) Saudi untuk umrah kerana varian Omicron juga banyak menular di United Kingdom, Turki dan negara-negara lain termasuk negara jiran.
"Rakyat Malaysia faham kenapa ini (umrah) dihentikan sementara tapi kerajaan perlu laksanakan (sekatan) dengan lebih logik, kenapa umrah sahaja?
"Masyarakat juga akan persoalkan kerana kita sudah ambil suntikan vaksin, dos penggalak dan ikut SOP yang ditetapkan,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar yang membincangkan topik ‘Sekat Umrah, Antara Logik, Diskriminasi atau Nyawa?’ pada Selasa.
Program yang disiarkan di platform digital Sinar Harian itu turut menampilkan Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For Covid-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar dan Naib Presiden Bumitra, Shamsulnidza Mudari sebagai panelis.
Farah pada masa sama menekankan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menambah baik komunikasi kepada masyarakat khususnya isu-isu yang yang boleh menimbulkan sensitiviti agama Islam.
Katanya, kerajaan juga sepatutnya mempunyai pendekatan yang sewajarnya apabila mula membuka sempadan untuk rakyat keluar negara.
"Saya percaya rakyat Malaysia mengamalkan SOP yang sepatutnya. Jemaah kita sangat ikut peraturan. Saya berharap KKM boleh buat pendekatan yang lebih baik dan memperbaiki penerangan daripada aspek kesihatan dan SOP.
"Setiap negara, SOP akan sama. Pemakaian pelitup muka, ujian saringan Covid-19... tetapi bagaimana sesebuah negara itu dapat menangani Covid-19 juga termasuk dalam kestabilan politik negara,” katanya.