SHAH ALAM – Malaysia sepatutnya sudah boleh bergerak ke hadapan berbanding negara-negara lain dalam soal untuk keluar daripada pandemik Covid-19. Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For Covid-19 (VCEE19), Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – Malaysia sepatutnya sudah boleh bergerak ke hadapan berbanding negara-negara lain dalam soal untuk keluar daripada pandemik Covid-19.

Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For Covid-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, data statistik menunjukkan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) yang menurun juga membuktikan tahap imuniti di Malaysia pada tahap yang baik.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan mungkin tidak mempunyai keyakinan yang kuat sebagaimana yang dirasakan masyarakat menyebabkan masih wujud sekatan yang sepatutnya boleh diuruskan dengan lebih baik.

"Sebenarnya kita yakin dengan adanya kadar pengambilan vaksin yang tinggi dalam kalangan masyarakat, dan perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kita boleh keluar daripada pandemik dalam masa terdekat.

"Kita rasa (kadar jangkitan Covid-19 di negara) kita stabil dan sepatutnya sudah ke depan, boleh jadi endamik dan longgarkan SOP, kemudian buka sempadan dan bergerak ke depan dari negara-negara lain.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu gunakan data-data sains tempatan dan beri keyakinan yang kuat. Tapi kerajaan mungkin tidak mempunyai keyakinan tersebut,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar yang membincangkan topik ‘Sekat Umrah, Antara Logik, Diskriminasi atau Nyawa?’ pada Selasa.

Program yang disiarkan di platform digital Sinar Harian itu turut menampilkan Naib Presiden Bumitra, Shamsulnidza Mudari dan Pengasas Into Taqwa Malaysia & I Taqwa Care, Farah Othman sebagai panelis.

Mengulas lanjut, Dr Zainal mencadangkan kepada kerajaan supaya menyemak semula keputusan mengadakan sekatan umrah kepada semua pemegang taruh dan menggunakan kepakaran serta data-data analisis.

Katanya, sekatan berkenaan tidak perlu dibuat untuk tempoh masa yang panjang.

"Kita boleh mengurangkan risiko dan tidak memberi persepsi yang salah iaitu sehingga timbul isu pilih kasih dan sebagainya.

"Kerajaan perlu duduk dan melihat jalan tengah. Pada saya, sekatan ini hanya untuk stabilkan keadaan. Dalam dua minggu kita sepatutnya boleh susun semula SOP dan arahan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca