KITA sering mendengar hukum agama dibacakan berkaitan solat, puasa, haji dan umrah. Tidak kurang juga hukum-hakam berkaitan bersuci (taharah) dibincangkan secara terperinci di masjid-masjid dan kitab.
Ia tidak salah. Ia betul kerana hukum-hakam ibadat penting untuk membetulkan hubungan hamba dengan Tuhannya. Namun, jangan pula tentang hukum-hakam yang lain.
Islam bukan hanya agama yang mengatur hubungan manusia dalam ibadat. Islam mengatur urusan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan haiwan. Lebih dahsyat, Islam mengatur hubungan manusia dengan alam.
Oleh itu, hukum-hakam penjagaan alam perlu dititikberatkan kepada masyarakat Islam. Jika diteliti dalam hadis Nabi SAW, kita dapati begitu banyak petunjuk baginda tentang penjagaan alam sekitar. Nabi SAW melarang umatnya membazirkan air ketika berwuduk.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya akan muncul dalam kalangan umatku satu kaum yang melampau dalam bersuci dan berdoa.” (HR Abu Daud, hadis 96 dengan sanad sahih)
PEMBAZIRAN
Melampau dalam bersuci itu menurut al-Munawi adalah berlebihan menggunakan air di luar daripada keperluan. (al-Munawi, Faidh al-Qadir, jilid 4, halaman 130).
Selain melihat dari sudut ekonomi, larangan pembaziran perlu dilihat dari sudut menjaga sumber asli daripada disia-siakan tanpa tujuan dan manfaat.
Penjagaan alam sekitar adalah salah satu cara manusia menghargai nikmat ALLAH di atas muka bumi ini. Oleh sebab itu, Nabi SAW melarang seseorang membuang air besar atau kecil di laluan orang dan di tempat orang berteduh seperti dalam hadis riwayat Muslim.
Nabi SAW juga melarang memotong pokok bidara yang bermanfaat tanpa alasan yang syar’ie seperti diriwayatkan Abu Daud (hadis 5,241 dengan sanad sahih).
Semua itu untuk memberikan pedoman kepada manusia bahawa penjagaan alam dan persekitaran merupakan perkara yang perlu dijaga manusia.
Saya pernah berkunjung ke beberapa negara Barat. Saya melihat kesedaran rakyatnya dalam menjaga alam lebih tinggi daripada rakyat negara Muslim. Sedangkan, kaum Muslimin sepatutnya menjadi contoh dalam penjagaan alam.
Beberapa kali saya masuk ke tandas awam melihat air paip dibiarkan terbuka, sedangkan tidak ada orang menggunakan. Entah berapa lama ia dibiarkan mengalir dalam pembaziran.
Adakah kita fikir orang akan percaya bila kita menyebut Islam adalah penyelesaian kepada dunia, sedangkan tandas orang Islam pun tidak berjaya dijaga dengan betul?
BUKA MATA
Benar, kita tidak ada sedikit pun kesangsian bahawa Islam sememangnya penyelesaian tetapi malangnya, umat Islam hari ini meninggalkan panduan Islam dengan membuat masalah dan merosakkan alam.
Banjir di Malaysia baru-baru ini dengan lambakan kayu balak hanyut membuka mata kita semua. Sudah sampai masanya kita mendesak siasatan terperinci dan telus dilakukan jika ada salah guna kuasa atau pencerobohan undang-undang berlaku sehingga membahayakan nyawa rakyat serta merosakkan alam sekitar.
Ingatlah, alam ini milik ALLAH. Kita wajib menjaganya dan memakmurkannya. Ini ajaran Islam!
Kepada agamawan, bangkitlah dan bercakaplah tentang kewajipan menjaga alam. Berikanlah peringatan kepada pemimpin atau pemerintah yang merosakkan alam ini.
Kepada pemimpin, jika benar kalian amanah, ambillah tindakan sewajarnya kepada perosak alam. Ingatlah kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin, setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (HR al-Bukhari).
* Profesor Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle ialah Ketua Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Klik di sini untuk terus membaca