PADA pendapat Awang, kita jangan ambil mudah isu murid-murid yang tak boleh membaca walaupun sudah darjah tiga seperti yang didedahkan oleh akhbar ini. Ini soal yang serius.
Banyaklah faktor yang menyebabkan hal itu berlaku. Antaranya disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lockdown akibat pandemik Covid-19. Pada tahun 2020 dan 2021, selama beratus-ratus hari sekolah tidak boleh dibuka.
Pada peringkat tadika dan darjah rendah, amat penting murid-murid mendapat pendidikan paling asas untuk menulis, membaca dan mengira. Mungkin ada ibu bapa yang berkemampuan mengajar sendiri anak mereka.
Pada waktu yang sama banyak juga yang bergantung pada Sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR). Tapi kita tahu sistem itu banyak kelemahannya.
Banyak ibu bapa yang tidak punya gajet secukupnya untuk tujuan itu.Memang ada yang hantar anak-anak ke kelas tuisyen untuk memperbaiki keadaan. Tapi tak semua ibu bapa mampu berbuat demikian. Lebih-lebih mereka yang hilang pekerjaan akibat pandemik dan baru-baru ini dilanda banjir besar pula.
Awang setuju sangat cadangan untuk diadakan program khas untuk bantu murid-murid yang tercicir. Mungkin ada kaedah untuk mempercepatkan proses murid-murid ini pandai menulis dan membaca.
Ada yang kata mereka merupakan generasi yang hilang. Bagi Awang yang penting, mereka perlu diselamatkan.
Klik di sini untuk terus membaca