SHAH ALAM - Prosedur operasi standard (SOP) atau syarat yang ditetapkan oleh pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membebankan pengusaha kantin untuk menjalankan perniagaan mereka.
Pengusaha kantin di Sekolah Kebangsaan KLIA, Roswati Shalina Abdul Razak, 46, berkata, meskipun SOP ketika ini membenarkan pelanggan makan di restoran, di sekolah murid tidak dibenarkan makan di kantin.
Jelasnya, perkara tersebut menyebabkan ramai pelajar memilih untuk tidak turun membeli di kantin ketika waktu rehat sebaliknya membawa bekal dari rumah sahaja.
"SOP yang dikenakan memang membebankan. Kalau kita tengok sekarang orang awam sudah boleh makan di kedai tetapi di sekolah masih tidak dibenarkan.
"Selain itu, terlalu banyak syarat yang pengusaha kantin tidak boleh jual makanan. Malah kami juga diminta untuk hantar makanan ke kelas, namun 30 peratus ibu bapa tidak membayarnya,” katanya.
Pada masa sama, Roswati Shalina berkata, pengusaha kantin juga perlu bayar kadar sewa penuh bermula Januari meskipun sekolah melaksanakan sistem penggiliran kehadiran.
Jelasnya, tempahan makanan juga tidak sampai 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar yang hadir ke sekolah.
"Kami terpaksa bayar sewa penuh antara RM1,600 sehingga RM 2,800 tetapi kehadiran pelajar ke sekolah sukar untuk capai 50 peratus ditambah pula dengan sistem penggiliran ketika ini.
"Sebelum ini, jualan boleh mencecah sehingga RM2,500 tetapi sekarang kalau dapat RM500 pun saya sudah bersyukur. Ada kalanya sehari hanya dapat RM300 sahaja, jadi mana kami mahu cari duit, nak bayar gaji pekerja dengan harga barang pun naik,” ujarnya.
Justeru beliau menggesa agar pihak KPM dapat menurunkan kadar sewaan kepada separuh harga memandangkan sekolah ketika ini menggunakan sistem penggiliran.
"KPM perlu melihat secara menyeluruh. Bukan hanya lihat kesan dan masalah kepada pelajar serta guru semata-mata tetapi kami juga selaku pengusaha kantin.
"KPM sepatutnya turunkan kadar sewa sekiranya tidak mampu untuk memberikan secara percuma. Api air pun kami kena bayar juga.
"Kalau dikirakan dari Januari hingga Mac, tempoh persekolahan hanya dalam anggaran 31 hingga 32 hari sahaja. Yang lain, semua cuti sekolah. Bagaimana kami mahu pusing duit kami? ” soalnya.
Ujar beliau, apabila kadar sewaan tidak diturunkan, rata-rata pengusaha kantin sukar untuk memulakan operasi dan akan menghadapi kerugian yang besar.
RISIKO GULUNG TIKAR
Seorang pengusaha kantin sekolah di daerah ini mengakui terpaksa menutup operasi di dua buah sekolah akibat menanggung kerugian berterusan sejak dua tahun lalu susulan negara dilanda pandemik Covid-19.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Salina, 47, berkata pengusaha kantin amat terkesan akibat penutupan sekolah dalam tempoh lama selain sistem penggiliran pelajar yang dilaksanakan, menyebabkan berlaku kenaikan kos serta mengalami kerugian.
Menurutnya, jika keadaan berterusan, tidak mustahil ramai pengusaha kantin gulung tikar kerana tidak sanggup lagi menanggung rugi.
"Ada sekitar 10 pengusaha kantin yang saya kenali sudah pun menutup operasi, mereka tidak lagi berniaga sebab kos operasi lebih tinggi berbanding keuntungan. Ada yang teruskan operasi namun mungkin bertahan hingga tahun ini saja,” katanya.
Salina berkata, keadaan itu juga menyebabkan dia terpaksa mengurangkan kos operasi dengan menarik diri daripada empat buah sekolah kepada dua sahaja.
"Sudah dua tahun kami tertekan dengan keadaan ini. Keuntungan tak berbaloi, sekiranya 200 pelajar hadir ke sekolah namun belian di kantin tidak cecah RM300. Barang mentah sahaja sudah RM350, tidak termasuk gaji pekerja RM200. Kos melebihi daripada apa yang kami dapat,” katanya.
Menurutnya, kos operasi yang semakin meningkat dengan kehadiran murid yang berkurangan akibat sistem penggiliran menyebabkan pendapatan menurun, malah terpaksa pula mengeluarkan duit simpanan untuk menampung perbelanjaan.
"Banyak aspek perlu difikirkan, gaji pekerja perlu bayar, kos barang mentah tinggi, penyelenggaraan untuk pastikan kebersihan, sebab itu saya terpaksa tarik diri dan fokus kepada dua buah sekolah sahaja.
"Ada pekerja pun ramai berhenti sebab sekolah tak dibuka, mereka cari kerja lain yang pendapatan lebih stabil. Kalau keadaan berterusan begini, saya pun tak pasti hingga bila mampu bertahan,” katanya.
Salina berkata, bagi menambah pendapatan sampingan, dia mengambil tempahan jamuan, majlis kenduri atau upah memasak untuk keramaian, namun agak terbatas akibat pandemik.
"Saya harap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengar rintihan kami. Bantulah kami setakat yang boleh agar kami dapat terus beroperasi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca