DULU-DULU, jika disebut X dan Y, orang cuma tahu kedua-duanya adalah abjad dalam tulisan rumi. Paling lebih ia digunakan sebagai simbol dalam ilmu hisab atau sekarang ini dikenali sebagai matematik.
Huruf X juga ada ketikanya digunakan sebagai lambang untuk menunjukkan sesuatu yang tidak diketahui, tidak pasti atau sengaja tidak mahu diberitahu atau dirahsiakan, misalnya planet X, titik X dan sebagainya.
Satu lagi, X turut digunakan untuk menggambarkan sesuatu tidak senonoh. Buku X. Gambar X. Filem X. Kalau X itu berderet tiga kali iaitu XXX, maka tahap ketidaksenonohannya sudah tidak boleh dikompromi.
Selain jantina, bangsa dan agama, manusia lazimnya dikategorikan mengikut umur. Dulu-dulu istilah selalu digunakan untuk menunjukkan peringkat umur seseorang adalah kanak-kanak, remaja, belia, pemuda, dewasa dan tua. Yang terakhir itu kemudiannya dimaniskan dengan sebutan warga emas. Itu dahulu.
Zaman sekarang, generasi masa kini lebih sering disebut ‘zaman now’, kumpulan generasi manusia semakin jarang dikategorikan dengan istilah-istilah lama. Sebaliknya, mereka dikelaskan dengan huruf-huruf X, Y dan Z.
Maka dari situ muncullah Gen X, Gen Y dan Gen Z. Antara ketiga-tiganya pula yang paling kerap disebut adalah Gen Y.
Tetapi jangan terkejut jika dikatakan banyak dalam kalangan yang menyebutnya itu tidak tahu secara jelas apa dimaksudkan Gen Y. Mereka menyangka asalkan orang muda sahaja semuanya termasuk kategori Gen Y. Hakikatnya bukan begitu.
Gen Y khusus kepada kalangan berumur antara 25 hingga 40 tahun. Kalau muda tetapi umurnya di bawah 25, dia termasuk dalam Gen Z. Kalau awet muda tetapi umur sudah mencecah 50 tahun seperti saya, ia berada dalam kumpulan Gen X.
Secara mudahnya, Gen Y sekarang adalah mereka yang lahir antara 1981- 1996, Gen X (1965-1981) dan Gen Z (1997-2012). Tetapi jangan pula tersilap, tahun-tahun kelahiran itu berubah mengikut pergerakan masa.
Jika anda bercakap tentang Gen Y 50 tahun akan datang, ia adalah merujuk mereka yang lahir antara 2032 hingga 2047. Yang lahir pada 1981 hingga 1996, yakni puak Gen Y sekarang ini pada masa itu kebanyakannya mungkin sudah termasuk dalam kumpulan ahli-ahli kubur.
PENGKELASAN
Generasi yang lahir sebelum generasi X, tidaklah pula disebut Gen W tetapi dikenali sebagai Generasi Baby Boomers, manakala yang lahir selepas Gen Z pula disebut Gen Alpha.
Bagi orang ‘biasa-biasa’ pengkelasan generasi mengikut kumpulan itu tidaklah penting. Mungkin kerana ia kelihatan agak akademik atau mungkin kerana penggunaannya belum begitu menyeluruh.
Di kampung saya misalnya, jika diberitahu ada perempuan daripada Gen Z berkahwin dengan Baby Boomers, saya yakin tiada siapa akan ambil kisah. Tetapi jika disebut ada gadis belasan tahun berkahwin dengan warga emas, tentu ramai akan terbeliak biji mata. Mungkin saya antara yang mula-mula.
Bagaimanapun, dalam ilmu kehidupan, pengkelasan generasi ini amat besar peranannya. Lebih-lebih lagi dalam hal berkaitan pengurusan dan pemasaran, sama ada dalam politik, perniagaan atau apa sahaja bidang yang secara umumnya menjadikan pemahaman terhadap karakter manusia sebagai pemangkin utama terhadap pencapaian dan kejayaan.
Setiap generasi dikelaskan itu mempunyai watak atau karakter tersendiri. Mereka dibentuk oleh era di mana mereka dilahirkan dan dibesarkan. Ia menyebabkan corak fikiran, nilai, kehendak dan keperluan mereka berbeza antara satu generasi dengan generasi lain.
Baby Boomers sebagai contoh, melalui pengalaman hidup yang sukar dalam dunia serba kekurangan sama ada dari segi kemajuan prasarana mahupun teknologi.
Mereka bergantung penuh pada upaya sendiri. Kudrat memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Ilmu jika ada, menjadi bonus. Kerajinan membanting tulang empat kerat akan menjadi penentu susah senangnya hidup.
Keadaan mereka agak berbeza dengan generasi X yang lebih dipengaruhi oleh nilai-nilai baharu agak kontradik dengan nilai-nilai sebelumnya.
Anak-anak generasi X lebih berani mempersoalkan nilai-nilai lama, lebih terpengaruh dengan sesuatu yang baharu dan mereka dianggap moden serta lebih berani mengambil risiko berbanding generasi terdahulu.
Generasi itu tidak teragak-agak berhijrah ke tempat yang mereka yakini boleh memberikan peluang dan pengalaman lebih baik. Namun, kehidupan mereka tidaklah mudah.
Mereka masih perlu bekerja keras. Jika hendak mengeluarkan wang di bank, mereka masih perlu berbaris. Jika melakukan kesilapan semasa menaip, mereka masih perlukan cecair pemadam atau tong sampah!
Ledakan perubahan sebenar berlaku pada Gen Y yang dikenali juga sebagai generasi milenium. Mereka adalah warga digital yang membesar bersama kemajuan teknologi pesat. Sebahagian mereka bermula dengan analog tetapi kemudian ‘berhijrah’ ke dunia digital yang menyaksikan hampir semua aktiviti dikuasai oleh skrin.
RUKUN PENTING
‘On’ dan ‘off’ pula menjadi rukun penting dalam kehidupan. Cara mereka melihat dunia, masalah dan penyelesaiannya tidak sama dengan generasi sebelum mereka, apatah lagi generasi Baby Boomers.
Bagi mereka, semua perkara jika kena caranya adalah mudah. Tiada lagi istilah membanting tulang empat kerat. Yang ada adalah work smart bukannya work hard.
Gen Z yang bakal menerajui dunia beberapa dekad dari sekarang adalah generasi internet. Malah, internet adalah DNA mereka. Ia segala-galanya – medan ilmu, tempat bermain, tempat membeli-belah, tempat mengadu, tempat melepaskan geram dan sebagainya.
Mereka mungkin tidak berulang-alik ke tempat kerja tetapi mereka adalah pengusaha atas talian yang berjaya atau gamer profesional kaya raya.
Mereka juga mungkin mengasingkan diri daripada masyarakat tetapi suara merekalah paling lantang apabila memperkatakan sesuatu isu. Mereka tidak perlukan pentas, tidak perlukan mikrofon. Berikan papan kekunci, sesiapa sahaja mereka boleh puji dan sesiapa juga mereka boleh maki!
Siapa pun kita, apa pun kita lakukan, selagi ia melibatkan manusia lain, maka selagi itulah kita harus berusaha memahami mereka. Sebab itulah, seperti telah saya nyatakan, kelas-kelas generasi ini penting dijadikan panduan.
Kita tidak boleh ‘tangkap borong’ dengan mempercayai bahawa semua manusia tidak kira apa peringkat umurnya mendukung nilai-nilai yang sama.
Jika anda datang daripada generasi Baby Boomers yang melihat orang berkurung di bilik sebagai pemalas, jangan cuba-cuba gunakan label sama kepada anak-anak Gen Y dan Gen Z. Cara rajin generasi itu tidak sama dengan cara rajin mereka.
Dalam proses memahami perbezaan itu, banyak anjakan terpaksa kita lakukan. Dan itulah cabaran terbesar perlu dihadapi jika mahu berjaya dalam ‘zaman now’.
Kita bukan sahaja perlu bersedia berubah tetapi harus bijak menguruskan perubahan. Jangan nanti bila tengok orang jual tablet, kita pun jual tablet. Orang jual pada Gen Z, kita jual pada Baby Boomers yang lebih memerlukan ‘tablet pill’ daripada ‘tablet pc’. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca