SHAH ALAM - Seorang pengusaha kantin membuat keputusan mengurangkan kos operasi bulanan kantin untuk sesi persekolahan tahun ini sebanyak enam kali ganda kos berbanding tahun lalu. Muhamad Alif Roslan, 26, yang mengusahakan kantin di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pengusaha kantin membuat keputusan mengurangkan kos operasi bulanan kantin untuk sesi persekolahan tahun ini sebanyak enam kali ganda kos berbanding tahun lalu.

Muhamad Alif Roslan, 26, yang mengusahakan kantin di Sekolah Kebangsaan Sungai Burong di sini berkata, langkah berkenaan diambil berikutan kerugian yang dialaminya pada April hingga November tahun lalu sebanyak RM48,000.

Menurutnya, dengan adanya sistem penggiliran yang mengurangkan jumlah murid di sekolah, dia hanya akan membelanjakan sebanyak RM5,000 sebulan berbanding RM30,000 sebelum ini untuk menyediakan makanan kepada murid dan guru, serta kelengkapan kantin tersebut.

"Pihak saya pun tidak beli stok secara bulanan, sebaliknya beli secara harian kerana bimbang sekolah ditutup lagi akibat Covid-19 dan ia akan menyumbang kepada pembaziran bahan mentah.

"Sebab itu kita ambil langkah berjaga-jaga, dalam masa sama barang mentah yang kami beli juga segar dan tidak rosak,” katanya.

Muhamad Alif berkata, penyediaan makanan untuk murid juga tidak dapat dijangka kerana masih ada ibu bapa yang tidak mahu hantar anak mereka ke sekolah.

Ujarnya, sebagai pengusaha dia hanya mengharapkan pembelian daripada guru sahaja untuk membeli makanan tersebut.

"Penyediaan makanan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga terkesan dari segi kehadiran murid. Jika dibandingkan tahun lalu, murid yang tidak hadir boleh menuntut makanan.

"Tapi kali ini, murid yang mengambil makanan RMT tapi tidak tidak hadir tidak boleh tuntut makanan tersebut, bermakna kerajaan hanya bayar jumlah makanan itu mengikut kehadiran murid sahaja dan ia memberi kesan kepada saya sebagai pengusaha,” katanya.

TERPAKSA JUAL KENDERAAN

Sementara itu, seorang pengusaha kantin di Alor Gajah di sini mengakui terkesan dengan keadaan sekarang namun tetap mencari alternatif lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Mohd Sharizan Abd Razak, 36, berkata, disebabkan tidak mahu terus menanggung kerugian dia terpaksa membuat perniagaan katering ketika sekolah belum beroperasi pada awal tahun ini.

Mohd Shahrizal (tengah) bersama dua pekerja sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Malah dia juga terpaksa menjual dua buah kenderaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menampung kos operasi termasuk kos penyelenggaraan kantin dan pekerja.

"Memanglah terbeban. Tapi apakan daya saya perlu mencari peluang dan inisiatif lain dengan mengusahakan katering.

Mohd Sharizan berkata, dia pernah menerima Geran Khas Prihatin (GKP) daripada kerajaan dan berharap ada bantuan lain bagi membantu pengusaha kantin yang tenat.

"Setakat ini pihak sekolah juga membantu menangguhkan kos penyelenggaraan.

"Namun saya tak pasti masih mampu bertahan dan dapat meneruskan perniagaan ini atau sebaliknya,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca