SAYA menerima mesej daripada seorang teman setelah saya memberi reaksi ‘tanda sedih’ kepada statusnya. Dia salah seorang mangsa banjir di pantai timur.
Rumah tenggelam hingga ke bumbung. Restorannya di pekan pula dipenuhi selut. Total loss menurut istilah insurans. Dia hilang segala harta benda yang telah dibinanya selama tiga tahun.
Shukri pulang ke kampung setelah bosan bekerja di sebuah syarikat swasta di bandar. Setelah berkahwin, dia bina hidup baharu bersama isteri dan dua anak. Kepulangannya ke desa membolehkan dia menjaga orang tua dan dusun milik keluarga.
Tragedi sebagai mangsa banjir menghanyutkan masa depannya. Dia meminta nasihat saya. Alamak, terasa sukar memberi pandangan, apatah lagi nasihat. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Shukri sedang mengalami trauma dan fobia setiap kali hujan. Apalah nasihat yang saya boleh berikan selain kata-kata semangat daripada orang yang pernah mengalami banjir hanya di paras buku lali!
Sebenarnya, kau hanya total loss dari segi harta benda, sedangkan diri, isteri, anak-anak dan ibu ayah masih bernafas. Bersyukurlah sementara kita masih dibekalkan rezeki berupa masa, tenaga dan fikiran. Hanya harta musnah tetapi masa, tenaga dan fikiran itu adalah modal untuk meneruskan kehidupan.
Masa, ia masih ada untuk digunakan. Mudah-mudahan ALLAH kurniakan panjang umur supaya dapat terus bina kehidupan. Tenaga pula masih kuat. Usia 30-an adalah usia optimum manusia yang penuh bertenaga.
Fikiran pula masih cergas dan cerdas. Fikiran tidak boleh dilihat tetapi boleh dijelmakan melalui tindakan. Fikiranlah yang memampukan manusia membina pencakar langit atau menyelami lautan dalam.
Namun, bersama fikiran adalah hati. Hati mesti kental. Kental bererti liat, tidak boleh patah. Tidak pula boleh berhati tisu kerana tisu mudah koyak. Aset hati perlu dipelihara.
TELANJANG
Kita datang ke dunia ini pun dalam keadaan telanjang. Apa yang kau peroleh di dunia ini kesemuanya menjadikan kau yang tiada apa-apa menjadi apa-apa.
Kau dan aku biasa dengar apa yang aku katakan ini tetapi kata-kata aku kali ini memberi makna kerana kau sedang alami kesakitan daripada sebuah kehilangan. Kehilangan daripada apa yang kita telah dapat atas usaha kita selama ini.
Tetapi nanti dulu. Apakah kita berasakan kita dapat apa yang diusahakan selama ini? Sebenarnya tidak. Selama ini kita tidak pernah dapat apa sahaja kita usahakan.
Jika kita sahaja apa yang kita usahakan, maka kita pasti dapat apa sahaja kita usahakan. Jadi, oleh sebab kita tidak semestinya dapat apa yang kita usahakan, ia berkait dengan pihak yang memberi.
ALLAH pihak yang memberi. Ar-Razzak, Yang Maha Pemberi Rezeki. Dia Maha Kuasa, kita hanya hamba. Sebagai hamba, kita mesti senantiasa ingat kita tidak layak berasa empunya apabila kita peroleh apa-apa. Malah, tidak kena bila berasa malang sementelah Dia mengambil apa yang Dia pinjamkan kepada kita.
Sejak kecil, dunia mengajar kita untuk mendapatkan apa kita inginkan. Kejar, capai, rangkul dan peluk erat-erat apa yang kau peroleh tanpa mahu melepaskan sebab berasa itu kita punya.
Lihatlah kanak-kanak yang mendapat mainan. Hak orang lain pun dia tidak mahu lepaskan kerana dia rasa itu dia yang punya!
Kau boleh kejar, capai, rangkul dan peluk erat-erat apa yang kau dapat tetapi bila ALLAH ambil semula, bukakan tangan dan lepaskanlah. Bukakan hati dan lepaskanlah ia daripada sanubari. Cari yang lain kerana ALLAH Maha Pemberi. Pasti Dia akan beri yang lain.
Akhir kata, kau tanyalah kesemua mereka yang telah kehilangan apa yang mereka paling sayangi. Mereka akan mengaku telah menjadi manusia lebih baik. Asalkan mereka insaf dan kembali dekatkan diri kepada Yang Maha Besar.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca