SHAH ALAM - Presiden parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan pihak menuduh ahli parti itu menyeleweng duit sumbangan mangsa banjir untuk membeli arak adalah tidak berakal dan terdesak. Ahli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Presiden parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan pihak menuduh ahli parti itu menyeleweng duit sumbangan mangsa banjir untuk membeli arak adalah tidak berakal dan terdesak.

Ahli Parlimen Muar itu menambah, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menularkan gambar beberapa individu memakai baju Muda dengan minuman arak di atas meja adalah satu cubaan merendahkan nilai dan imej parti itu.

Jelas beliau, tuduhan sebegini adalah tidak masuk akal, lebih-lebih lagi Muda merupakan antara parti paling telus mendedahkan jumlah sumbangan mangsa banjir diterima dengan 100 peratus sudah disalurkan kepada mereka.

"Minggu lepas saya sudah buat sidang media dan tunjuk semua resit transaksi Mari Bantu (program kutipan dana sumbangan mangsa banjir dianjurkan Muda).

"Semua urusan direkod dan akan diaudit. Tak perlu nak buat tuduhan kononnya Muda salah guna duit beli minuman arak," katanya melalui satu kenyataan pada malam Selasa.

Sejak Isnin, beberapa pihak telah menularkan gambar beberapa individu memakai baju Muda sedang duduk di meja yang dipenuhi minuman arak.

Bahkan ada di antara mereka yang cuba mengaitkan duit pembelian minuman arak berkenaan dengan wang kutipan dana sumbangan mangsa banjir diusahakan parti itu ketika ini.

Sejak dana Mari Bantu melalui Misi Banjir Muda dilancarkan, Syed Saddiq mendedahkan parti itu berjaya membantu lebih 5,000 keluarga dengan sumbangan tunai dan bentuk barangan dikumpul melebihi RM3.2 juta.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut menegaskan Muda adalah sebuah parti berbilang bangsa dan agama.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto Bernama

Justeru, Syed Saddiq menegaskan selagi mana perkara dibuat ahli-ahli parti itu dalam kehidupan mereka mengikut lunas undang-undang, beliau tidak melihat asbab mengapa isu meminum arak menjadi modal politik pihak tidak bertanggungjawab.

"Muda wujud atas dasar toleransi. Selagi apa yang dibuat itu mengikut lunas undang-undang, tak apalah.

"Parti ini, parti berbilang kaum. Bukan kesalahan untuk mereka minum (arak), lainlah kalau mereka memandu.

"Kita hormat hak mereka dan mereka hormat hak kita. Ini hak peribadi mereka," katanya lagi.

Syed Saddiq turut percaya taktik sebegini adalah taktik murah dan lapuk oleh mereka yang terdesak.

"Kalau betul-betul nak tularkan isu, tularlah isu salah laku dan curi wang rakyat. Bawalah isu rasuah, guna wang rakyat untuk kepentingan diri.

"Itu baru isu yang perlu diangkat, bukan isu makan minum orang.

"Saya sudah pesan kepada ahli-ahli Muda, angan terikut-ikut budaya tua dan lapuk begini. Fokus pada kerja dan khidmat kepada rakyat," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca