SHAH ALAM - Biarpun Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sudah menjawab dakwaan konflik kepentingan saham dikaitkan dirinya, beberapa pakar undang-undang berpandangan penjelasan diberikan tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sudah menjawab dakwaan konflik kepentingan saham dikaitkan dirinya, beberapa pakar undang-undang berpandangan penjelasan diberikan tidak mencukupi.

Sebaliknya, siasatan lanjut sebuah suruhanjaya bebas seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) masih diperlukan bagi memastikan dakwaan terpalit ke atas nama Azam dan SPRM dapat diteliti sebaiknya.

Bekas Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen untuk Pencegahan Rasuah, Yusmadi Yusoff berkata, hal ini kerana beban tanggungjawab Azam yang dilantik sebagai seorang penguatkuasa undang-undang di bawah agensi naungan Yang di-Pertuan Agong, adalah lebih berat daripada penjawat awam biasa.

Yusmadi Yusoff

"Dalam isu Azam, saya melihat penjelasan beliau tidak begitu meyakinkan kerana tiada sebarang bukti didedahkan bagi mengesahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu benar-benar telah mengisytiharkan pembelian saham menggunakan akaun saham peribadi kepada kerajaan sewaktu tahun 2015.

"Sepatutnya isu pembelian saham oleh adik Azam itu perlu diisytiharkan serta-merta selepas transaksi itu berlaku kerana ia terkait dengan etika perjawatan kerajaan.

"Lebih mengejutkan, pendedahan konflik itu tidak dibuat oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) sendiri lebih awal, sebaliknya diketengahkan oleh pihak ketiga di mana motifnya boleh menjadi positif atau negatif," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Azam yang akhirnya bercakap mengenai dakwaan pemilikan sahamnya dengan mengatakan tuduhan itu adalah bohong, termasuk dakwaan beliau mengawal banyak syarikat.

"Akaun saham saya digunakan oleh adik saya. Saya tidak mempunyai kepentingan dalam saham yang dibeli. Saham dibeli oleh adik saya dan syarikat-syarikat tidak ada kaitan dengan (mana-mana) siasatan SPRM," jelas Azam dalam sidang media yang turut dihadiri Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Abu Zahar dalam sidang media sama turut menegaskan hasil penelitian LPPR mendapati Azam tidak melakukan sebarang salah laku berhubung pembelian saham syarikat terbabit.

"Pembelian saham itu dilakukan dalam pasaran terbuka pada 2015 dan tidak ada konflik kepentingan. LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam dan mendapati tiada elemen konflik kepentingan," kata Abu Zahar.

Sebelum itu, desakan penubuhan RCI bagi menyiasat kes konflik pemilikan jutaan unit saham oleh Azam dalam syarikat tersenarai awam semakin hangat diperkatakan selepas Ahli Panel Perundangan SPRM, Edmund Terence Gomez meletak jawatan.

Mengulas lanjut, Yusmadi yang juga bekas Ahli Parlimen Balik Pulau menegaskan pada saat ini, perkara paling penting perlu diselamatkan oleh LPPR adalah keyakinan rakyat kepada institusi penting seperti SPRM.

"Dengan polis turut terpalit dakwaan amalan kepolisian tidak sihat ditambah kes terkini melibatkan SPRM, kerajaan tidak boleh memandang remeh konflik sebegini, lebih-lebih lagi dua insitusi penting berkenaan sudah berhadapan defisit kepercayaan rakyat semakin terhakis," katanya.

Pandangan Yusmadi turut disokong pakar undang-undang daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zaid Ahmad yang mengakui hanya pihak ketiga lebih layak membersihkan nama Azam berbanding dirinya.

Profesor Dr Zaid Ahmad

Tambah Zaid, pihak ketiga berkenaan haruslah mempunyai integriti dan mendapat kepercayaan awam dalam menentukan kesahihan dakwaan dilemparkan terhadap Azam dan SPRM.

"Sekiranya pihak ketiga lebih berintegriti tidak diberi kuasa menyiasat dakwaan Azam, pastinya kredibiliti dan integriti beliau serta SPRM akan terus dipersoal sekalipun penjelasan sudah diberikan tertuduh.

"Lagipun, penjawat awam tertakluk kepada etika perjawatan awam di mana apa sahaja harta yang dimiliki mereka di luar lingkungan pendapatan gaji bulanan dan bonus tahunan perlu diisytiharkan segera kepada majikan.

"Pengisytiharan segera harta di luar lingkungan kemampuan pendapatan tahunan amat penting untuk membendung persepsi, sekali gus menghindarkan amalan rasuah," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca