SHAH ALAM - Satu rangka kerja yang ideal untuk pengurusan banjir di negara ini perlu mempunyai gabungan penyelesaian berstruktur dan bukan berstruktur yang seimbang, kata badan pemikir bebas, Emir Research. Emir Research menerusi tulisan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Satu rangka kerja yang ideal untuk pengurusan banjir di negara ini perlu mempunyai gabungan penyelesaian berstruktur dan bukan berstruktur yang seimbang, kata badan pemikir bebas, Emir Research.

Emir Research menerusi tulisan Datuk Dr Rais Hussin dan Ameen Kamal bertajuk Flood Management Masterplan Template For Malaysia (Pelan induk pengurusan banjir untuk Malaysia) berkata, perkara itu secara umumnya dipersetujui oleh pakar banjir dan hidrologi.

"Penyelesaian bukan berstruktur termasuklah sistem amaran awal (ramalan dan pengesanan), kesediaan dalam bantuan bencana dan tindak balas kecemasan, perundangan serta dasar.

"Sementara itu, penyelesaian berstruktur termasuklah penyelesaian kejuruteraan dan reka bentuk yang boleh digunakan pada bangunan sedia ada dan baharu, pembangunan bandar dan struktur fizikal bagi meningkatkan daya tahan terhadap kejadian bencana,” kata mereka.

Mereka menambah, penstrukturan semula dan penguatkuasaan perundangan diperlukan bagi menjelaskan peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di dalam rangka kerja di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Isu koordinasi antara pihak berkuasa daerah, negeri dan persekutuan perlu diselesaikan melalui latihan yang kerap,” ujar mereka.

Bagi jangka masa pendek kata mereka, ramalan banjir dan sistem amaran perlu dipertingkatkan melalui pengembangan kawasan pemantauan, pengesanan dan penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) untuk memecahkan data besar daripada pelbagai sumber di samping menggunakan kecerdasan buatan (AI) agar ramalan yang dibuat menjadi lebih baik.

Mereka dalam masa sama turut mencadangkan agar komunikasi kepada orang ramai dipertingkatkan dengan menggabungkan fungsi aplikasi myCuaca dengan Mysejahtera yang digunakan secara meluas di negara ini.

"Amaran lanjutan walaupun sesingkat beberapa jam lebih awal boleh mendatangkan perubahan dalam menggerakkan tindak balas kecemasan dan membenarkan orang ramai untuk berpindah serta mengelakkan mereka ke kawasan yang terdedah dengan banjir, menyelamatkan nyawa dan berpotensi mengurangkan kerosakan,” jelas mereka.

Menyentuh mengenai penyelesaian berstruktur, mereka berpendapat bahawa terdapat keperluan mendesak tentang penggunaan reka bentuk kejuruteraan menahan banjir dan bencana.

"Atau menaik taraf struktur penting berkaitan dengan keselamatan negara seperti stesen janakuasa elektrik, angkatan tentera, kemudahan penjagaan kesihatan, rangkaian bekalan air dan makanan, sistem minyak dan bahan api serta rizab, bantuan bencana dan aset organisasi penyelamat terutamanya di kawasan berisiko banjir yang diketahui, dataran banjir (flood plains) dan koridor saliran,” jelas mereka.

BELANDA DI BAWAH PARAS LAUT

Mereka turut menyatakan bahawa dalam jangka sederhana, piawaian baharu diperlukan dalam reka bentuk infrastruktur, pembangunan bandar atau penebangan hutan agar ekologi dan alam sekitar menjadi lebih baik.

Selain itu, kata mereka, reka bentuk bangunan baharu harus menggabungkan alam semula jadi secara harmoni seperti pokok dan bukannya seni bina berdasarkan konkrit dan logam yang meningkatkan larian air.

"Contohnya penggunaan halangan fizikal tradisional seperti tambak dan benteng, penggunaan terowong dan tangki yang inovatif bagi menahan air banjir di bawah tanah,” kata mereka.

Rais dan Ameen juga mencadangkan agar negara ini mengikuti jejak langkah negara Belanda dalam menangani banjir.

Belanda mencipta sistem pagar khas yang untuk mengawal kemasukan air ke negara itu.

"Dilaporkan lebih dua pertiga daripada populasi mereka berada di bawah paras laut dan sering menghadapi ribut.

"Mereka mengalami banjir besar pada tahun 1953 yang mengorbankan hampir 2,000 orang tetapi disebabkan perubahan struktur yang maju dan dibuat secara besar-besaran, Belanda dilaporkan tidak menghadapi sebarang kematian berkaitan banjir sejak itu,” jelas mereka.

Menurut mereka, apa yang dilakukan oleh Belanda adalah bersungguh-sungguh mengubah landskap dan prinsip pembangunan bandar dengan mengamalkan ‘mentaliti pencegahan’ dan bukannya bergantung kepada ‘mentaliti tindak balas’.

Kata mereka, antara yang dibuat oleh negara berkenaan adalah seperti membina benteng yang dilaporkan cukup kuat bagi menahan cuaca melampau selama beribu-ribu tahun berdasarkan kepada simulasi dan unjuran komputer.

Menurut mereka, selain itu Belanda membina ‘Maeslantkering’ atau ‘sekatan maeslant’ yang pada asasnya pintu gergasi sebesar dua Menara Eiffel bagi melindungi daripada lonjakan air dari laut semasa ribut.

"Malaysia juga harus mengamalkan prinsip reka bentuk serupa yang memerlukan piawaian baharu dengan menggabungkan reka bentuk dan seni bina pembangunan bandar dengan bentuk dan fungsi pencegahan bencana,” kata mereka.

Mereka turut mengambil contoh apabila dilaporkan Terowong Lebuh Raya Smart berjaya melencongkan lima juta meter padu air yang menghalang banjir di pusat bandar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu kata mereka, tapak sedia ada yang kurang digunakan seharusnya lebih digunakan bagi penyelesaian hibrid seperti projek Hybrid off River Augmentatition System (HORAS) dengan menggunakan tanah lombong untuk menyimpan larian air bawah tanah.

"Malaysia mempunyai pengalaman berdekad dengan kejadian banjir besar dan mempunyai peratusan tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN di mana 67 peratus penduduk terdedah kepada banjir."Sama seperti Belanda, Malaysia mempunyai semua sebab untuk meneruskan strategi pengurusan banjir untuk jangka masa panjang secara drastik di seluruh negara,” ujar mereka.

Mereka berkata, negara ini mempunyai garis panduan sedia ada untuk perancangan bandar berdaya tahan bencana yang mesti dikemas kini dengan reka bentuk dan piawaian pembangunan bandar terkini sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan banjir negara.

Menurut mereka, penyelesaian ini boleh digunakan dalam keadaan yang berbeza-beza mengikut tahap keutamaan.

Klik di sini untuk terus membaca