CENDIKIAWAN dan kalangan pemimpin menggesa kabinet dirombak dan menteri-menteri yang kurang cemerlang ditukar ganti. Jika itu berlaku, sudah tentu hati ramai mangsa banjir dapat disejukkan sedikit. Namun, persoalannya berapa ramai ahli... Klik di sini untuk terus membaca

CENDIKIAWAN dan kalangan pemimpin menggesa kabinet dirombak dan menteri-menteri yang kurang cemerlang ditukar ganti. Jika itu berlaku, sudah tentu hati ramai mangsa banjir dapat disejukkan sedikit.

Namun, persoalannya berapa ramai ahli Parlimen yang lebih pandai daripada menteri sedia ada tetapi belum dilantik? Jika tidak, mengapa begitu ramai ahli Parlimen yang tidak cukup pandai? Bolehkah dilantik sahaja orang pandai sekali pun dia bukan ahli Parlimen?

Soalan siapa pengganti menteri dan kualiti mereka hanya boleh dijawab dengan meneliti empat aspek dalam sistem politik tanah air – demokrasi berparlimen, sistem pilihan raya, jawatankuasa Parlimen dan kabinet bayangan.

Demokrasi berparlimen menetapkan bahawa ketua kerajaan (Perdana Menteri) tidak mempunyai mandat secara langsung dan tidak berhak melantik sebarangan orang ke dalam kabinetnya seperti mana kuasa dinikmati oleh presiden dalam demokrasi berpresiden.

Sebaliknya, Badan Eksekutif itu adalah sebahagian daripada Parlimen, maka para menteri dan timbalan menteri mesti datang daripada Parlimen.

Sungguhpun teknokrat boleh dilantik sebagai senator sebelum menjadi menteri atau timbalan menteri, bilangan senator yang berjawatan menteri atau timbalan tidak boleh ramai kerana para senator tiada mandat rakyat dan keabsahan.

Mengapa teknokrat yang pandai mentadbir negara tetapi mungkin tidak pandai menjaga kawasan tidak boleh dipilih rakyat ke dalam Dewan Rakyat?

Masalah itu sebenarnya berakar dalam sistem pilihan raya. Jika semua atau sebahagian ahli Dewan Rakyat dipilih di bawah sistem perwakilan berkadar senarai tertutup (Closed List Proportional Representation) di mana setiap kawasan pilihan raya mempunyai beberapa orang wakil rakyat dan parti boleh menamakan sebilangan teknokrat dalam senarai calon untuk menyediakan bakat menteri.

Akan tetapi, sekalipun dengan sistem Pesaing Terdepan Menang (First-Past-The-Post) yang kita amalkan sekarang dengan setiap kawasan dijaga seorang ahli Parlimen, ahli Parlimen tetap boleh mahir untuk mentadbir negara.

LATIH AHLI PARLIMEN

Masalahnya adalah ketiadaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) yang memantau kementerian dan secara tidak langsung melatih ahli Parlimen barisan kerajaan dan ahli parlimen pembangkang untuk menjadi menteri pada masa depan.

Tanpa JPKP, pemantau kementerian yang mula muncul pada 2019 di bawah Pakatan Harapan, ahli Parlimen bukan menteri tiada insentif untuk membina pengkhususan.

Cukuplah untuk mereka menubuhkan pusat perkhidmatan, membawa dana pembangunan kepada kawasan dan menziarahi pengundi semasa KBSM (kahwin, bersalin, sakit, mati).

Jika menteri yang gagal sekarang, dahulunya tidak berpeluang menyertai JPKP pemantau kementerian, maka tanggungjawab kegagalan berada pada kerajaan lalu yang enggan menubuhkan JPKP langsung atau secukupnya.

Kerajaan dahulu yang mencegah ahli-ahli Parlimen bukan menteri sekarang menjadi pandai dalam pentadbiran.

Jika menteri yang gagal sekarang, dahulunya ahli Parlimen kanan pembangkang, maka kegagalannya disebabkan ketua-ketua pembangkang Parlimen yang dari dulu hingga sekarang secara degilnya enggan menubuhkan kabinet bayangan.

Kabinet bayangan berfungsi untuk memantau dan bersaing dengan kabinet sebenar, maka secara langsung melatih ahli Parlimen pembangkang menjadi menteri.

Jika kita benar-benar benci menteri gagal, kita mesti mencegah kegagalan itu di hulu dengan menuntut reformasi sistem politik, bukan sekadar mengeluh di hilir apabila kegagalan menteri sudah membanjiri dan melumpurkan kita.

Soalan siapa pengganti menteri dan kualiti mereka hanya boleh dijawab dengan meneliti empat aspek dalam sistem politik tanah air – demokrasi berparlimen, sistem pilihan raya, jawatankuasa Parlimen dan kabinet bayangan.

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca