SHAH ALAM - Sasterawan Negara wanita pertama menggesa masyarakat umum bersama-sama dalam usaha membanteras budaya rasuah yang semakin membarah di negara ini.
Datuk Dr Zurinah Hassan berkata, media sosial dilihat antara platform yang berkesan untuk mendidik dan menyebarkan maklumat kerana sangat dekat dengan masyarakat khususnya generasi muda.
"Kalau kita lihat ketika ini, rasuah berlaku di mana-mana sahaja, malah ia berlaku secara terang-terangan di depan kita. Rasuah menjadi satu budaya yang sangat serius dan membimbangkan.
"Oleh itu, pihak berkuasa perlu segera melakukan sesuatu sebelum ia makin membarah dan akhirnya nanti akan merosakkan sistem negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Mak Untuk Malaysia (MUM) yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, jika rasuah berterusan negara tidak akan selamat dan contohnya ada pihak yang memerlukan keadilan di mahkamah tetapi disebabkan berlaku rasuah di dalam proses tersebut, maka tiada pembelaan kerana orang-orang berkuasa telah disogok.
"Akhirnya nanti yang salah akan dipandang benar dan yang benar akan dipandang salah. Saya pernah menulis dan meluahkan rasa terhadap perkara sebegini di dalam penulisan saya yang berbunyi, saya tidak suka mahkamah kerana tidak membela orang-orang yang tidak bersalah dan teraniaya, tetapi mahkamah memberi kemenangan terhadap peguam yang hanya petah berkata-kata demi wang ringgit.
"Kalau zaman dahulu perbuatan rasuah ini akan dipandang hina dan dikeji, namun keadaan sekarang sangat berbeza kerana walaupun seseorang itu telah melakukan rasuah tetapi masih disanjung, dibela dan dihormati,” katanya.
Zurinah berkata, beliau bangga terhadap pihak dan individu yang sanggup menyerahkan jiwa raganya hanya untuk berjuang membanteras rasuah.
Sementara itu berkongsi mengenai diri, Zurinah yang lebih dikenali dengan nama pena, Haniruz meminati bidang penulisan kerana jatuh hati pada kata-kata indah daripada lagu-lagu asli dan puisi yang didendangkan di radio zaman kanak-kanaknya.
Beliau yang menghasilkan 19 buku antologi sajak, antologi puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, antologi cerpen dan novel memasuki bidang penulisan kerana pada masa dahulu tiada perkara lain yang diminati selain mengarang puisi, sajak dan cerpen.
"Ketika remaja di rumah saya hanya ada radio, itu sahaja teknologi yang sudah masuk ke kawasan kampung dan kemudahan lain seperti bekalan air serta elektrik masih belum ada.
"Radio memberi peluang saya mendengar lagu-lagu yang setiap bait lagu tersebut terselit kata-kata indah terutama lagu asli dan pantun.
"Itulah pengenalan pertama saya dengan pantun dan sastera yang terlalu sarat dengan kata-kata indah dan dari situ saya cuba mengarangnya sendiri,” katanya
Beliau berkata, pada masa itu juga radio menyediakan ruangan untuk kanak-kanak menghantar hasil penulisan kreatif untuk disiarkan di Singapura dan penulisan beliau turut terpilih.
Jelasnya, dari situ berkembangnya penulisan dari corong radio kepada akhbar.
"Penulisan sajak dan puisi serta setiap karya sastera saya akan merangkumi dua elemen penting antaranya pemikiran serta perasaan yang membuatkan penulisan tersebut menjadi bernilai.
"Setiap individu yang berkarya akan melahirkan perasaannya yang terkesan dengan keadaan di sekeliling mereka.
"Alhamdulillah, setelah mengharungi pelbagai perkara akhirnya saya diiktiraf sebagai Sasterawan Negara yang merupakan satu-satunya sasterawan wanita,” ujarnya.
Sementara itu, antara pencapaian yang membanggakan beliau ialah karya Menghadap pelabuhan dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa seperti Sepanyol, Perancis dan bahasa Inggeris.
Katanya, salah satu hasil karya yang digunakan di universiti dalam dan luar negara berjudul Salasilah.
"Saya gemar menulis tentang perjalanan sejarah orang-orang Melayu dan sesuatu perkara yang berlaku dan memberi tafsiran.
"Selalunya untuk menghasilkan sebuah buku mengambil masa bertahun untuk disiapkan kerana memerlukan masa dan ilham.
"Sudah menjadi kebiasaan penulisan orang-orang Melayu sangat mementingkan kebaikan.
"Jadi sastera bukan sahaja menghebahkan malah menyampaikan sesuatu kepada masyarakat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca