BANDAR metropolitan Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur dan merangkumi bandar-bandar yang berdekatan seperti Selangor, terdedah kepada pelbagai bahaya semula jadi iaitu seperti banjir pluvial yang berlaku baru-baru ini. Banjir pluvial... Klik di sini untuk terus membaca

BANDAR metropolitan Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur dan merangkumi bandar-bandar yang berdekatan seperti Selangor, terdedah kepada pelbagai bahaya semula jadi iaitu seperti banjir pluvial yang berlaku baru-baru ini.

Banjir pluvial boleh berlaku di mana-mana lokasi, bandar atau luar bandar. Banjir pluvial yang secara khusus dikenali sebagai banjir kilat kebiasaannya berlaku di kawasan luar bandar tetapi kini semakin kerap berlaku di kawasan bandar-bandar utama.

Ia adalah disebabkan kurangnya penglibatan oleh pemegang taruh dan kerjasama daripada pihak ber-kepentingan termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Peningkatan intensiti air hujan yang melampau pada setiap jam adalah trend dan situasi terkini yang menyebabkan negara kita berhadapan dengan banjir pluvial.

Hasil kajian yang dijalankan secara tinjauan dalam talian kepada wakil-wakil PBT pada tahun 2021 telah menunjukkan indikasi yang perlu ditangani secara proaktif sebelum isu banjir pluvial yang disebabkan oleh peningkatan intensiti air hujan dan air permukaan ini terus membarah.

Hasil dapatan kajian yang telah dijalankan, ia telah mengenal pasti punca utama kepada berlakunya banjir pluvial di kawasan bandar-bandar utama di Lembah Klang khususnya.

Penyelenggaraan sistem saliran dan bangunan yang lemah serta sistem saliran tidak mencukupi di setiap kawasan yang dibangunkan telah dikenal pasti menjadi punca utama kepada permasalahan berlakunya banjir pluvial di bandar-bandar utama.

Selain itu, reka bentuk sistem saliran yang tidak mengambil kira per-kembangan terhadap alam sekitar pada masa hadapan akan tidak dapat berfungsi dengan baik sekiranya laluan air permukaan meningkat disebabkan aktiviti pembangunan.

PERANCANGAN BANDAR

Tingkah laku dan tabiat orang ramai yang membuang sampah secara tidak berhemah serta guna tanah bagi tujuan pembangunan perbandaran secara berleluasa turut menjadi penyumbang kepada berlakunya banjir pluvial di kawasan bandar utama.

Oleh yang demikian, untuk menangani isu banjir pluvial ini menjadi lebih kronik, penyertaan aktif oleh semua pihak semasa di peringkat perancangan perbandaran perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir pluvial di kawasan bandar-bandar utama.

Ia adalah bagi mengurangkan risiko kerosakan yang teruk kepada infrastruktur, contohnya seperti rangkaian jalan raya, premis-premis bangunan kediaman dan perniagaan serta harta benda termasuklah nyawa.

Perancangan yang efektif dan proaktif telah dikenal pasti dapat membantu menangani isu banjir pluvial di kawasan bandar metropolitan.

PBT menekankan perancangan yang baik pada peringkat reka bentuk perbandaran perlulah dilihat secara menyeluruh bagi mengenal pasti langkah-langkah yang perlu ditangani untuk memastikan kawasan yang hendak dibangunkan kurang terdedah kepada isu banjir pluvial.

Selain itu, penyediaan garis panduan piawai yang ketat dalam mereka bentuk perlu dipatuhi oleh pihak pemaju sama ada di sektor awam ataupun swasta.

Ia bertujuan untuk memelihara persekitaran semula jadi dan pelan bandar yang lebih mampan serta mesra alam.

Pihak yang berwajib juga telah mengenal pasti dengan memperbanyakkan pembinaan lencongan air ataupun terusan di lokasi hulu sungai yang kerap dinaiki air, menambah bilangan kawasan takungan air hujan dan pemasangan pam-pam air di tempat-tempat strategik di sepanjang sungai-sungai utama dapat membantu mengurangkan risiko kejadian banjir pluvial.

Kesimpulannya, program-program kesedaran berkaitan banjir pluvial kepada orang awam dan penyediaan pelan pembangunan bandar yang lebih mampan serta mesra alam perlu dipergiatkan serta dilaksanakan bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir pluvial di kawasan bandar-bandar utama di Malaysia khususnya.

* Dr Siti Suhana Judi ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ukur Bahan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca