PERANG yang berlanjutan selama lebih tujuh tahun di Yemen memasuki krisis terbaharu pada awal tahun ini apabila kumpulan pemberontak Houthi merampas sebuah kapal tentera yang mengibarkan bendera Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Laut Merah pada... Klik di sini untuk terus membaca

PERANG yang berlanjutan selama lebih tujuh tahun di Yemen memasuki krisis terbaharu pada awal tahun ini apabila kumpulan pemberontak Houthi merampas sebuah kapal tentera yang mengibarkan bendera Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Laut Merah pada Ahad lalu.

Houthi yang disokong oleh Iran turut menyiarkan gambar yang menunjukkan jip-jip tentera dan senjata berada di atas kapal bernama Rwabee itu selepas merampasnya di luar pantai Yemen. Namun tentera perikatan diketuai oleh Arab Saudi mendakwa ia membawa bekalan perubatan.

Krisis perang di Yemen menjadi lebih buruk apabila kapal Rwabee dirampas oleh kumpulan Houthi - Foto AFP

Tentera perikatan yang terlibat dalam perang di Yemen itu menganggap rampasan kapal berkenaan sebagai satu tindakan lanun dan menjelaskan bahawa Rwabee kembali dari misi untuk mendirikan hospital lapangan di Pulau Socotra, Yemen.

Ekoran itu, jurucakap tentera perikatan, Turki al-Malki menyatakan kumpulan Houthi perlu membebaskan kapal berkenaan atau pihaknya akan melakukan apa sahaja langkah untuk menghadapi krisis rampasan tersebut termasuk penggunaan kekerasan jika perlu.

Bagaimanapun, pihak pemberontak itu yang menyatakan kru pelbagai negara masih berada di atas Rwabee dan memberi amaran tentera perikatan akan menerima akibatnya jika kapal itu diserang.

SERANGAN PELURU BERPANDU

Kejadian itu berlaku ketika pertempuran yang semakin meningkat dalam beberapa minggu yang terakhir ini termasuk serangan udara yang dilakukan oleh Arab Saudi di wilayah pemberontak manakala Houthi pula telah meningkatkan serangan peluru berpandu dan dron ke negara jirannya itu.

Tentera perikatan itu telah berjuang selama hampir tujuh tahun untuk menyokong pemerintah Yemen pada tahun 2015 bagi menentang Houthi dalam konflik yang telah menyebabkan berjuta-juta orang hilang tempat tinggal sekali gus mewujudkan krisis kemanusiaan terburuk di dunia, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perang itu berlaku pada tahun 2014 sebelum tentera Perikatan diketuai Arab Saudi bertindak campur tangan bagi menentang Houthi.

Ia berlaku disebabkan kegagalan proses politik yang sepatutnya membawa kestabilan kepada Yemen.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang berpusat di rantau itu menyatakan ia merupakan rampasan kapal pertama dilakukan oleh Houthi sejak ia merampas tiga buah kapal pada akhir tahun 2019.

"Rampasan itu adalah luar biasa. Ia kelihatan sebagai kes pertama Houthi merampas kapal tentera perikatan yang diketuai oleh Arab Saudi dalam tempoh lebih dua tahun," katanya dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan seperti dilaporkan oleh AFP.

Dalam pada itu, seorang jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree menyatakan bahawa kapal itu telah memasuki perairan Yemen tanpa kebenaran dan melakukan tindakan permusuhan dan beliau kemudian mengadakan sidang akhbar bagi menunjukkan rakaman video yang kononnya terdapat perkakasan ketenteraan di atas Rwabee.

Pada November 2019, Houthi berjaya merampas dua buah kapal Korea Selatan dan sebuah kapal berbendera Arab Saudi di Laut Merah.

Pada 25 Disember lalu, tentera perikatan melancarkan serangan berskala besar ke Yemen setelah peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi menyebabkan dua orang di Arab Saudi terkorban iaitu kematian pertama dalam tempoh tiga tahun.

HOUTHI BERDEGIL

Seorang penganalisis, Stephane Lacroix dari Universiti Sains Po, Paris menyatakan bahawa Houthi berada dalam kedudukan yang agak kuat dan tidak mahu berunding serta berusaha agar tentera perikatan diketuai Arab Saudi pada dasarnya menyerah diri.

"Arab Saudi telah melancarkan serangan besar bagi meletakkan sebanyak mana tekanan kepada (kumpulan) Houthi untuk cuba memaksa mereka berkompromi. Buat masa ini, ia belum terjadi," katanya kepada AFP.

Sebaliknya, kata beliau, Houthi yang meningkatkan tekanan bagi menunjukkan ia tidak akan berundur.

"Dan saya tidak berfikir tentera perikatan Arab Saudi dapat melakukan lebih banyak daripada apa yang telah dilakukannya ketika ini," katanya kepada AFP.

Usaha oleh PBB dan AS untuk menamatkan konflik itu setakat ini hanya telah mencapai sedikit kemajuan.

Pada akhir November tahun lalu, PBB menyatakan bahawa perang tersebut mungkin telah mengorbankan seramai 377,000 orang pada akhir tahun lepas baik secara langsung dan tidak secara langsung sama ada melalui kelaparan atau penyakit. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca