SHAH ALAM - Wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya untuk kegunaan masa hadapan dan simpanan tua, bukan bencana seperti banjir. Pengasas Hijrahwealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir berkata, ia kerana 22 peratus... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya untuk kegunaan masa hadapan dan simpanan tua, bukan bencana seperti banjir.

Pengasas Hijrahwealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir berkata, ia kerana 22 peratus daripada pakej rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan mewakili daripada KWSP sahaja.

Menurutnya, seramai enam juta ahli KWSP mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan dan kebanyakan daripada mereka warga bumiputera.

"Itu adalah sedih daripada enam juta ahli KWSP, 4.4 juta bumiputera yang kurang daripada RM10,000.

"Kita ini kalau tidak dipaksa simpan, kita tidak simpan sebab itu KWSP untuk masa depan.

"Kalau sudah tua nanti yang muda-muda tiada simpanan, bagaimana untuk hidup waktu tua nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Edisi ke-316 yang bertajuk: KWSP untuk masa depan atau bencana? pada Khamis.

Turut menjadi panel Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor dan Profesor Ekonomi i-CATS University College, Kuching, Sarawak Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor, manakala Kharil Amri Tajuddin selaku moderator.

Mengulas lanjut, Rohani berkata, sebaiknya rakyat yang terjejas boleh melaksanakan 'crowd-funding' dan majikan perlu membantu pekerja mereka.

"Saya percaya dan yakin bahawa rakyat Malaysia adalah pemurah.

"Kalau anda 'reach-out' dan beritahu bagaimana anda terkesan, Insya-ALLAH bukan hanya rakan-rakan yang akan membantu, tapi majikan juga akan bantu.

"Seperti yang berlaku di Kuala Langat, kos kerugian cecah RM20,000, alhamdulillah mereka dapat kumpul RM10,000 atas bantuan rakan-rakan. Jadi saya percaya rakyat Malaysia adalah pemurah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri seharusnya mewujudkan tabung bencana supaya sumbangan boleh disampaikan terus kepada negeri masing-masing.

"Kalau kita keluarkan duit daripada KWSP dan akan datang musibah lain kita keluarkan lagi, kita khuatir tiada simpanan akan datang.

"Jadi setiap negeri perlu bina tabung tersebut dan bila ada musibah di negeri itu, maka sumbangan akan keluar daripada tabung bencana negeri masing-masing,” jelasnya.

Selain itu, Rohani berkata, pengeluaran wang KWSP tersebut kepada yang betul-betul memerlukan dan mengikut prosedur bagi mengetahui keperluan orang yang memerlukan dan wajar dikeluarkan oleh mereka.

"Ini kerana ada daripada mereka yang menggunakan duit KWSP untuk pergi melancong.

"Jadi pengeluaran kali ini wajar orang yang memerlukan dan mengikut kadar yang diperlukan sahaja,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca