SHAH ALAM - Pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah Akta 1991 perlu mengikut prosedur ditetapkan oleh agensi tersebut dan bukannya desakan pihak luar. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah Akta 1991 perlu mengikut prosedur ditetapkan oleh agensi tersebut dan bukannya desakan pihak luar.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, kemudahan pengeluaran seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang diumumkan sebelum ini seolah-olah tidak mengikut akta tersebut.

Menurutnya, setiap pengeluaran KWSP perlu berdasarkan akta tersebut yang merupakan undang-undang yang diwujudkan oleh kerajaan menerusi penubuhan Ordinan 1951.

"Ini adalah perkara undang-undang yang mesti dihormati oleh pihak kerajaan sendiri kerana apa yang kita lihat kebelakangan ini ia sudah terkeluar daripada objektif penubuhan KWSP itu sendiri.

"Dalam Akta KWSP 1991 sudah jelas menyebutkan pengeluaran seperti apa yang dibenarkan, tetapi yang menjadi masalah ketika ini adalah kekukuhan pihak kerajaan dan desakan daripada pemimpin masyarakat atau politik.

"Jadi mereka perlu faham bahawa KWSP adalah satu organisasi yang mempunyai pencarum dan bukan pencarum tidak berhak untuk menceritakan bagaimana wang itu harus diadakan atau bagaimana digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Edisi ke-316 yang bertajuk: KWSP untuk masa depan atau bencana? pada Khamis.

Turut menjadi panel Pengasas Hijrahwealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir dan Profesor Ekonomi i-CATS University College, Kuching, Sarawak, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor, manakala Kharil Amri Tajuddin selaku moderator.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, konsep i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra hanya sekadar menguar-uarkan untuk mengeluarkan wang tersebut tetapi tiada prosedur yang jelas.

"Di sini adalah konsep yang salah. Contohnya apabila kita katakan i-Lestari kita buka kepada orang daripada tabung dua, orang ambil dan akhirnya habis dan pada akhirnya mereka hanya mengambil duit mereka sendiri.

"Seharusnya, kita lihat pandemik Covid-19 sebagai bencana negara, banjir sepatutnya dianggap bencana negara, kenapa pihak swasta harus tanggung sendiri, kita juga pembayar cukai.

"Sepatutnya terpulang kepada Lembaga KWSP untuk menentukan bukan dipengaruhi oleh mana-mana agensi,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya KWSP dapat memperbanyakkan cabang produk mereka seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Ini kerana kalau kita lihat, Perkeso mempunyai pelbagai produk untuk melindungi dan mensejahterakan pencarum.

"Apa yang kita lihat daripada 1991 sehingga 2001 dan 2022 di sini pencarum KWSP hanya melihat kepada dividen sahaja,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, pihaknya turut mencadangkan untuk meningkat peratus pencaruman mengikut pendapatan pencarum dan majikan kerana objektif KWSP untuk simpanan tua atau akan datang.

"Saya mencadangkan pihak kerajaan meminda agar orang dapat menyimpan lebih banyak berdasarkan daripada apa yang mereka usahakan.

"Jadi daripada situ kita lihat apabila cukai, kita kira pendapatan, manakala apabila kita mencarum kita kira gaji minima, ini musykil kerana objektif kita menyimpan KWSP adalah untuk hari tua,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sekiranya kerajaan ingin melibatkan diri dalam mengawal KWSP maka mereka perlu juga mencarum satu pertiga daripada duit mereka ke dalam KWSP untuk rakyat swasta.

"Jadi bolehlah kerajaan juga katakan kerajaan ada hak dalam duit ini untuk membantu.

"Ini kerana saya khuatir hari ini, saya bagi RM10,000 mereka akan ambil peluang untuk guna bukan untuk keperluan. Walau bagaimanapun, mana -mana yang perlukan duit pergi ke KWSP mohon mengikut prosedur,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca