SHAH ALAM – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memerlukan transformasi daripada segi dasar agar tidak hanya dapat dimanfatkan sebagai dana hari tua tetapi juga untuk dana ketika kecemasan.
Pakar Ekonomi daripada Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, Akta 1991 juga sepatutnya boleh digubal agar lebih dinamik bersandarkan situasi-situasi tertentu.
"Ada orang yang betul-betul perlu untuk memulakan kehidupan baharu. Bagaimana mahu mulakan kehidupan yang baru dengan tanggungan yang ramai dan rumah yang berlumpur?
"Di sinilah wajar atau tidak wajar (pengeluaran KWSP).Undang-undang kita boleh buat. Boleh ubah akta. Inilah masalah KWSP akta yang digunakan akta lapuk. Tak diubah sejak dulu.
"Maknanya kita kena ubah bahawa duit ini sebahagiannya untuk masa tua dan juga untuk keperluan jika berlaku kecemasan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Edisi ke-316 yang bertajuk: KWSP untuk masa depan atau bencana? pada Khamis.
Turut menjadi panel, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor dan Pengasas Hijrahwealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir manakala Kharil Amri Tajuddin selaku moderator.
Mengulas lanjut, Dr Shazali berkata, kerajaan juga harus lebih kreatif demi membantu para pencarum yang amat memerlukan agar dapat menggunakan dana simpanan mereka sendiri berbanding menambah hutang lain.
Katanya, kebenaran pengeluaran dana ini perlu dilihat berdasarkan kes dan dijangka akan memberi impak positif kepada ekonomi jika diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
"Kalau kita boleh benarkan untuk keperluan pendidikan, dan pembelian rumah, tapi ada perkara-perkara seperti isu kesihatan dan sebagainya (perlu benarkan).
"Maknanya kita perlu kreatif. Daripada beri rakyat pinjam bank, lebih baik beri rakyat pinjam duit KWSP mereka sendiri tanpa faedah dan tetapkan kaedah pembayaran balik yang memudahkan mereka,”katanya.
Beliau juga berpendapat, KWSP juga wajar mewujudkan dana perkongsian risiko iaitu melaksanakan pemotongan melibatkan jumlah tertentu daripada setiap pencarum agar dapat digunapakai untuk membantu pencarum yang memerlukan.