TELEFON bimbit ikonik Blackberry yang suatu ketika dahulu cukup popular dalam kalangan pengguna-pengguna di Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain tidak lagi boleh beroperasi sejak Selasa lalu. Model-model lama itu ialah BlackBerry... Klik di sini untuk terus membaca

TELEFON bimbit ikonik Blackberry yang suatu ketika dahulu cukup popular dalam kalangan pengguna-pengguna di Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain tidak lagi boleh beroperasi sejak Selasa lalu.

Model-model lama itu ialah BlackBerry 10, 7.1 OS dan versi yang lebih awal, perisian BlackBerry 10, BlackBerry PlayBook OS 2.1 serta versi yang lebih awal daripadanya tidak lagi boleh digunakan sejak 4 Januari lalu.

Ini bermakna semua peranti lamanya yang tidak menggunakan perisian Android tidak lagi dapat menggunakan data, menghantar mesej teks, mengakses internet atau membuat panggilan walaupun ke panggilan kecemasan 911.

Ia mungkin penamat kepada pengeluaran telefon BlacBerry yang cukup popular awal tahun 2000.

Telefon BlackBerry yang dikeluarkan oleh syarikat Research In Motion (RIM) dari Kanada cukup popular di Amerika Syarikat (AS) dan kebanyakan negara lain di dunia sejak tahun 2002.

Ia turut digunakan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semasa beliau menjadi penduduk kulit hitam pertama dari negara tersebut yang memegang jawatan itu.

Telefon bimbit versi lama Blackberry pernah popular pada tahun 2002. - Foto AFP

BLACKBERRY DAN OBAMA

Obama juga menjadi Presiden pertama dalam sejarah AS yang menggunakan e-mel dan terpaksa 'melawan' dengan pihak Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) pada tahun 2009 untuk membenarkannya menggunakan BlackBerry.

Beliau akhirnya berjaya mendapatkan hak untuk menggunakan telefon bimbit itu.

Walaupun telah menjadi orang paling berkuasa di dunia pada tahun 2013, Obama dilaporkan tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit iPhone kerana penasihat keselamatannya mendakwa peralatan komunikasi ciptaan syarikat Apple dari AS sebenarnya tidak cukup selamat untuk digunakan.

Bagaimanapun, Obama menyatakan di Rumah Putih ketika itu bahawa dua anak perempuannya iaitu Sasha dan Malia mempunyai dan menggunakan iPhone.

Telefon BlackBerry kemudian menjadi simbol status dan menjadi peralatan penting untuk orang-orang yang bekerja di daerah kewangan Wall Street, New York, pelabur, pedagang, ahli politik serta selebriti-selebriti terkenal seperti Kim Kardashian.

Ia adalah disebabkan oleh reputasi keselamatannya yang hebat dan ketika kemuncaknya pada tahun 2012, BlackBerry mempunyai lebih 80 juta pengguna yang aktif.

Pada September 2016, BlackBerry mengumumkan ia akan berhenti mereka bentuk telefonnya sendiri sebaliknya lebih berminat untuk membenarkan rakan kongsinya, TCL Communication menjadi pemegang lesen global jenama itu di bawah nama BlackBerry Mobile dan kepada OnwardMobility iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di Austin, Texas untuk peranti Blackberry 5G.

Telefon bimbit BlackBerry menjadi popular kerana ia boleh menggunakan e-mel, aplikasi, melayari web dan sistem mesej BlackBerry sendiri sebelum ia mula diatasi oleh pesaingnya.

Namun, revolusi skrin sentuh telefon bimbit iPhone pada tahun 2007 menjadikan BlackBerry tidak sepopular peralatan komunikasi keluaran syarikat Apple itu.

Kisah tahun-tahun muram BlackBerry sebenarnya terlebih dahulu dilalui banyak jenama telefon lain yang gagal bersaing dengan iPhone, Samsung dan beberapa jenama baharu lain.

Telefon bimbit Nokia keluaran syarikat dari Finland yang pernah menjadi pemimpin dalam industri peralatan telekomunikasi itu juga kini tidak lagi sepopular seperti zaman kegemilangannya pada tahun 1990-an dan awal 2000an.

Tidak ketinggalan jenama yang terus suram dan tenggelam dalam industri gajet telefon termasuklah Siemens, Ericsson dan Sony. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca