SEBAGAI orang utara yang tinggal di Lembah Klang, masakan orang pantai timur adalah antara makanan kegemaran yang sering dijamah. Boleh dikatakan hampir setiap hari, ia akan mengisi perut saya tatkala bersarapan pagi. Daripada nasi kerabu,... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAGAI orang utara yang tinggal di Lembah Klang, masakan orang pantai timur adalah antara makanan kegemaran yang sering dijamah. Boleh dikatakan hampir setiap hari, ia akan mengisi perut saya tatkala bersarapan pagi.

Daripada nasi kerabu, nasi berlauk, nasi air dingin hinggalah kepada laksam dan nasi dagang, semuanya mudah didapati di gerai serta restoran.

Malah, gerai yang menjual masakan pantai timur berhampiran rumah saya sering menjadi tumpuan dan untuk membelinya, pelanggan perlu beratur panjang.

Tetapi sepanjang hidup saya, tidak pernah lagi menjamah nasi paku dan tiada langsung hasrat untuk menjamah makanan berkenaan.

Walaupun ada kawan-kawan yang pernah mempromosikan makanan tersebut, tiada langsung terdetik di minda untuk mencubanya.

Mungkin kerana paku digunakan untuk membungkus makanan dan bukan paku yang menyebabkan makanan itu menjadi sedap, saya kurang tertarik untuk mencubanya.

Dan, minggu ini tersohor kisah mengenai nasi paku apabila seorang kanak- kanak tertelan paku sehingga perlu dibedah.

Rentetan daripada kejadian tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan undang-undang kepada peniaga yang masih menggunakan paku untuk membungkus makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mana- mana peniaga yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya mengikut Peraturan 36, Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Selain itu hukuman lebih berat sekiranya bahan itu ditemui dalam makanan.Tindakan sama akan dikenakan terhadap peniaga yang menggunakan dawai kokot untuk membungkus makanan.

Bagi peniaga yang menggunakan paku untuk membungkus makanan, rata-ratanya akan beralih menggunakan getah.

Dengan menggunakan getah – kosnya lebih murah dan lebih selamat berbanding paku. Trademark mereka juga tidak akan hilang ataupun pelanggan bertempiaran lari.

JENAMAKAN SEMULA

Mereka boleh menjenamakan semula perniagaan misalnya ‘Mantan Nasi Paku’ ataupun ‘Nasi Paku Masih Sedap Tanpa Paku’.

Syukur kerajaan telah bertindak untuk menghalang peniaga daripada menggunakan idea pelik atau mencipta kelainan yang berbahaya bagi menarik pelanggan walaupun sebenarnya trend berkenaan sudah lama berlaku.

Jika tidak dikuatkuasakan peraturan tersebut, saya bimbang akan muncul macam-macam lagi idea pelik selepas ini yang boleh mengancam nyawa pelanggan terutama kanak-kanak.

Malah, jika tidak dibendung, akan muncul pula nasi paku payung, paku kawat baja, paku beton, skru dan macam-macam lagi.

Sementelah mengulas isu berkaitan makanan, saya nak minta pengeluar sudu plastik agar memperbaiki produk yang dihasilkan mereka.

Sebelum jual apa-apa produk, periksa dahulu sama ada ia selamat atau tidak. Janganlah kerana mahu menjimatkan kos dan mengejar keuntungan, aspek keselamatan diketepikan.

Saya sudah beberapa kali terluka di mulut ketika mahu menjamah makanan dan kuih setiap kali menggunakan sudu plastik kecil berwarna hijau dan putih.

Sudu berkenaan menjadi pilihan peniaga kerana murah tetapi ia tak selamat.

Sudahlah berbentuk amat tirus yang menyukarkan proses untuk makan, ia juga mudah patah dan boleh membahayakan kanak-kanak yang tidak tahu sifat rapuh sudu tersebut.

Bukan sahaja sudu plastik, jika ada peralatan lain yang melibatkan pengguna, ia perlulah selamat untuk digunakan tanpa was-was.

* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca