PENGGEMAR Blackberry pasti terkesan dengan keputusan menghentikan perkhidmatan telefon bimbit tersebut. Meskipun beberapa jenis Blackberry masih beroperasi termasuk boleh membuat panggilan, namun secara rasmi era Blackberry berakhir Selasa... Klik di sini untuk terus membaca

PENGGEMAR Blackberry pasti terkesan dengan keputusan menghentikan perkhidmatan telefon bimbit tersebut. Meskipun beberapa jenis Blackberry masih beroperasi termasuk boleh membuat panggilan, namun secara rasmi era Blackberry berakhir Selasa lalu.

Itulah dunia kejuruteraan aplikasi dan penciptaan. Akhiran sesuatu ciptaan menandakan bermula inovasi terbaharu.

Segalanya pantas dan inovasi sentiasa diutamakan. Tidak sampai 10 tahun lalu, kita masih saling bertukar ‘pin Blackberry’ bersama kenalan baharu. Dunia kejuruteraan aplikasi dan penciptaan mengejar ciptaan baharu tanpa mengenal erti masa serta kepenatan.

Kini, diputarkan masa pantas ke hadapan, kita berdepan satu lagi ciptaan baharu iaitu ‘Virtual Universe’ (VU). Ia bermaksud alam semesta maya atau ‘dunia maya’ baharu.

VU mampu mengubah kehidupan manusia menggunakan teknologi translucia metaverse. Bermula 2022, manusia boleh hidup dengan ciptaan realiti kehidupan digital dalam dunia maya.

Pencetus teknologi VU mencipta ekonomi baharu dengan model perniagaan termasuk aset dibangunkan secara maya. Manusia boleh memiliki ‘avatar’ sendiri untuk bekerja, berkebun, membeli-belah, bersukan dan bersosial dalam alam nyata mengikut masa sebenar (real time).

Selepas seharian penat bekerja, ‘avatar’ kita bertemu rakan-rakan ‘avatar’ lain menerusi alam maya. Mereka berbual mesra di kafe pilihan sedangkan pemilik ‘avatar’ sebenar berehat di rumah.

VU banyak berkait rapat dengan penciptaan dunia maya 3 dimensi (3D). Paling menarik, sehingga kini belum ada terjemahan tepat untuk metaverse dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, generasi dunia digital atau ‘ruang dalam talian’ menawar pengalaman interaksi dalam pelbagai dimensi bagi membolehkan pemilik ‘avatar’ menyesuaikan diri dalam ruang talian.

VU DAN AVATAR

Pencipta teknologi VU memfokuskan secara serius penggunaan ‘avatar’ maya untuk disesuaikan dalam dunia sebenar menerusi ruang siber komunal melepasi pemikiran fizikal ciptaan ALLAH SWT.

Dunia metaverse mula diperkenalkan oleh Neal Stephenson menerusi novel dystopian bertajuk Snow Crash pada 1992. Dalam novel tersebut, manusia berinteraksi antara satu sama lain sebagai ‘avatar’ dalam ruang maya 3D.

Pada 2009, sebuah filem epik sains fiksyen Amerika Avatar arahan James Cameron turut menonjolkan dunia maya sebagai realiti dalam dunia sebenar.

Persoalannya, apakah kepentingan VU atau metaverse kepada rakyat Malaysia? Beberapa syarikat antarabangsa telah menyelidik dan membina kemahiran demi pembangunan teknologi metaverse.

Facebook misalnya, telah mengumumkan kumpulan produk dalaman ditugaskan untuk membina visi VU. Roblox membina permainan metaverse, kononnya untuk masa depan komunikasi.

Thailand juga pantas mendahului kemajuan dunia metaverse. Sebuah syarikat berpangkalan di Bangkok, T&B Media Global Company Limited berjaya mencipta teknologi translucia metaverse sebenar pertama di dunia secara rahsia pada September tahun lalu.

Platform translucia metaverse dilihat mampu mencetus pelbagai kemungkinan tanpa had yang boleh mengubah dunia dalam semua dimensi dan membuka peluang baharu merangkumi teknologi persekitaran maya. Ia juga dikatakan boleh membantu meningkatkan keharmonian sosial.

Namun, ALLAH SWT telah mengingatkan manusia tentang kejadian langit dan bumi yang telah lengkap untuk dinikmati sebagaimana dinyatakan dalam surah Luqman ayat [31:20] bermaksud: "Tidakkah kamu lihat bahawa ALLAH telah mudahkan untuk kamu apa-apa yang di langit dan di bumi, dan Ia (ALLAH) telah turunkan atas kamu nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan batin tetapi sebahagian daripada manusia ada yang membantah tentang (keesaan) ALLAH dengan tidak mempunyai ilmu atau petunjuk atau kitab yang memberi penerangan?”

Justeru, meskipun teknologi translucia metaverse dikatakan platform terkini teknologi canggih, imaginasi dan kreativiti, namun jika penggunaannya tidak dibendung secara konsisten, ia pasti menyebabkan kecelaruan dalam sistem kehidupan kemanusiaan.

‘Avatar’ orang Malaysia mungkin mudah terpengaruh kepada pemikiran, ideologi, budaya dan pelbagai elemen Barat yang kadangkala tiada batas sempadan pergaulan.

Kesimpulannya, penulis sarankan agar berhati-hati menerima inovasi alam maya. Tanpa asas keimanan kukuh, ‘avatar’ kita tanpa disedari mungkin mudah terjerumus ke lembah kehinaan!

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre Selangor

Klik di sini untuk terus membaca