SHAH ALAM - Beberapa pakar perdagangan saham tempatan menggesa rakyat negara ini memberi kepercayaan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menyiasat dakwaan pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Beberapa pakar perdagangan saham tempatan menggesa rakyat negara ini memberi kepercayaan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menyiasat dakwaan pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki secara menyeluruh.

Bagi seorang wakil pemerdagangan saham berpengalaman, Hilman Sulaiman berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai seorang remisier dan pedagang saham, SC merupakan sebuah agensi penguatkuasa undang-undang sekuriti yang sangat berkredibiliti dan berkeupayaan menyiasat sesuatu kes meragukan sehingga ke lubang cacing.

Dalam konteks kebenaran pemilik akaun pedagangan saham memberi 'pinjam' akaun kepada individu lain untuk melakukan dagangan saham, beliau turut bersetuju dengan pandangan SC bahawa perbuatan itu adalah bertentangan dengan Seksyen 25 dan Seksyen 29 A Akta Perindustrian Sekuriti (Deposistori Pusat) 1991 (SICDA).

"Saya berpandangan sama dengan SC iaitu dari segi perundangan Seksyen 25 dan 29 A, segala urusan dalam sekuriti hanya boleh dilaksanakan oleh pihak yang mempunyai fisial dalam sekuriti itu atau orang yang diberi kuasa dan dilantik sebagai wakil.

"Bagaimanapun, isu berkaitan Ketua Pengarah SPRM lebih baik jangan dispekulasikan terlebih dahulu, sebaliknya beri ruang untuk SC menyiasat perkara berkenaan sehingga ke lubang cacing.

"Dengan rekod penyiasatan cemerlang serta akses tidak terhad dimiliki SC dalam meneliti dokumentasi sesuatu kes pemilikan sekuriti meragukan, saya yakin isu ini akan dapat dirungkai SC dengan sebaiknya," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Hilman Sulaiman yakin dengan keupayaan SC untuk menyiasat kes pemilikan saham dikaitkan Azam sehingga ke lubang cacing,


PENJAWAT AWAM WAJIB ISYTIHAR HARTA

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Azam pada Rabu yang menyatakan adiknya, Nasir Baki menggunakan akaun pemilikan saham miliknya untuk membeli jutaan saham daripada syarikat milikan awam sekitar tahun 2015 hingga 2016.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd pada 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Selain itu, Azam juga dikatakan memiliki 1,930,000 saham dalam Gets Global Bhd pada tahun 2015.

Berikutan itu, Azam turut menegaskan saham syarikat yang dibeli tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM selain memaklumkan saham itu kemudiannya dipindahkan kepada adiknya.

Mengulas lanjut, Hilman turut berpandangan Azam boleh dianggap melanggar kesalahan di bawah Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 dan Seksyen 10 Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sekiranya beliau didapati gagal mengisytiharkan pemilikan saham dengan sejumlah unit tertentu kepada Lembaga Tatatertib SPRM.

Hal ini kerana semua penjawat awam diwajibkan mengisytiharkan segala harta boleh alih, seperti pemilikan wang di dalam bank, kenderaan, barang kemas, senjata api, saham, waran, stok, bond dan sekuriti selain harta tidak boleh alih seperti tanah, hartanah serta pemilikan atau menjadi ahli lembaga pengarah sesebuah syarikat.

"Sebagai tambahan, saya juga mendapati wujud peraturan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3/2002 - Pemilikan dan Pengisytiharan Aset Penjawat Awam yang menghalang seseorang penjawat awam daripada memiliki saham mana-mana syarikat bernilai lebih RM100,000.

"Justeru, persoalan sama ada Tan Sri Azam benar-benar menyalahi peraturan dalam pemilikan saham dan waran adalah bergantung kepada sejauh mana beliau mampu membuktikan pengisytiharan pemilikan saham pada dua syarikat milikan awam ini telah dibuat, sekali gus menyakinkan SC," katanya.

KEMUDAHAN MARGIN KEWANGAN

Dalam pada itu, pakar kewangan saham daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Md Dali tidak menolak kemungkinan akaun milikan saham peribadi Azam digunakan adiknya bagi membeli saham di pasaran terbuka disebabkan beliau menerima 'kemudahan margin kewangan'.

Jelas beliau, kemudahan itu adalah satu tawaran biasa diberikan sesebuah syarikat broker kepada mana-mana pemilik akaun saham yang memiliki rekod dagangan memuaskan dan tidak sekadar diperoleh oleh individu 'istimewa' sahaja.

"Melalui kemudahan itu, syarikat broker boleh memberikan 'leverage' saham dengan nilai tertentu kepada pemilik akaun selain kelonggaran menangguhkan bayaran pembelian saham kepada tempoh tertentu.

"Bagaimanapun, segala urusan transaksi pembelian saham dan sebagainya sepatutnya diuruskan sendiri oleh pemilik akaun saham kerana konsepnya sama seperti pemilik akaun bank tidak boleh membenarkan akaun mereka digunakan oleh mana-mana pihak luar atas tujuan keselamatan.

"Begitu juga dengan pemilik akaun saham tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil deposit daripada orang lain untuk dilaburkan saham dagangan melalui akaun peribadi sendiri. Sekiranya mahu berbuat demikian, individu itu haruslah memiliki lesen pengurus dana sekuriti yang dikeluarkan SC," katanya. Klik di sini untuk terus membaca