ISU memberi orang lain menggunakan akaun bank kita atau apa-apa sahaja akaun seperti e-mel, Facebook, WhatsApp dan TikTok yang berkaitan dengan peribadi kita hendaklah dielakkan. Kita perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa.
Walaupun kepada saudara-mara, hendaklah kita beringat agar tidak mudah memberi mereka menggunakan akaun bank atau akaun Central Depositary System (CDS) kita. Kadangkala kita tidak boleh meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka.
Dalam keluarga, jika melibatkan harta pusaka atau wang ringgit pun boleh bergaduh, apatah lagi jika berlaku pula gejala tidak sihat seperti akaun bank kita digunakan untuk jenayah, maka huru-haralah keluarga.
Ramai yang telah menjadi mangsa keldai akaun. Banyak kes dipaparkan di media. Pada 2017, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Lazim ada memberi peringatan dan nasihat supaya tidak menjadi keldai akaun.
Beliau berkata, mereka yang mengizinkan orang lain menggunakan akaun peribadi untuk kegiatan jenayah komersial boleh dianggap bersubahat dengan dalang jenayah komersial.
Jelas beliau lagi, mereka yang memberi orang lain menggunakan akaun peribadi biasanya dijanjikan komisen dalam jumlah tertentu oleh penjenayah siber. Maka, eloklah kita berhati-hati.
Biasanya penjenayah yang suka menipu atau dipanggil scammer akan mencari mangsa yang mungkin memerlukan duit atau tamak, bak kata pepatah ibarat beruk berjumpa pisang masak setandan, akan mudah tergoda dengan tawaran komisen lumayan.
Semua maklumat diri kita secara umumnya dan kewangan secara khususnya hendaklah dijaga rapi. Nombor akaun bank jangan dipaparkan sesuka hati.
Jika tidak, kita mungkin akan menjadi mangsa maklumat diri disalahgunakan pihak ketiga.
Ada juga saudara mara atau kawan-kawan yang mengunakan akaun bank kita untuk membuat pinjaman dengan lintah darat. Akaun digunakan untuk kemasukan wang sahaja. Duit itu kemudian lesap dan yang tinggal hanya pemilik akaun yang mungkin terkebil-kebil apabila ah long datang menyimbah cat di keretanya.
Ada juga situasi orang itu mungkin muflis dan tidak boleh membuka akaun bank bagi membeli saham. Disebabkan mereka mungkin cekap menganalisis kenaikan atau turunnya harga saham, maka mereka akan menggunakan nama dan akaun kawan-kawan atau keluarga bagi membolehkan mereka membuat transaksi.
Jika merujuk kepada Perkara (2) (5) Bahagian 25 Akta Perindustrian Sekuriti 1991, hendaklah secara umumnya di atas tanggungjawab orang atau penama yang membuka akaun tersebut.
Dalam situasi kerja kontrak melibatkan kontraktor juga banyak berlaku perkara sebegitu. Biasanya kontraktor kaya akan menggunakan nama syarikat dan akaun bank syarikat kawan-kawan kontraktor miskin yang mungkin lebih banyak termenung kerana tidak ada projek.
Kontraktor yang mungkin tidak dapat kerja akan memberi pinjam nama dan akaun kepada kawan mereka yang mungkin cekap dalam memenangi tender atau sebut harga.
Perjanjiannya untuk menggunakan akaun adalah mungkin komisen 10 peratus sahaja.
AKAUN DERMA
Ada juga kes salah guna akaun bank untuk derma. Ada seorang hamba ALLAH telah ditangkap kerana dikatakan menderma kepada akaun yang didapati terlibat dengan aktiviti pengganas.
Maka, kita juga perlu berhati-hati jika hendak menderma kerana adakalanya ia berselindung di balik derma untuk keagamaan atau bencana kononnya.
Mereka yang menjadi mangsa penipuan, bak kata pepatah apa boleh buat, sakit menimpa sesal terlambat.
Penipuan yang berlaku sekarang terutama di media sosial menakutkan kita. Paling kita takut apabila ada yang tidak bersalah menjadi mangsa.
Data-data peribadi disalahgunakan menyebabkan kita menanggung akibatnya.
Penjenayah sebenar mungkin boleh terlepas bila-bila masa kerana tidak cukup bukti untuk mendakwanya disebabkan kecuaian kita yang tidak peka.
Kita juga perlu memantau anak-anak dan isteri supaya tidak mudah tertipu di media sosial. Bak kata pepatah, biar berkelahi dulu, jangan berkelahi kemudian.
Setiap tawaran atau sogokan yang katanya hendak memberi untung kepada kita hendaklah kita fikir kerana fikir itu pelita hati.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca