SHAH ALAM - Biarpun sedar hukuman yang bakal menanti, namun sindiket pemalsuan dokumen seolah-olah tidak gentar dengan undang-undang di negara ini apabila terus terlibat dengan jenayah tersebut. Demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun sedar hukuman yang bakal menanti, namun sindiket pemalsuan dokumen seolah-olah tidak gentar dengan undang-undang di negara ini apabila terus terlibat dengan jenayah tersebut.

Demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda, sindiket terbabit semakin berani melakukan jenayah pemalsuan dokumen Imigresen seolah-olah tiada tindakan daripada pihak berkuasa berkenaan.

Sedangkan, pelbagai operasi dan usaha dilaksanakan pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan tersebut, khususnya Jabatan Imigresen Malaysia.

Menjelaskan secara lanjut mengenai kegiatan sindiket pemalsuan dokumen, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket terbabit memalsukan dokumen keselamatan jabatan itu selain agensi kerajaan lain atau negara luar untuk dijual kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Sindiket menjalankan aktiviti, antaranya melibatkan pemalsuan cap-cap keselamatan pintu masuk, pelekat keselamatan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Selain itu, sindiket turut dikesan memalsukan surat-surat kelulusan seperti kelulusan kuota pekerja asing," katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya baru-baru ini.

Khairul Dzaimee ketika ditemu bual Sinar Harian di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

WARGA ASING JADI DALANG

Berdasarkan operasi yang dijalankan, Khairul Dzaimee memberitahu, sindiket pemalsuan dokumen itu didalangi oleh warga asing.

"Siasatan dijalankan mendapati warga Myanmar dan Bangladesh antara tertinggi yang dikesan terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen ini.

"Penglibatan tertinggi individu dari dua negara berkenaan dalam sindiket pemalsuan dokumen ini kerana jumlah warga Myanmar dan Bangladesh antara yang tertinggi dicatatkan di negara ini," katanya.

Menurut beliau, ada antara suspek yang terlibat dalam sindiket itu merupakan warga asing yang menetap di negara ini dalam tempoh yang agak lama.

"Berbekalkan pengalaman yang ada, mereka mempelajari sedikit selok-belok berkaitan dokumen imigresen dan dengan pengetahuan mengenai teknologi, mereka kemudian menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen," katanya.

Antara dokumen yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan Imigresen baru-baru ini.

Ironinya, anggota sindiket didapati mempunyai dokumen sah di negara ini.

"Kebanyakan sindiket ini mereka tidak tinggal di negara ini secara haram, sebaliknya mereka mempunyai pas yang sah.

"Jadi dengan pengalaman dan selok-belok yang mereka peroleh, tanpa memikirkan kesan jangka panjang mereka jalankan kegiatan ini dan jadikannya sebagai satu perniagaan," ujarnya

Tambah beliau, pelanggan sindiket itu pula didapati memasuki negara ini sebagai pelancong dan mereka mendapatkan khidmat sindiket apabila tempoh berada di negara ini sudah berakhir.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket pemalsuan dokumen dikesan mempunyai rangkaian yang sangat teratur.

"Menerusi siasatan yang dijalankan, sindiket mempunyai ketua, individu yang berkemahiran untuk mencetak dan runner untuk mendapatkan pelanggan serta menyerahkan dokumen yang dihasilkan.

"Kelicikan sindiket beroperasi dan melihatkan seolah-olah antara mereka tidak kenal antara satu sama lain, sekali gus bagi mengelakkan aktiviti dikesan pihak berkuasa," tambah beliau.

GUNA MEDIA SOSIAL

Khairul Dzaimee mendedahkan, taktik promosi sindiket terbabit ialah menggunakan pelbagai cara termasuk menerusi media sosial.

"Antara kaedah digunakan seperti WeChat, WhatsApp dan Facebook selain menerusi kaedah mulut ke mulut dalam kalangan warga asing yang pernah menggunakan khidmat mereka.

"Pelanggan pula terdiri daripada mereka yang tinggal lebih masa di negara ini dan ingin membuat pas palsu untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Jelas beliau, kaedah penjualan dokumen yang telah dipalsukan tidak diserahkan secara terus kepada pelanggan.

"Menerusi siasatan yang dijalankan, pelanggan tidak akan datang terus ke lokasi pemalsuan dijalankan, sebaliknya akan berhubung menerusi panggilan serta aplikasi WhatsApp.

"Misalnya, kalau sindiket beroperasi di Sungai Besi, Kuala Lumpur, pelanggan tidak datang terus ke lokasi berkenaan, sebaliknya mereka akan jumpa di tempat tertentu dan bayaran akan dibuat secara dalam talian," katanya.

PEMERIKSAAN DOKUMEN

Khairul Dzaimee berkata, pemalsuan dokumen juga boleh dikesan dengan pemeriksaan yang teliti dijalankan ke atas dokumen terbabit.

"Imigresen boleh membezakan dokumen ini, sama ada yang tulen atau telah diciplak, dan salah satunya daripadanya ialah kualiti kertas digunakan.

"Selain itu, kita juga akan menyemak dalam sistem, dan memang dokumen palsu tiada dalam rekod Imigresen," jelasnya.

Tambah beliau, punca utama kes pemalsuan dokumen berlaku kerana terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa kesukaran untuk mendapatkan dokumen Imigresen, misalnya PLKS.

"Sebenarnya tiada isu di sini, namun kita lihat berdasarkan siasatan, pelanggan terdiri daripada warga asing yang masuk ke negara ini secara sah iaitu dengan menggunakan pas melancong, namun sebenarnya mereka ingin bekerja di negara ini.

"Jadi kononnya nak nampak apa yang mereka lakukan itu secara sah, mereka mendapatkan khidmat sindiket dengan membuat PLKS palsu pada harga yang tinggi," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, antara kes pemalsuan dokumen yang berjaya ditumpaskan oleh pihaknya, melibatkan satu kes yang didalangi oleh warga Myanmar.

"Operasi dijalankan berdasarkan maklumat risikan selama empat bulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen.

"Suspek diberkas ketika menunggu pelanggan di dalam kereta di belakang sebuah bangunan di kawasan Kota Raya di ibu negara."Susulan penangkapan suspek telah membawa kepada satu serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Bandar Tasik Selatan yang dijadikan sebagai tempat untuk mencetak dan mengeluarkan pelbagai dokumen palsu," katanya.

Antara suspek yang diberkas terlibat dalam kegiatan pemalsuan dokumen.

Menurut beliau, modus operandi suspek adalah dengan menyewa dua unit kondominium mewah bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Satu unit dijadikan sebagai kediaman, sementara satu lagi dijadikan sebagai markas untuk kegiatan suspek.

"Siasatan dijalankan juga mendapati suspek melakukan kegiatan ini secara bersendirian sejak empat tahun lalu, dan menggunakan aplikasi seperti WhatsApp, Viver, WeChat dan Telegram sebagai medium untuk mencari pelanggan," katanya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan menyasarkan pelanggan terdiri daripada warganegara Myanmar dan Bangladesh.

"Selain mencetak dan mengeluarkan pelbagai dokumen palsu, suspek juga mampu menghasilkan dokumen palsu yang mempunyai ciri-ciri keselamatan," katanya.

Tambah beliau, kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM300 hingga RM1,000 bagi PLKS, selain i-kad (RM100), pakej cap keluar atau masuk pelbagai negara (RM200), pasport pelbagai negara (RM500), kad UNHCR (RM100), sijil kelahiran serta sijil perkahwinan Myanmar (RM100) dan lesen memandu antarabangsa (RM100).

Khairul Dzaimee berkata, hasil serbuan turut menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan semua dokumen palsu berkenaan.

"Antara yang ditemui ialah komputer, mesin pencetak, mesin 'laminate', papan pemotong, mesin pengimbas dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk mengeluarkan menghasilkan dokumen palsu,'' katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menumpaskan sindiket penggodaman Sistem myIMMs dan sindiket penjualan pelekat PLKS pada suku kedua 2021.

"Pada 19 Februari lalu, Imigresen dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan operasi bersama dan melumpuhkan sindiket penjualan pelekat PLKS dan setem hasil kerajaan.

"Pada 6 April lalu, operasi bersama antara Imigresen dan SPRM juga berjaya menumpaskan sindiket penjualan pelekat PLKS dan penggodaman sistem myIMMs yang mengakibatkan kerugian hasil levi sebanyak RM47 juta melibatkan 21,378 pelekat palsu," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kes berkenaan merupakan antara kejayaan terbesar pihaknya dalam menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen.

Antara kejayaan Imigresen Malaysia dalam membanteras sindiket pemalsuan dokumen.

KERJASAMA ANTARA AGENSI

Khairul Dzaimee berkata, kejayaan pihaknya membanteras kegiatan tersebut tidak akan berlaku tanpa kerjasama daripada agensi seperti Polis Diraja Malaysia dan SPRM.

Majikan juga perlu bertanggungjawab

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam soal pemalsuan dokumen, semua pihak harus bekerjasama dalam memastikan aktiviti berkenaan dapat dibendung.

"Majikan misalnya, perlu memastikan pas pekerja yang dimiliki setiap pekerja mereka merupakan pas yang sah.

"Bagi saya, di sini tiada alasan sekiranya majikan mendakwa tidak tahu pas yang digunakan pekerja mereka adalah pas palsu.

"Majikan perlu bertanggungjawab dan tahu pekerja mereka ini mempunyai dokumen yang sah untuk bekerja," kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca