HAKIKATNYA, isu pendidikan adalah isu yang besar dan sensitif bagi seluruh negara serta rakyat.
Jika tidak dirancang dengan baik dan ditangani pelbagai isu pendidikan dengan tuntas, hasrat menjadikan sesebuah negara itu maju, sejahtera serta memiliki rakyat berilmu dan matang hanya tinggal harapan.
Itu bermakna, perancangan pendidikan bermula peringkat prasekolah sehingga peringkat universiti perlu digarap dengan jelas selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Namun, adakalanya aksesori pendidikan lebih diutamakan berbanding input dan hasil pendidikan.
Aksesori pendidikan seperti majlis sambutan pelajar dan keceriaan sekolah bukannya tidak penting tetapi tidak sepenting input serta impak pendidikan kepada pelajar.
Seminggu dua ini, ramai ibu bapa yang bertalu-talu menghubungi pihak sekolah rendah untuk mendapatkan keputusan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi murid Tahun Enam dengan tujuan mengisi borang permohonan kemasukan ke sekolah khas seperti sekolah-sekolah berasrama penuh, sekolah kluster dan juga kelas aliran agama.
Berkaitan hal tersebut, timbul beberapa persoalan. Jika PBD bukanlah bertujuan untuk perbandingan atau persaingan murid, mengapa keputusan PBD perlu diisi dalam borang berkenaan, sedangkan sudah ada peperiksaan khas untuk memasuki sekolah tersebut?
Jika benar keputusan PBD diambil kira sebagai salah satu syarat untuk kemasukan ke sekolah berkenaan, sudah tentu akan memberi kelebihan kepada murid yang mendapat keputusan PBD cemerlang.
Bagaimanapun, jika keputusan PBD hanya digunakan sebagai melengkapkan data tahap penguasaan murid, sejauh mana PBD ditaksirkan secara adil di sekolah terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir dua tahun?.
Sebetulnya, tidak dinafikan kesungguhan dan keupayaan guru dalam melaksanakan PBD di sekolah.
Walaupun setiap penilaian bersifat relatif, adakalanya proses itu tidak dilaksanakan dengan profesional dan adil kepada murid.
Malah, ibu bapa tidak dilibatkan secara aktif dalam menjayakan PBD telah bercanggah dengan objektif pelaksanaan PBD oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Yang menyedihkan, apabila ada ibu bapa yang bertanya kepada pihak sekolah, kenapa anak-anak mereka tidak mencapai Tahap Penguasaan 5 dan 6?
Jawapan pihak guru: "Kami bukan saja-saja nak bagi ikut suka markah berkenaan, kami ada alasan yang kukuh."
Bagi pihak pentadbir pula: "Guru-guru kami ada justifikasi yang kukuh terhadap pentaksiran murid."
Walhal, ibu bapa berhak mengetahui apakah alasan pihak sekolah tidak berupaya membimbing anak-anak mereka dengan sewajarnya.
TAMBAH BAIK
Berdasarkan Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (Edisi ke-2) oleh KPM pada 2019, PBD adalah proses berterusan dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Maklumat tersebut hendaklah digunakan bagi membantu pihak sekolah dan ibu bapa untuk merancang tindakan susulan ke arah menambah baik penguasaan serta pencapaian murid dalam pembelajaran.
Walaupun tahap penguasaan minimum ditetapkan pada Tahap Penguasaan 3, guru-guru perlu membuat perancangan untuk mengembangkan potensi semua murid bagi mencapai Tahap Penguasaan 4 hingga Tahap Penguasaan 6.
Bagi mencapai matlamat tersebut, pemilihan instrumen yang sesuai, melakukan moderasi terhadap pentaksiran, bersifat terbuka dan profesional serta bekerjasama dengan murid dan ibu bapa amatlah penting untuk kelangsungan kejayaan PBD.
Mungkin isu itu tidak penting bagi sesetengah individu dan tidak perlu ambil serius pun. Namun, isu budaya kerja sesetengah sekolah yang masih bersifat eksklusif, tidak terbuka dan tidak profesional perlu diubah sejajar dengan perkembangan semasa.
Cukuplah memberi pelbagai alasan berkaitan kelemahan murid, sebaliknya renung nilai dan pembetulan cara kerja perlu ditingkatkan dari masa ke masa. Ingatlah, perbuatan kita hari ini akan memberi refleksi di dunia dan akhirat.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca