DESAS-DESUS mengenai rombakan kabinet barangkali perkara paling hangat dibincangkan sekarang. Ironinya, ia timbul ketika kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru sahaja lima bulan dibentuk dan telah selesai meraikan... Klik di sini untuk terus membaca

DESAS-DESUS mengenai rombakan kabinet barangkali perkara paling hangat dibincangkan sekarang.

Ironinya, ia timbul ketika kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru sahaja lima bulan dibentuk dan telah selesai meraikan sambutan pencapaian 100 harinya yang disifatkan beliau sebagai cemerlang.

Persoalannya, perlukah rombak kabinet? Jawapan itu hanya boleh dijawab Perdana Menteri sendiri. Kuasa merombak kabinet adalah hak prerogatif beliau sebagai ketua kerajaan.

Namun, perkembangan semasa memperlihatkan rombakan ataupun sekurang-kurangnya ‘reset’ kabinet adalah satu keperluan.

Apa yang berlaku ketika bencana banjir barangkali mewajarkannya. Kalau sampai Perdana Menteri melenting dan segera mengarahkan menteri-menteri pulang dari luar negara sudah cukup untuk memberitahu bagaimana tidak pekanya mereka dengan keadaan ketika itu.

Kritikan dan kekecewaan masyarakat dek kerana itu sudah cukup menuntut kepada perubahan dan rombakan tersebut.

Lagipun ia bukan baharu. Ketika mereka menjadi menteri zaman Perikatan Nasional (PN), desakan sebegitu sudah timbul selepas kes Covid-19 kembali naik mendadak setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Kenapa perlu rombak? Hal itu berkait rapat dengan imej, reputasi dan kewibawaan kepemimpinan.

INDIA DAN UK GUGURKAN MENTERI

India dan United Kingdom (UK) adalah dua negara yang memperlihatkan hal tersebut tahun lalu.

Di India, Perdana Menteri, Narendra Modi pada Julai lalu mengarahkan 12 menterinya letak jawatan sebelum merombak kabinet setelah kepimpinannya dikritik hebat kerana gagal menangani Covid-19.

Boris Johnson juga membuat perkara sama buat kali kedua September lalu setelah pertama kali merombaknya hanya selepas dua bulan memenangi pilihan raya pada Disember 2019.

Rombakan kabinet kedua dalam tempoh dua tahun kepimpinannya juga dibuat susulan kritikan ke atas kelemahan kerajaan menyelesaikan ketidaksamarataan wilayah dan ketidakcekapan menteri yang dilantiknya menangani pandemik.

Kedua-dua tokoh itu merombak kabinet masing-masing sebagai langkah memulihkan semula imej dan reputasi kerajaan.

Kegagalan berbuat demikian akan memperlihatkan bahawa kerajaan akan terus gagal dan tiada perubahan dalam tindakan mereka seterusnya.

Kepimpinan Ismail Sabri juga berdepan senario serupa, cuma masalah dihadapi mungkin lebih sukar dan kompleks berbanding Modi serta Johnson.

Mungkin merombak kabinet dengan menggugurkan beberapa menteri semacam tindakan berani mati dan mustahil untuk dilakukan.

Dengan majoriti rapuh dimiliki, membentuk satu kabinet yang memuaskan hati semua pun sudah terlalu sukar, apatah lagi cuba menukarnya.

Tetapi tidak merombak kabinet juga akan menguatkan lagi persepsi dan kekecewaan massa kepada kepimpinannya yang dikatakan lemah.

Jika rombakan hanya sekadar menukar portfolio menteri sahaja pun bakal mengundang kritikan dan pertikaian, bayangkan pula kalau tiada rombakan langsung.

Dengan masa semakin suntuk dan kritikal, reputasi serta kewibawaannya dilihat menjadi pertaruhan. Hal itu sangat penting dalam aspek karier dan masa depan politik seseorang.

Di sinilah ujian sebenar terhadap kepimpinan. Bukan mudah mengimbangi desakan semasa dan pada masa sama tidak mempunyai banyak pilihan. Setiap keputusan jelas akan membawa risiko dan mudarat tertentu.

Merombak kabinet mungkin akan menggembirakan rakyat dan menaikkan saham pemimpin tetapi berisiko memecahkan kestabilan yang berupaya menggugat kerajaan.

Sudahnya kalau itu berlaku, masalahnya akan kembali kepada rakyat dan dalam keadaan sekarang, itulah perkara paling perlu dielakkan dalam segala masalah.

Tetapi pemimpin sebenar selalunya muncul daripada situasi sebegini. Sebab itu, Arnold Glasow (1995) mengatakan bahawa salah satu ujian kepimpinan bagi pemimpin dan negarawan hebat adalah kebolehan mengenali sesuatu masalah sebelum ia menjadi darurat dan menyifatkan seorang pemimpin tulen bukanlah seorang yang mencari kata sepakat tetapi seorang yang membentuk kesepakatan.

Dalam hal ini, adakah Ismail Sabri berupaya muncul sebagai pemimpin seperti disifatkan Glasow itu?

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca