SHAH ALAM - Teka-teki siapa bakal mengepalai parti baharu diambil alih pada 27 Oktober lalu, Parti Bangsa Malaysia (PBM) akhirnya terjawab apabila Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dilantik sebagai Presiden parti itu. Larry Sng ... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Teka-teki siapa bakal mengepalai parti baharu diambil alih pada 27 Oktober lalu, Parti Bangsa Malaysia (PBM) akhirnya terjawab apabila Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dilantik sebagai Presiden parti itu.

Larry Sng

Keputusan pemilihan itu diputuskan oleh para perwakilan daripada 12 bahagian PBM yang menghadiri Mesyuarat Khas Persidangan Agung (EGM) parti yang diadakan di sebuah hotel di Sibu, Sarawak pada Sabtu.

Selain Sng, sejumlah 30 ahli jawatankuasa kepimpinan baharu PBM turut dilantik dan dipilih dalam mesyuarat EGM berkenaan termasuk pelantikan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha dan Wong Judat sebagai Timbalan Presiden selain Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam sebagai Naib Presiden parti itu.

Haniza Talha


Steve Choong

Lebih menarik, seorang lagi bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi dilantik sebagai Ketua Wanita PBM, manakala bekas Exco Kerajaan Negeri Perak daripada DAP, Paul Yong Choo Kiong dipilih sebagai Bendahari Agung parti itu.

Sng sewaktu dihubungi berkata, pelaksanaan EGM dan pemilihan parti dibuat atas saranan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) susulan sesi EGM pertama yang diadakan pada 14 November tahun lalu dianggap tidak lengkap.

Jelas beliau, hal ini disebabkan berlaku isu teknikal pembentukan jawatankuasa baharu yang sebelum ini terdiri daripada bekas ahli Parti Pekerja Sarawak (SWP) sewaktu EGM kali pertama diadakan tahun lalu.

"Namun kini masalah itu telah selesai dan PBM mengambil kesempatan itu untuk terus mengadakan pemilihan parti daripada jawatan Presiden hingga Ahli Majlis Tertinggi seramai 25 orang dan lima ahli jawatankuasa kepimpinan yang dilantik.

"Pada masa sama, seluruh kepimpinan, perwakilan dan pemerhati juga telah menyatakan hasrat untuk mendukung kepimpinan kerajaan yang mentadbir negara hari ini dan akan berusaha memastikan agenda PBM dalam mengangkat hasrat rakyat pelbagai kaum dan berbilang bangsa di Malaysia dapat dilaksanakan selepas ini," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Pada 21 Disember tahun lalu, PBM membuat kemunculan dalam kancah politik negara ini apabila dilancarkan oleh Sng yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden parti berkenaan.

Difahamkan, PBM dahulunya dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP) dengan RoS telah meluluskan penukaran nama SWP kepada PBM dan perlembagaan baharunya.

PBM mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 14 November dan barisan kepemimpinan baharu juga dilantik.

Sebelum ini, Presiden PBM ialah Mohamad Sukri Yusri, manakala Sng dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Beberapa nama seperti Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamarudin dan Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri turut dikaitkan dengan spekulasi bakal mengetuai parti itu.

Mengulas lanjut, Sng turut menegaskan 12 bahagian PBM turut mengusulkan agar parti itu menjadi parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ujarnya, usul itu telah dipersetujui barisan kepimpinan baharu parti dengan sesi perbincangan lanjut dengan Majlis Tertinggi BN akan diadakan dalam masa terdekat.

"Hal ini kerana kami melihat PBM mampu menjadi opsyen parti berbilang kaum dalam koalisi BN bagi memenangi seberapa banyak kerusi campuran penting di semenanjung dan Sabah.

"Ditambah dengan BN terbukti mempunyai urus tadbir parti yang stabil selain dianggap koalisi paling berpengalaman mentadbir negara, keputusan PBM untuk menjadi sebahagian parti komponen BN dianggap strategi tepat," katanya.

Bagaimanapun, Sng yang juga bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui perjalanan untuk PBM dilantik sebagai parti komponen BN masih lagi jauh kerana pihaknya perlu melalui beberapa proses perbincangan dengan parti-parti komponen dalam BN sendiri.

"Kita juga akan menyatakan hasrat menyertai BN kepada Majlis Tertinggi BN dalam masa terdekat dan berharap proses itu dipermudahkan.

"Dengan jumlah keahlian PBM kini sudah menjangkau 70,000 orang sesudah disertai 53,109 ahli sayap Penggerak Komuniti Negara (PKN) selain 30,000 bekas ahli SWP yang masih kekal bersama kami, saya yakin BN akan menerima manfaat besar jika menerima penyertaan kami," katanya.


SENARAI AHLI JAWATANKUASA KEPIMPINAN BAHARU PBM SESI 2021/2023:


Presiden : Larry Sng

Timbalan Presiden 1 : Haniza Mohamed Talha

Timbalan Presiden II : Wong Judat

Naib Presiden Kanan 1 : Steven Choong Shiau Yoon

Naib Presiden Kanan 2 : A Sivasubramaniam

Naib Presiden 1 : Rahimah Majid

Naib Presiden 2 : Dr A Sathiskumar

Naib Presiden 3 : Saiful Bahari Sahri

Ketua Wanita : Dr Daroyah Alwi

Ketua Pemuda : Na'im Brundage

Setiausaha Agung : Nor Hizwan Ahmad

Timbalan Setiausaha Agung : Jenny Chew

Bendahari Agung : Paul Yong Choo Kiong

Ketua Penerangan : Zakaria Abdul Hamid

Klik di sini untuk terus membaca