BENCANA seharusnya menyatukan manusia untuk saling membantu ketika waktu sukar. Namun di Malaysia, bencana menjadi medan per-pecahan, perbalahan dan pergaduhan. Sasaran utama tentulah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan... Klik di sini untuk terus membaca

BENCANA seharusnya menyatukan manusia untuk saling membantu ketika waktu sukar. Namun di Malaysia, bencana menjadi medan per-pecahan, perbalahan dan pergaduhan.

Sasaran utama tentulah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menteri-menteri. Sejak hari pertama mereka dilabel gagal, lembab dan tidak bersedia, seolah-olah mereka ada kuasa ajaib menyelamatkan ratusan ribu orang sekelip mata.

Tidak ramai mahu merenung seketika, apakah kita pernah melihat banjir sebesar dan sepantas ini. Ia bukan sekadar melanda Pantai Timur tetapi juga di pantai barat termasuk Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan paling teruk Lembah Klang melibatkan Klang, Sri Muda, Shah Alam dan Hulu Langat.

Ratusan ribu terperangkap dalam banjir sekelip mata yang menyukarkan usaha pemindahan dan operasi menyelamat. Dalam keadaan apa pun, kita ada limitasi dan kekangan berdepan bencana alam.

Di sebalik amaran awal oleh pihak berkuasa tempatan, ramai memilih kekal di rumah kerana beranggapan banjir sekadar paras lutut.

Ternyata empangan, sungai dan Terowong Lebuhraya SMART tidak mampu menampung hujan yang datang menggila di pantai barat Semenanjung.

Ramai terperangkap di dalam rumah, memanjat bumbung dan mencari lantai lebih tinggi di pangsapuri yang ada. Rumah dua tingkat turut ditenggelami air menyebabkan pihak berkuasa dan penyelamat bertungkus lumus mencari jalan melaksanakan operasi menyelamat.

Walaupun seawal tengah hari Sabtu, operasi menyelamat telah dilakukan pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun menjelang Sabtu malam, ia menjadi sukar kerana paras air terlalu tinggi.

Bot-bot pasukan penyelamat mula berdepan risiko melanggar bas, lori dan kereta yang tenggelam. Tiba waktu malam, sudah tidak tahu mana satu laluan selamat untuk bot, mana satu laluan yang boleh menyebabkan kemalangan.

Keselamatan bukan sekadar kepada mereka yang terperangkap tetapi juga anggota penyelamat. Semua perlu berhati-hati mengelak operasi menyelamat mangsa banjir bertukar menjadi operasi menyelamat anggota penyelamat.

Faktor-faktor itu menjadikan operasi menyelamat perlahan. Ia tidak semudah mengumpul murid-murid menaiki bas atau nyanyian di media sosial.

Ramai juga orang awam berdekatan dan mempunyai peralatan mengambil risiko membantu mangsa yang terperangkap. Mereka lebih mudah sampai kerana berada di sekitar kawasan dan lebih mengenali persekitaran.

Sudah tentu mereka yang terperangkap berdepan maut dan kelaparan akan mudah marah serta menyalahkan kerajaan.

Pihak kerajaan telah membuat persediaan banjir dengan menyediakan seramai 66,015 petugas pelbagai agensi penguat kuasa dan 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang boleh menempatkan lebih sejuta orang.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa kita hanya ada 120,000 anggota tentera, 12,500 anggota bomba dan penyelamat serta kira-kira 43,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam.

Malangnya, limitasi kemampuan anggota penyelamat berbanding jumlah mangsa terlalu tinggi dan kawasan terlalu besar ini tidak pernah diambil peduli oleh ejen-ejen provokator politik, pengkritik semberono dan ahli politik berkepentingan.

Meredakan tekanan perasaan rakyat tidak menguntungkan mereka. Sebaliknya mislead realiti bagi menimbulkan kemarahan rakyat adalah laba politik.

Ada yang menuduh Perdana Menteri lembab sedangkan beliau berada di lapangan sehingga jam 2 pagi mulai Sabtu malam sehingga Ahad pagi.

Ada pula membandingkan gambar Perdana Menteri meninjau banjir dengan kereta dan gambar Presiden Jokowi yang turun meredah banjir. Banyak sahaja gambar Perdana Menteri meredah banjir dan berhujan, namun ia diabaikan oleh pemfitnah-pemfitnah.

Demikianlah ketika kerajaan dan sebahagian rakyat berusaha menyelamatkan mangsa banjir, ada segelintir manusia sibuk menaip fitnah, adu domba dan hasutan.

Realitinya, sehebat mana pun persediaan kita, tidak mungkin kita boleh menjadi sempurna dalam bencana besar seperti ini. Bukan sahaja di Malaysia, malah di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), bencana alam sentiasa menuntut korban.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca