TERAS kepada sistem perundangan di Malaysia adalah Islam kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kedudukan istimewa kepada Islam sebagai agama Persekutuan. Perkara 3 menegaskan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan.... Klik di sini untuk terus membaca

TERAS kepada sistem perundangan di Malaysia adalah Islam kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kedudukan istimewa kepada Islam sebagai agama Persekutuan. Perkara 3 menegaskan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan.

Malah, mahkamah juga telah memberi tafsiran kepada Perkara 3 bagi menjelaskan kedudukan Islam itu sendiri.

Misalnya dalam satu kes Mahkamah Tinggi iaitu Meor Atiqurrahman lawan Fatimah Sihi, Hakim Mohd Noor memutuskan: "Islam agama bagi Persekutuan tapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu.

"Islam bukan setaraf agama lain, bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi teguh dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah agama bagi Persekutuan...”

Dalam satu kes Mahkamah Persekutuan iaitu Lina Joy lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula, Hakim Ahmad Fairuz memutuskan: "Islam itu bukan suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ia juga cara hidup lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman...”

Tingginya kedudukan undang-undang Islam itu juga dapat dilihat daripada peruntukan perlembagaan lain seperti Perkara 150(6A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa legislatif semasa darurat tidak boleh melibatkan perkara berkaitan dengan antara lainnya undang-undang Islam.

Kuasa diperoleh legislatif dalam darurat tidak boleh memberi kesan kepada undang-undang Islam tetapi masih perlu dilakukan melalui prosedur khusus dan persetujuan majoriti diperoleh berdasarkan Perkara 159 dan 161E.

Begitulah tingginya kedudukan undang-undang Islam di Malaysia, disebabkan sifat Perlembagaan itu sendiri mengabsahkan susun atur dan persetujuan masyarakat berdasarkan lunas-lunas sejarah dan persetujuan bersama.

Di Malaysia, selain Wilayah-Wilayah Persekutuan, kuasa membuat undang-undang Islam terletak di bawah kuasa negeri-negeri seperti tercatat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif menyelaras dan menyeragamkan undang-undang Islam agar ia tidak berbeza antara satu negeri dengan negeri lain.

Jakim pada pertengahan 1880-an telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Syarak. Jadi adalah tidak tepat jika kita katakan undang-undang Islam di Malaysia masih di bawah pengaruh kolonial.

Mungkin dari sudut format, konsep Westminister itu masih lagi diikuti di Malaysia tetapi isi kandungan undang-undang tersebut sebenarnya tidak bertentangan dengan Islam.

Kita juga boleh melihat undang-undang Islam pada zaman penjajah adalah amat umum dan terhad tetapi kini pelbagai usaha telah dilakukan bagi memartabatkan undang-undang Islam.

Umpamanya, Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 di Selangor yang digubal ketika penjajahan telah mengumpulkan hampir semua perkara mengenai Islam dalam enakmen itu seperti penubuhan majlis agama dan Mahkamah Syariah, mufti, kesalahan jenayah syariah, tatacara dan keterangan mahkamah, baitulmal, nikah cerai dan banyak lagi.

Namun, evolusi perundangan syariah sekarang telah berjaya mengasingkan undang-undang tersebut mengikut bidang masing-masing.

Hasilnya kita dapati terdapat pelbagai undang-undang di Malaysia mengenai agama Islam seperti Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak, Undang-Undang Mahkamah Syariah, Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara Mal, Undang-Undang Tatacara Jenayah, Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah, Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah, Undang-undang Waqf, Undang-Undang Wasiat dan banyak lagi.

Semangat perundangan Islam bukan hanya perlu ada dalam undang-undang syariah tetapi keseluruhan sistem perundangan negara. Walaupun ia mungkin tidak dijenamakan sebagai undang-undang Islam, semangatnya mesti berpaksi kepada syariah.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca