NAMPAKNYA juara-juara ekonomi dan korporat yang dilantik kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan diterajui UMNO sekarang gagal memperkukuhkan asas ekonomi negara.
Paling membimbangkan tetapi kurang diperkatakan dan difahami adalah kelemahan jangka panjang mata wang ringgit serta kesannya kepada kehidupan harian rakyat.
Apabila kadar tukaran ringgit jatuh, segala urusan melibatkan penggunaannya akan terjejas. Secara automatik, harga semua barang dan perkhidmatan yang diimport akan naik.
Orang ramai mungkin tidak sedar atau tidak tahu nilai ringgit telah merosot dengan teruk sejak lebih sedekad bermula 2012 dan tidak nampak tanda-tanda pengukuhan yang jelas.
Nilai ringgit berbanding dolar Amerika tidak pernah turun di bawah RM4.03, malah pernah mencecah RM4.34. Maksudnya, untuk membeli satu dolar Amerika, kita terpaksa membayar RM4.34.
Jadi, penternak di ladang dan penjual ayam di pasar tidak berbohong apabila mereka kata harga ayam naik kerana harga makanan haiwan naik. Ia kerana kita mengimport sebahagian besar bahan untuk dijadikan makanan haiwan.
Contohnya, kita mengimport hampir 100 peratus keperluan jagung dari Brazil, Argentina dan beberapa negara lain bernilai kira-kira RM3 bilion pada 2017. Kita juga mengimport beras, gandum, kacang soya, gula mentah dan banyak lagi.
Kita membeli jagung dari Brazil dan Argentina kerana harganya lebih rendah dan mungkin juga kadar tukaran mata wang lebih baik. Itu pun kita kena tukar dulu ringgit kepada dolar Amerika sebelum membeli real Brazil dan pesos Argentina.
Nilai ringgit kita jatuh dengan teruk sejak kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi menarik balik ikatan ringgit kepada dolar Amerika pada 2005.
Sebelum itu, kadar tukaran ringgit diikat kepada dolar Amerika pada kadar RM3.80 bagi satu dolar. Langkah itu diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 bagi menyekat spekulasi ke atas ringgit.
Pada mulanya, nilai ringgit naik apabila ikatan dirungkai. Kadar tukarannya mencapai paras paling kukuh pada 2011 apabila satu dolar Amerika boleh dibeli dengan hanya RM2.99.
Tetapi tidak lama selepas itu, nilai ringgit jatuh semula dengan teruk. Menjelang 2017, apabila skandal 1MDB memuncak, nilainya jatuh merudum.
Masalah dengan mengimport bahan makanan adalah kita tiada kawalan ke atas bekalan dan harga. Nilai ringgit mungkin bertambah kukuh tapi harga bahan import pula naik.
Salah satu jawapannya – kita mengeluarkan sendiri lebih banyak bahan makanan dengan mempelbagaikan jenis tanaman dan memperbaiki kaedah pengeluaran.
Jika Thailand dan Vietnam boleh buat, mengapa tidak Malaysia? Masalahnya, kita lebih banyak bercakap daripada bekerja dan sering hangat-hangat tahi ayam sehingga jadilah standard ayam.
Sepatutnya sudah lama kita mengambil tindakan meminda dasar padi dan beras yang nyata telah gagal diperbaiki produktiviti, sebaliknya mengekalkan petani dalam kemiskinan.
Lagi pun industri beras dunia telah berubah dengan pesat sehingga menghasilkan pengeluaran berlebihan. Sejak 12 tahun lalu, harga antarabangsa beras semakin menurun.
Kita boleh menjadi negara pengeluar dan pengeksport hasil pertanian berjaya jika kita mencontohi Belanda dengan mempelbagaikan penggunaan tanah dan tanam tanaman bernilai tinggi.
Walaupun keluasan bumi Belanda hanya 41,543 kilometer persegi atau satu perlapan keluasan Malaysia, ia negara pengeksport pertanian kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).
Kesimpulannya, bukan sahaja pelabur antarabangsa kurang yakin dengan Malaysia sejak rampasan kuasa 2020, malah mereka juga kurang kepercayaan kepada menteri dan juara-juara ekonomi serta korporat yang dilantik.
Banyak syarikat besar antarabangsa memindahkan kilang mereka ke negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam. Apabila pelabur membawa keluar modal, kita akan hilang peluang pekerjaan dan sumber cukai, nilai mata wang jatuh dan harga saham di pasaran saham kita jatuh.
Memang telah menjadi hukum pasaran apabila nilai mata wang kita jatuh, segala-galanya akan menjadi lebih mahal secara automatik. Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca