UZBEKISTAN, salah satu jiran Afghanistan yang terletak di sebelah utara. Kedua-dua negara saling bergantung antara satu sama lain terutama Uzbekistan yang jauh daripada laluan perkapalan antarabangsa. Uzbekistan ialah negara dua dataran... Klik di sini untuk terus membaca

UZBEKISTAN, salah satu jiran Afghanistan yang terletak di sebelah utara. Kedua-dua negara saling bergantung antara satu sama lain terutama Uzbekistan yang jauh daripada laluan perkapalan antarabangsa.

Uzbekistan ialah negara dua dataran atau double landlocked country yang bermakna ia terpaksa melalui sempadan dua negara untuk sampai ke mana-mana pantai.

Afghanistan dan Pakistan memainkan peranan penting bagi menyambung Uzbekistan dengan rantau Asia Selatan, khasnya Lautan Hindi.

Justeru, pada Mac 2018, kerajaan Uzbekistan telah mengadakan persidangan antarabangsa mengenai Afghanistan bagi membincangkan proses damai dan kerjasama keselamatan.

Presiden Uzbekistan, Presiden Shavkat Mirziyoyev telah menegaskan kepentingan korridor ‘Trans-Afghan’ iaitu jalinan pengangkutan dan perhubungan merentasi sempadan rantau Asia Tengah serta Asia Selatan.

Korridor ‘Trans-Afghan’ dikenali sebagai jalinan ‘Timur-Barat’ kerana menyambungkan negara-negara Asia seperti Pakistan dan India dengan negara Barat. Korridor itu juga dikenali sebagai jalinan ‘Utara-Selatan’ kerana menghubungkan negara-negara di hemisfera Utara seperti Rusia dengan rantau Asia Selatan.

Pada masa sama, Afghanistan dalam keadaan transisi setelah pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dan kebangkitan semula pemerintahan Taliban.

Kerajaan Afghanistan memerlukan bantuan asing bagi pembangunan semula ekonomi dan infrastruktur utama seperti jalan raya, bekalan air serta elektrik yang telah rosak akibat pergolakan politik.

Korridor ‘Trans-Afghan’ memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada ekonomi dan usaha pembinaan semula Afghanistan. Malah, pada 2020, Shavkat Mirziyoyev telah mengadakan perbincangan antara Uzbekistan, Afghanistan dan Pakistan yang telah menghasilkan persetujuan merealisasikan Korridor ‘Trans-Afghan’ dengan melaksanakan projek laluan kereta api ‘Mazar-e-Sharif-Kabul-Peshawar’ pada Februari 2021. Kebangkitan semula Taliban tidak melemahkan aspirasi Uzbekistan untuk bekerjasama dan menghulurkan bantuan bagi membangun semula Afghanistan.

Shavkat Mirziyoyev telah beberapa kali menegaskan ketika persidangan antarabangsa seperti Persidangan Organisasi Kerjasama Shanghai (SCO), Mesyuarat Organisasi Kerjasama Shanghai dan Organisasi Perjanjian Keselamatan Kolektif (SCO-CSTO) serta Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-76 bahawa Afghanistan tidak harus diisolasi, sebaliknya diterima masyarakat antarabangsa.

Kerajaan Uzbekistan juga berpendapat dana Afghanistan di luar negara tidak harus dibekukan tetapi diaktifkan semula supaya boleh digunakan bagi tujuan pembangunan semula dan demi kepentingan penduduk Afganistan.

Menteri Luar Uzbekistan, Abdulaziz Kamilov telah mengadakan kunjungan ke Kabul bagi membincang isu-isu berkaitan pelaburan, perdagangan, tenaga dan penerbangan. Kerajaan interim pimpinan Taliban telah bersetuju meneruskan Korridor Trans-Afghan khasnya projek projek laluan kereta api ‘Mazar-e-Sharif-Kabul-Peshawar’ dan memberi jaminan keselamatan bagi pekerja terlibat dalam pembinaan tersebut.

Pembangunan Korridor Trans-Afghan juga memberi manfaat kepada projek lain termasuk Great Eurasian Partnership Rusia, projek Belt and Road Initiative China dan strategi Kesatuan Eropah untuk menghubungkan Eropah dengan Asia.

Sempadan Uzbekistan-Afghanistan dipisahkan oleh Sungai Amu Darya dan disambung oleh Jambatan Persahabatan atau Friendship Bridge di bandar Termez.

Kerajaan Uzbekistan telah membenarkan agensi-agensi PBB menggunakan kemudahan seperti lapangan kapal terbang dan laluan kereta api di Termez bagi tujuan bantuan kemanusiaan.

Secara umumnya, Korridor Trans-Afghan dan projek pembinaan laluan kereta api ‘Mazar-e-Sharif-Kabul- Peshawar’ adalah projek infrastruktur paling penting yang memenuhi kepentingan semua negara di rantau Eurasia serta memberi impak positif kepada pembangunan negara-negara Asia Tengah, perdagangan dan hubungan ekonomi Asia Selatan.

Pada masa sama, Afghanistan tidak akan menjadi penghalang, sebaliknya ‘jambatan’ untuk mengukuhkan kerjasama antara Asia Tengah dan Asia Selatan serta wilayah lain.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca