SHAH ALAM - Mana-mana ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terbukti menyertai parti lain secara terbuka termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) digesa mengisytiharkan diri masing-masing keluar daripada parti dengan segera. Ahli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mana-mana ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terbukti menyertai parti lain secara terbuka termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) digesa mengisytiharkan diri masing-masing keluar daripada parti dengan segera.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, tindakan itu dilihat lebih bermaruah daripada mereka cuba 'bermain dua kolam' dengan menunggu pengumuman Bersatu untuk menggugurkan keahlian parti masing-masing.

Tegas Muhammad Faiz, pemimpin-pemimpin berkenaan juga dicabar untuk meletakkan segera jawatan lantikan politik dalam kerajaan yang diterima mereka sebelum ini memandangkan PBM bukan sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Tambah beliau, hal ini kerana perlembagaan Bersatu menggariskan keahlian seseorang ahli Bersatu itu boleh tergugur secara automatik jika terbukti menyertai parti lain setelah menjadi ahli Bersatu.

"Negara kita mengamalkan prinsip demokrasi di mana setiap warganegara berhak menyertai atau menyokong mana-mana parti politik pilihan mereka yang telah sah terdaftar oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Adalah cukup bermaruah jika mereka yang dilantik dalam mana-mana agensi kerajaan Persekutuan, badan berkanun, atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atas kapasiti sebagai ahli Bersatu (lantikan politik) sebelum ini untuk turut meletakkan jawatan mereka jika telah menjadi ahli PBM.

"Ini kerana PBM bukan sebahagian dari PN atau Kerajaan Malaysia pada hari ini.

"Saya juga menyeru agar mana-mana menteri atau pemimpin dalam kerajaan Malaysia hari ini yang telah membuat lantikan berdasarkan kuota lantikan politik terhadap individu-individu yang kini telah terbukti bukan dari PN, BN atau GPS untuk menamatkan kontrak lantikan politik tersebut dalam kadar segera atau meminta individu-individu itu meletakkan jawatan secara sukarela," katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan sekurang-kurangnya empat ahli Bersatu yang dikenal pasti menyertai PBM dan dilantik memegang jawatan tertinggi kepimpinan parti itu melalui Mesyuarat Khas Persidangan Agung (EGM) parti yang diadakan di sebuah hotel di Sibu, Sarawak.

Selain Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dipilih sebagai Presiden parti, beberapa bekas pemimpin PKR yang pernah mengikuti Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamarudin menyertai Bersatu seperti bekas Pengerusi Lembaga Penapisan Filem Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid dan Setiausaha Politik beliau, Nor Hizwan Ahmad turut diberikan jawatan penting dalam PBM.

Tidak ketinggalan, dua bekas Exco Kerajaan Negeri Perak daripada DAP, Paul Yong Choo Kiang dan A Sivasubramaniam yang sebelum ini menyertai Bersatu, turut dilantik sebagai Naib Presiden Kanan 2 dan Bendahari Agung PBM.

Selain empat bekas ahli PKR yang menyertai Bersatu itu, sebahagian besar ahli jawatankuasa kepimpinan baharu PBM bagi sesi 2021/2023 dibayangi oleh bekas pemimpin PKR yang pro kepada Zuraida dan Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Antaranya merupakan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong; dua bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi dan Hanizah Talha; ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng; dua bekas ADUN PKR, Ong Chin Wen dan Lee Chin Cheh dan bekas Ketua Pemuda PKR, Na'im Brundage yang dilantik sebagai Ketua Pemuda PBM.

SPEKULASI LIAR

Sementara itu, Larry Sng sewaktu dihubungi Sinar Premium menegaskan dakwaan parti itu bakal disertai nama-nama pemimpin besar seperti Zuraida dan Mohamed Azmin hanyalah satu spekulasi liar semata-mata.

Ujarnya, sekiranya spekulasi itu satu kebenaran, sesi pemilihan bagi menentukan siapa mengetuai PBM tidak akan dilakukan sekarang.

Larry Sng

"Kalau benar Zuraida atau mana-mana pemimpin lain mahu mengetuai parti ini, mengapa perlu tunggu lagi?

"Tidak guna ahli-ahli parti bersepakat memilih saya dan jawatankuasa kepimpinan baharu untuk memimpin parti sekarang kalau ada orang lain mahu diangkat sebagai ketua.

"Dakwaan itu hanya spekulasi, namun kita tidak menutup pintu kepada sesiapa pun yang mahu menyertai parti ini. Asalkan individu itu ikhlas memperjuangkan semangat politik pelbagai kaum dan cenderung memenuhi kehendak rakyat untuk mewujudkan kestabilan politik negara," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca