SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mengarahkan Tan Sri Azam Baki 'berehat dan bercuti' daripada tugasnya selaku Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sementara waktu. Tindakan itu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mengarahkan Tan Sri Azam Baki 'berehat dan bercuti' daripada tugasnya selaku Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sementara waktu.

Tindakan itu perlu bagi memastikan siasatan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berhubung dakwaan pemilikan berjuta unit saham oleh Azam dapat dijalankan tanpa sebarang campur tangan pihak lain.

Pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, biarpun Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang berpuas hati dengan keterangan diberikan oleh Azam, namun siasatan perlu dilakukan oleh pihak ketiga secara adil, telus dan menyeluruh secepat mungkin.

Muhammad Fathi yang juga Pensyarah di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak UTM berkata, tindakan berkenaan tidak wajar ditangguhkan kerana kes berprofil tinggi berkenaan boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan mencalar integriti serta sistem perundangan negara.

Malah, Muhammad Fathi berkata, banyak laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak berhubung pemilikan saham luar biasa oleh Azam selaku penjawat awam, selain siasatan sedang dibuat oleh SC.

"Justeru, saya berpandangan Perdana Menteri wajar mengarahkan Tan Sri Azam Baki supaya berehat dan bercuti sementara daripada tugasnya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi mengurangkan gangguan oleh mana-mana pihak ke atas siasatan kes terbabit.

"Ini kerana mana-mana pegawai yang sedang disiasat terutama membabitkan kes berprofil tinggi terutama berkaitan integriti negara wajar bercuti supaya siasatan dilakukan dengan lebih terlus lagi," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, Perdana Menteri juga boleh menamatkan khidmat Azam selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, Seksyen 5(3) Akta SPRM 2009 menetapkan bahawa seseorang Ketua Pengarah SPRM memegang jawatan dalam tempoh yang ditetapkan ‘selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri.’

"Peruntukan ini memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk membuat tindakan yang perlu bagi menjaga nama baik negara dan kerajaan. Ini kerana jawatan berkenaan amat berkaitan dengan tahap integriti dan ketelusan kerajaan secara keseluruhan.

"Tidak dinafikan bahawa sistem keadilan menjunjung prinsip ‘seseorang tidak bersalah, sehingga dibuktikan bersalah’, namun seseorang yang berada pada kedudukan yang strategik dalam aspek integriti perlu mempunyai tahap moral yang sangat tinggi bagi menjamin keyakinan masyarakat terhadap pemerintahan negara.

"Kadangkala sesuatu masalah boleh diselesaikan dengan satu pengunduran atau penggantian, tanpa perlu ada pendakwaan dan hukuman," katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam sidang medianya pada Sabtu menegaskan kerajaan tidak berdiam diri berhubung isu melibatkan Azam.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bera itu, berkata siasatan sedang dilakukan SC dan PDRM berhubung pembelian saham yang mengaitkan Azam.

Berikutan itu, Ismail Sabri memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan isu berkaitan salah laku melibatkan sesiapa sahaja.

Klik di sini untuk terus membaca