TIGA minggu sudah berlalu apabila bencana banjir besar melanda kawasan Lembah Klang yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit.Pelbagai pihak saling menuding jari antara satu sama lain malah ada yang mengambil kesempatan menjadikan bencana... Klik di sini untuk terus membaca

TIGA minggu sudah berlalu apabila bencana banjir besar melanda kawasan Lembah Klang yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit.

Pelbagai pihak saling menuding jari antara satu sama lain malah ada yang mengambil kesempatan menjadikan bencana ini sebagai bahan untuk berpolitik.

Apa yang perlu diterima oleh semua pihak, sama ada persepsi masyarakat menyatakan banjir ini adalah kejadian semula jadi atau berlaku disebabkan tangan-tangan manusia, kedua-duanya adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan daripada berlaku dan fokus kini perlu menjurus kepada penyelesaian yang holistik dan merangkumi semua aspek.

Isu banjir di Lembah Klang ini sebenarnya adalah isu persediaan yang rapi dan juga isu komunikasi. Penduduk di Pantai Timur lebih bersedia untuk menghadapi banjir kerana sudah menjadi rutin. Oleh sebab itu penduduk di Pantai Timur lebih peka dengan sebarang maklumat yang disebarkan oleh pihak berwajib.

Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam Amanat Tahun Baharu mengakui, kekurangan dalam sistem komunikasi seperti penyampai ramalan cuaca kepada penduduk tidak dapat disalurkan dengan baik hingga menyebabkan mereka leka.

Walaupun terdapat laporan bahawa terdapat 16 kali siren telah dibunyikan di kawasan Sri Muda pada 18 Disember lalu, namun adakah sistem siren masih relevan untuk dipraktikkan di zaman ini?

Sudah pasti pendekatan ini tidak relevan dengan perkembangan teknologi masa kini. Penduduk tidak mengetahui apakah maksud siren tersebut dibunyikan tambahan dengan kawasan yang luas menyukarkan untuk semua penduduk mendengarnya.

Justeru, sudah sampai masanya integrasi dan koordinasi antara semua sistem komunikasi perlu diaktifkan agar maklumat tentang bencana benar-benar sampai ke penduduk sekitar dengan awal.

Seperti sedia maklum, jabatan kaji cuaca telah meramal keadaan cuaca yang bakal berlaku di sesuatu kawasan tetapi masa kini, berita berkenaan kaji cuaca ini hanya dilaporkan dalam slot akhir berita arus perdana yang menunjukkan tiada keseriusan dalam sesuatu amaran tersebut.

Justeru kerjasama antara semua peringkat media, termasuk platform media baharu seperti laman sosial perlu dibuat untuk menyampaikan maklumat secara pantas dan sampai ke sasaran.

Walaupun laman sosial media Jabatan Meteorologi Malaysia sentiasa mengemaskini laporan, hakikatnya, tidak semua pengguna mengikuti laman tersebut.

Kaedah amaran peringkat awal kecemasan perlu diperkenalkan. Laman sosial media, berita arus perdana dan semua siaran televisyen dan radio perlu memberhentikan segera siaran biasa dan memberi laporan dan amaran bencana yang bakal melanda. Seluruh aset dan jentera kerajaan mesti sudah bersiap siaga di kawasan-kawasan yang dikenalpasti berisiko berlaku suatu bencana.

LIPUTAN TELEKOMUNIKASI

Dalam kalangan masyarakat pula, turut perlu memainkan peranan kepada kawasan kejiranan masing-masing agar maklumat tersebut benar-benar sampai.

Sekiranya bencana tersebut berlaku, Pusat Pengurusan Bencana perlu pada tahap maksimum untuk mengkoordinasi maklumat lebih tersusun dengan agensi-agensi termasuk juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan. Ini penting agar tidak berlaku pertindihan bantuan yang tertumpu kepada satu kawasan sahaja sehingga terlepas pandang di kawasan yang lain.

Keupayaan dan capaian kemudahan telekomunikasi di kawasan bencana perlu dipastikan sentiasa berfungsi. Ini memudahkan penyaluran maklumat terkini berterusan serta usaha-usaha menyelamat dan bantuan kepada mangsa dapat disegerakan yang mana maklumat tepat dapat diterima.

Apa yang berlaku baru-baru ini, terdapat laporan menyatakan mangsa telah terputus liputan telekomunikasi menyebabkan mereka terperangkap pada tempoh yang lama.

Pihak berwajib perlu memberikan perhatian yang serius dalam usaha penyampaian maklumat dan jaringan komunikasi semasa bencana berlaku. Manusia tidak mempunyai kuasa untuk menahan daripada suatu bencana berlaku tetapi sekurang-kurangnya kita dapat mengkoordinasi pengurusan bencana dengan baik. Semoga apa yang telah berlaku baru-baru ini akan memberi pengajaran kepada semua bahawa sesuatu bencana boleh berlaku di mana-mana sahaja dengan kehendak-Nya.

* Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah Ketua Komunikasi Korporat FSPU UiTM Shah Alam

Klik di sini untuk terus membaca