SHAH ALAM - "Kita tidak kira orang itu pegawai atasan atau bukan. Siasatan tetap dilakukan tanpa kompromi." ”Demikian penegasan dan peringatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - "Kita tidak kira orang itu pegawai atasan atau bukan. Siasatan tetap dilakukan tanpa kompromi."

”Demikian penegasan dan peringatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad yang memberi amaran kepada semua pegawai dan anggota pasukan Sang Saka Biru agar tidak terlibat dengan salah laku, dadah, rasuah apatah lagi kegiatan jenayah (23).

Menurut Azri, statistik yang direkodkan pihaknya bagi tempoh tahun 2019 hingga Oktober tahun ini, seramai 4,347 pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis telah dijatuhi hukum atas pelbagai kesalahan.

"Mengikut pecahan tahunan, pada tahun 2019 ada 1,503 orang iaitu kesalahan salah laku (1,358), dadah (65), syariah (39), rasuah (12) dan jenayah (29).

"Pada tahun 2020 seramai 1,540 pegawai kanan dan pegawai rendah telah dijatuhi hukum melibatkan kesalahan salah laku (1,394), dadah (77), syariah (39), rasuah (8) dan jenayah (22).

"Seterusnya pada tahun 2021 setakat Oktober seramai 1,304 pegawai kanan dan pegawai rendah telah dijatuhi hukum melibatkan kesalahan salah laku (1,154), dadah (71), syariah (38), rasuah (18) dan jenayah (23),” katanya dalam wawancara eksklusif bersama kru Rasuah Busters di Bukit Aman baru-baru ini.

Azri memberitahu, setiap dakwaan kesalahan yang dilakukan warga PDRM akan disiasat untuk memastikan sejauh mana kesahihannya.

Seorang inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka pada 20 April 2021 atas dua pertuduhan menerima suapan bagi menyelesaikan kes daun ketum dan rokok seludup, dua tahun lalu.

"Kita akan siasat untuk pastikan sejauh mana orang yang dituduh didapati bersalah dan itu bergantung kepada inkuiri polis yang dibuat sebelum dibawa ke pengetahuan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara dengan penyataan aduan salah laku terhadap pegawainya.

"Jika didapati serius, pihak berkuasa tatatertib akan melakukan siasatan lanjut dan akan memberi surat tunjuk sebab dan anggota terbabit diberi ruang untuk menjawab atas pertuduhan itu.

"Di peringkat itu sekiranya dia boleh jelaskan, itulah yang akan menentukan sama ada dia lepas pertuduhan atau tidak. Mereka ini diberi ruang untuk membersihkan nama dan tidak ada unsur kabel besar dan sebagainya,” tegasnya.

Jelas beliau, seseorang itu dilepaskan jika pertuduhan terhadap mereka adalah tidak tepat dan tidak benar.

"Seseorang itu tidak akan lepas sekiranya jawapan yang diberikan itu tidak melepaskan dirinya daripada pertuduhan,” katanya.

Mengulas mengenai surat tohmahan, tambah Azri, pihaknya tidak sewenang-wenangnya menyiasat perkara itu.

"Bila kita terima maklumat salah laku, tapi maklumat tidak lengkap dan tidak ada penama yang bertanggungjawab ini menyusahkan kerana setiap siasatan memerlukan petugas dan sumber untuk digerakkan bagi memastikan dakwaan itu benar atau tidak.

"Kalau kita menyiasat tidak tentu hala berapa kos yang perlu dipertimbangkan. Bila kertas siasatan dibuka, ia akan menjejaskan peluang seseorang pegawai atau anggota yang ditohmah. Kita perlu bertindak adil,” jelasnya.

Tambah Azri lagi, setiap laporan polis melibatkan perlakuan jenayah yang diterima pihaknya tidak akan dipadamkan kerana siasatan perlu dibawa ke pihak timbalan pendakwa raya (TPR) untuk menilai siasatan yang dibuat sehingga TPR berpuas hati.

Jelasnya, ini bukan keputusan pihak polis.

"Dapatan siasatan dibuat sehinggalah TPR berpuas hati sebelum keputusan sama pertuduhan di mahkamah atau NFA (tiada tindakan lanjut). Keputusan ini dibuat oleh TPR, bukan polis yang buat keputusan.

"Laporan polis yang dibuat akan dibuka untuk tindakan sehingga diputuskan oleh TPR.

"Bagi kes jenayah misalnya. Kertas siasatan jenayah tetap akan dibuka dan pada masa sama selari dengan kertas siasatan tatatertib oleh pihaknya. Saya harap penjelasan saya dapat difahami,” katanya.

376 PEGAWAI, ANGGOTA DIBUANG KERJA

Ujar beliau, tindakan dibuang kerja dilakukan apabila seseorang pegawai atau anggota itu didapati bersalah di mahkamah dan dikenakan tindakan penjara serta denda.

Katanya, berdasarkan rangkuman statistik bagi tempoh 2019 hingga Oktober tahun 2021, seramai 376 pegawai dan anggota PDRM telah dikenakan tindakan buang kerja.

"Jika dilihat pada statistik ini, pecahan mengikut hukuman buang kerja disebabkan kesalahan jenayah, rasuah, dadah dan salah laku,” katanya.

Tambah Azri, bagi tahun 2019, seramai 147 subjek telah dibuang kerja, tahun 2020 pula seramai 135 subjek manakala tahun ini seramai 94 orang.

TIDAK BOLEH BERLAPANG DADA

Tambah beliau, berdasarkan jumlah kes, statistik dan peratusan kesalahan itu, ia masih dalam keadaan terkawal.

Pada tahun 2019, menurut beliau, hanya 1.24 peratus dijatuhkan hukuman dan pada tahun berikutnya ada 1.3 peratus, manakala pada tahun ini pula setakat Oktober ada 1.08 peratus daripada jumlah kekuatan semasa pasukan PDRM setiap tahun.

"Namun, saya tidak boleh berlapang dada atau syok sendiri. Tidak! Saya lebih khuatir kerana saya mengandaikan kesalahan itu satu terkesan dan empat lagi tidak terkesan.

"Kita jangan berpuas hati dan usaha ke arah untuk pastikan pematuhan itu sentiasa terus dilaksanakan.

"JIPS ada pasukan untuk memastikan pelaksanaan tugas setiap pegawai dan anggota melakukan tugas dengan baik.

"Kita berusaha menimbulkan kesedaran dengan melaksanakan aktiviti keagamaan selain pelaksanaan Pelan Antirasuah PDRM 2020-2024 yang menjadi usaha polis dalam membanteras isu salah laku dalam kalangan warga pasukan,” katanya.

Jelas Azri lagi, Pelan Antirasuah PDRM yang dilancarkan pada tahun lalu itu akan dapat mencapai matlamatnya.

"Apabila kita mengatakan kita sakit, inilah ubat yang terbaik. Maksud saya, pelan ini yang kita gubal dengan mengambil kira isu semasa yang memperlihatkan masalah governans, integriti dan isu rasuah dalam PDRM. Kita setuju ini sakit kita dan ubat yang telah dibancuh dan dimakan,” tegas beliau.

MASUK POLIS BUKAN PILIHAN KERJAYA TERAKHIR

"MASUK polis bukan kerana sebagai pilihan terakhir selepas tiada kerja” Itu ketegasan yang dilemparkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad kerana menganggap kerjaya kepolisan perlulah dilaksanakan dengan penuh beramanah, bertanggungjawab dan berintegriti.

Menurut beliau, JIPS adalah salah satu daripada 10 jabatan yang ada dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"JIPS ini berperanan sebagai peneraju untuk menaikkan mutu integriti dalam PDRM. Cawangan yang ada dalam jabatan ini berperanan untuk memastikan penugasan warga PDRM berada di tahap terbaik.

"Sebab itu saya kata, masuk polis tujuan utama bukanlah sebagai pilihan terakhir kerana tiada kerja lain. Bukan fikir hanya hendak gaji hingga lakukan benda tidak betul seperti ‘pau’, peras ugut dan lain-lain.

"Pastikan mereka yang masuk polis itu betul-betul mahu berkhidmat dengan menyumbang jasa dalam pasukan, bukannya pilihan terakhir. Ingatlah ikrar dalam polis," katanya.

Tegas beliau, adalah amat dibimbangi sekiranya kerjaya ini dijadikan pilihan akhir.

Ujarnya, setiap pegawai atau anggota yang telah tamat latihan untuk diserap ke dalam pasukan ibarat 'kain putih'. Apabila seseorang itu gagal kawal diri sudah tentu mereka akan terdedah dengan unsur tidak sihat.

"Masuk polis adalah untuk lindungi masyarakat, bukannya terlibat dengan jenayah dan bermacam salah laku. Itu yang pentingnya niat mengapa kita masuk polis dan kita tidak mahu tugasan kerja yang dilakukan nanti dibuat sambil lewa," katanya.

Menurutnya, terdapat enam cawangan di dalam JIPS antaranya cawangan pematuhan yang akan memastikan setiap prosedur dipatuhi walaupun ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagi tempoh 2019 hingga Oktober 2021, seramai 376 pegawai dan anggota PDRM dibuang kerja."

Klik di sini untuk terus membaca