KEBELAKANGAN ini kita dapat menyaksikan bagaimana budaya mengagungkan dan menyokong orang yang terpalit dengan pelbagai tuduhan salah guna kuasa dan korupsi semakin menjadi-jadi.
Kita khuatir budaya ini jika berterusan akan menjadikan masyarakat kita sebagai masyarakat yang memuja individu yang terpalit dengan korupsi sebagai amalan yang betul.
Mungkin persepsi ini sudah tertanam di fikiran sebahagian daripada masyarakat maka sebab itulah ke mana sahaja tokoh-tokoh ini pergi mereka diraikan sebagai hero. Ini sebenarnya amatlah menakutkan dan membimbangkan.
Lebih dikhuatiri apabila ia diterima sebagai sesuatu yang ‘tidak apa’ di dalam masyarakat.
Dan jika tokoh berkenaan ada kemampuan menggemblengkan tenaga dan wang ringgit, sokongan masyarakat terhadap tokoh-tokoh ini akan menjadi sangat luar biasa jumlahnya dan mereka akan disambut bagaikan wira ke mana sahaja mereka pergi.
Dan kini kita sudah menyaksikan bagaimana tokoh-tokoh dalam institusi kerajaan turut menggunakan taktik yang sama untuk meraih sokongan.
Baru-baru ini dalam satu sidang akhbar yang diadakan oleh seorang penjawat awam dalam sebuah institusi penting kerajaan, kita dapat menyaksikan terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut hadir untuk memberi sokongan.
Sehari sebelum itu, pelbagai pihak termasuk pihak media menerima satu mesej yang menyeru agar sama-sama hadir dalam sidang akhbar tersebut sebagai tanda sokongan ke atas penjawat awam berkenaan.
SENTIMEN
Lebih membimbangkan ialah kehadiran NGO-NGO berkenaan yang sebelum ini belum pernah berlaku dalam sejarah mana-mana sidang akhbar oleh seorang penjawat awam boleh memberi isyarat yang salah terhadap masyarakat bahawa individu berkenaan perlu disokong atas nama seorang Melayu.
Kenapakah ini semua terjadi? Di manakah silapnya masyarakat kita hinggakan suasana menjadi sebegitu rupa.
Jawapannya mungkin ada kena mengena dengan amalan dan ajaran di peringkat rendah lagi.
Maka sebab itulah ada suara yang mahu subjek Rukun Negara diajar sebagai salah satu subjek utama di peringkat sekolah.
Di dalam Rukun Negara itu sendiri telah termaktub ciri-ciri yang diperlukan dalam masyarakat sebagai panduan hidup.
Rukun Negara dapat menanam sifat-sifat dan keluhuran yang diperlukan oleh setiap warga negara bagi membezakan mana yang betul dan mana yang salah untuk dijadikan pegangan dan panduan hidup.
Kita perlu mengembalikan semula nilai-nilai seperti mana yang pernah diamalkan oleh nenek moyang kita dahulu seperti misalnya bila melintas di hadapan orang tua, kita menunduk sambil menghulurkan tangan di hadapan mohon izin terlebih dahulu.
Amalan itu semua sudah tidak lagi dipraktikkan oleh generasi Melayu masa kini dan akan tiba waktu ia akan pupus dan dilupakan langsung sebagai satu amalan dalam kehidupan.
Kita bimbang, yang bakal menjadi amalan pada masa depan ialah mengagung-agungkan insan yang korup sebagai hero.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca