ABDALLA Hamdok nekad meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Ahad lalu, kira-kira enam minggu selepas beliau memeterai perjanjian bersama tentera Sudan untuk mengembalikan semula kedudukannya susulan insiden rampasan kuasa pada Oktober... Klik di sini untuk terus membaca

ABDALLA Hamdok nekad meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Ahad lalu, kira-kira enam minggu selepas beliau memeterai perjanjian bersama tentera Sudan untuk mengembalikan semula kedudukannya susulan insiden rampasan kuasa pada Oktober lalu.

Keputusan pengunduran itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di negara tersebut yang turut menyaksikan 60 penunjuk perasaan terkorban manakala ratusan lagi cedera dalam siri protes menentang pemerintahan junta tentera.

Pada 21 November lalu, Abdalla, 66, kembali memegang jawatannya setelah mencapai persetujuan bersama ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan yang pada mulanya mengenakan tahanan rumah selama beberapa minggu ke atas beliau.

Namun, kesepakatan itu dibantah tokoh politik dan kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi yang turut menyebabkan puluhan ribu peserta protes membanjiri laluan utama seluruh negara sambil melaungkan slogan menolak cubaan tentera untuk memperkukuhkan lagi cengkaman mereka di Khartoum.

Situasi yang semakin tegang menyebabkan Abdalla berada di dalam dilema kerana ada pihak yang menggelarnya sebagai boneka tentera Sudan hingga menyebabkan beliau perlu membuat keputusan yang tepat.

Menerusi ucapan ketika mengumumkan peletakan jawatannya, Abdalla memaklumkan beliau telah melakukan sehabis baik untuk mengelakkan negara itu terjerumus dalam kancah konflik yang semakin buruk.

"Usaha meredakan ketegangan gagal walaupun pelbagai usaha dibuat untuk mencapai kesepakatan.

"Sudan perlu mengadakan sesi dialog baharu untuk mendapatkan persetujuan terhadap piagam negara dan draf peta jalan untuk merealisasikan peralihan kuasa kepada pemerintahan awam,” ujarnya merujuk kepada krisis antara tentera dan orang awam yang masih berterusan hingga kini.

Hubungan Abdalla dengan tentera Sudan semakin tegang.

KEBUNTUAN POLITIK

Beberapa minggu sebelum beliau digulingkan pada 25 Oktober lalu, Abdalla mengakui cabaran dihadapi Khartoum akibat gelombang kebangkitan rakyat.

"Kita tidak boleh mengambil mudah dengan tahap kesabaran rakyat,” katanya.

Abdalla memberi amaran kebuntuan politik di negara itu berisiko menjadi krisis berterusan jika gagal mencari jalan penyelesaian.

"Negara ini sedang berdepan titik perubahan berbahaya yang boleh mengancam kelangsungan hidup melainkan ia segera diperbetulkan,” tegasnya.

Sebelum ini, Abdalla berulang kali menyatakan sokongan beliau terhadap peralihan kuasa kepada pemerintahan orang awam setelah ketegangan meningkat antara orang awam dan tentera berhubung isu perkongsian kuasa pada September lalu hingga menyebabkan beliau mengemukakan peta jalan keluar terhadap kemelut tersebut.

Pendiriannya turut mendapat sokongan majoriti rakyat malah peserta protes dilihat membawa potret Abdalla ketika menyertai demonstrasi antirampasan kuasa.

Teknokrat berpengalaman Abdalla yang dilahirkan di wilayah Kordofan pada 1956 mempunyai pengalaman lebih 30 tahun sebagai ahli ekonomi dan penganalisis dasar kanan yang mengkhusus dalam pembangunan seluruh Afrika.

Beliau memiliki ijazah sains daripada Universiti Khartoum dan ijazah kedoktoran dalam bidang ekonomi dari University of Manchester di Britain.

Pada 1981 hingga 1987, Abdalla memegang jawatan sebagai pegawai kanan di Kementerian Kewangan dan Perancangan Ekonomi di Khartoum sebelum membarisi kepimpinan di beberapa institusi termasuk Bank Pembangunan Afrika dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Afrika dan jawatan itu dipegang sejak November 2011.

Abdalla muncul sebagai pemimpin awam di Sudan setelah gelombang tunjuk perasaan yang menggulingkan bekas Presiden Omar al-Bashir yang ditahan tentera pada April 2019.

Ketika itu, beliau berada di luar Khartoum dan tidak terlibat secara langsung dalam gerakan protes tersebut, namun pelantikan teknokrat itu sebagai Perdana Menteri ke-15 Sudan oleh Majlis Kedaulatan Sudan pada Ogos 2019 disokong rakyat dan komuniti antarabangsa.

Beliau berdepan cabaran besar untuk memulihkan semula krisis politik dan kegawatan ekonomi serta membangunkan semula sektor perbankan yang berada di ambang kejatuhan.

Pada masa itu, Abdalla menggunakan pengalamannya dalam beberapa inisiatif pembangunan keamanan Afrika apabila Sudan menandatangani perjanjian bersama kumpulan pemberontak pada Oktober 2020 untuk menamatkan pertempuran di wilayah Darfur, Kordofan dan Nil Biru.

REFORMASI EKONOMI

Sejurus memegang peranan sebagai perdana menteri, Abdalla turut menggariskan keutamaan beliau termasuk menyelesaikan krisis ekonomi, menangani beban hutang awam dan mencapai keamanan di negara yang telah sekian lama dilanda konflik dek perang saudara.

Usahanya bermula dengan rundingan bersama Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia untuk membincangkan penstrukturan semula hutang Sudan.

Abdalla juga berunding bersama Amerika Syarikat (AS) untuk meminta Khartoum dikeluarkan daripada senarai ‘negara penaja keganasan’ yang telah menyebabkan Sudan diasingkan daripada sistem kewangan antarabangsa sejak 1993.

Usaha beliau membuahkan hasil apabila Sudan tidak lagi berada dalam senarai tersebut pada 2020.

Di bawah kepimpinannya juga, IMF menerima Sudan di bawah Inisiatif Negara Miskin Berhutang Tinggi (HIPC) berdasarkan komitmen negara itu terhadap pembaharuan makroekonomi sekali gus mengurangkan beban hutang Khartoum kepada lebih AS$56 bilion (RM236 bilion) selain akses kepada dana baharu.

Beliau turut mempromosikan reformasi ekonomi termasuk membatalkan subsidi bahan api yang menelan kos berbilion dolar pada setiap tahun dan penurunan serta pengapungan nilai mata wang. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca