SHAH ALAM - Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berpaling tadah dengan menyertai parti baharu iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM) didakwa berbuat demikian kerana kecewa tidak dapat ‘habuan’ seperti yang diharapkan. Ahli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berpaling tadah dengan menyertai parti baharu iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM) didakwa berbuat demikian kerana kecewa tidak dapat ‘habuan’ seperti yang diharapkan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, tindakan pemimpin itu langsung tidak memberikan kesan kepada Bersatu memandangkan mereka yang terlibat hanya mencari peluang untuk mendapatkan kuasa.

"Bersatu tiada isu dalaman kerana yang pergi ke parti baharu itu ialah sebahagian daripada serpihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengikut jejak Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan Zuraida (Datuk Zuraida Kamaruddin).

"Apabila mereka tidak dapat habuan sebagaimana yang mereka harapkan, itulah jadinya. Pada saya, ia bukanlah masalah dalaman Bersatu tapi masalah sikap perjuangan sebahagian ahli parti. Kita tiada halangan jika mereka nak keluar parti,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah hak masing-masing untuk meninggalkan parti dan menubuhkan mana-mana parti lain.

"Saya orang lama dalam Bersatu, daripada peringkat penubuhan sampailah sekarang. Saya rasa, itu hak mereka kalau hendak menubuhkan parti baharu. Tapi, alasan yang saya nampak hanyalah kerana mereka tidak berpuas hati sesama mereka.

"Saya lihat yang masuk ke parti baharu ini, tiada dalam kalangan ahli Bersatu yang asal. Semuanya serpihan PKR. Kita reda sahaja,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Razali juga berkata, tidak timbul isu membawa perkara itu ke Lembaga Disiplin Bersatu kerana apabila mana-mana ahli menyertai parti lain, secara automatik keahliannya dalam Bersatu akan gugur.

Katanya, tindakan ahli-ahli yang berpaling tadah ini tidak merencatkan agenda parti kerana Bersatu mempunyai struktur yang tersendiri.

"Mereka yang keluar parti juga bukanlah daripada kalangan ketua bahagian tapi wakil rakyat yang sudah menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Kalau dia daripada kalangan ketua bahagian, ia boleh dikatakan kerosakan dalaman.

Ditanya desas-desus Mohamed Azmin dan Zuraida yang juga Ahli MPT Bersatu menyertai PBM, beliau bagaimanapun enggan mengulas.

Ujar beliau, ia spekulasi untuk membuatkan pimpinan Bersatu bergaduh sesama sendiri.

Klik di sini untuk terus membaca