SHAH ALAM - Sebilangan besar agensi kerajaan seolah-olah 'kebal' dan tidak menghiraukan dakwaan salah laku melibatkan pengurusan tertinggi mereka disebabkan kerajaan yang wujud pada hari ini adalah lemah dan tidak mendapat mandat rakyat.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebilangan besar agensi kerajaan seolah-olah 'kebal' dan tidak menghiraukan dakwaan salah laku melibatkan pengurusan tertinggi mereka disebabkan kerajaan yang wujud pada hari ini adalah lemah dan tidak mendapat mandat rakyat.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, apabila sebuah kerajaan itu menerima sokongan 'rojak' parti politik untuk sekadar kekal berkuasa, Perdana Menteri dipilih akhirnya tiada keupayaan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana agensi, pegawai kerajaan atau ahli politik yang didakwa terlibat salah laku.

Jelas beliau, masalah itu sudah berlarutan sejak peristiwa Langkah Sheraton dengan mana-mana agensi kerajaan yang bermasalah tidak dapat diambil tindakan disebabkan kebimbangan sokongan terhadap kerajaan ditarik balik.

Lantas Mohd Zaid mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu segera mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat supaya krisis berkenaan dapat berakhir.

Ujar beliau, pelaksanaan PRU15 sahaja merupakan jalan keluar terbaik untuk membolehkan kerajaan menyelesaikan kekusutan isu salah laku mana-mana pemimpin tertinggi dalam sebuah agensi kerajaan dengan pantas dan proaktif.

"Di negara luar pun, apabila peristiwa seakan-akan Langkah Sheraton berlaku, mereka tidak teragak-agak untuk melaksanakan pilihan raya umum walaupun negara masing-masing pada ketika itu masih terbelenggu dengan pandemik Covid-19.

"Isu pelaksanaan segera PRU15 bukan perkara main-main kerana rakyat tidak mahu kerajaan yang tertubuh adalah lemah yang akhirnya diambil kesempatan oleh pihak tertentu dalam kerajaan sendiri," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Ismail Sabri dalam sidang medianya pada Sabtu yang menegaskan kerajaan tidak akan berdiam diri berhubung isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Walaupun beliau menegaskan kerajaan tidak akan campur tangan dalam kes siasatan pembelian saham melibatkan Azam, Naib Presiden UMNO itu berkata kerajaan memberi ruang kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan polis untuk melaksanakan siasatan berkenaan.

MOHD ZAID

Pada Rabu, Azam menyatakan adiknya, Nasir Baki menggunakan akaun pemilikan saham miliknya untuk membeli jutaan saham daripada syarikat milikan awam sekitar tahun 2015 hingga 2016.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd pada 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Selain itu, Azam juga dikatakan memiliki 1,930,000 saham dalam Gets Global Bhd pada tahun 2015.

Berikutan itu, Azam turut menegaskan saham syarikat yang dibeli tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM selain memaklumkan saham itu kemudiannya dipindahkan kepada adiknya.

DR SALLEH

Dalam pada itu, pakar undang-undang, Profesor Datuk Dr Salleh Buang memberi pandangan berbeza dengan menegaskan isu siasatan kes pemilikan saham dikaitkan Azam biarlah dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) terlebih dahulu.

"Memandangkan kes Azam melibatkan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, maka semua pihak perlu memberi ruang kepada SC untuk membuat siasatan awal.

"Sekiranya wujud kesalahan atau pelanggaran akta membabitkan bidang kuasa SC, barulah kes itu wajar disambung siasatan oleh pihak berkuasa lain seperti polis.

"Tidak sesuai sekiranya kesemua badan bertanggungjawab diminta menyiasat kes Azam secara serentak kerana dibimbangi akan berlaku pertindihan kuasa atau laporan kesalahan. Jika ada keperluan untuk melakukan siasatan serentak, sebaik-baiknya wujudkan satu suruhanjaya siasatan bebas," katanya lagi.

Di sebalik saranan itu, Salleh mengajak semua pihak untuk tidak membuat sebarang prasangka atau pengadilan awal terhadap Azam memandangkan bos SPRM itu bukan sahaja belum lagi disabitkan kesalahan, bahkan siasatan awal terhadapnya baru sahaja berjalan.

"Ada juga kemungkinan laporan aduan salah laku dikemukakan ke atas Azam adalah agenda pihak tertentu untuk menjatuhkan beliau adalah benar, itu kita masih belum tahu.

"Paling penting, semua pihak kena beri kepercayaan kepada SC untuk membuat siasatan awal dan sekiranya wujud kebenaran salah laku daripada siasatan itu, terserah kepada Perdana Menteri untuk rehatkan atau gantung segera tugas Azam,"katanya.

Klik di sini untuk terus membaca