PADA 7 Januari yang lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah meneruskan kesinambungan latihan kesiagaan yang dilaksanakan secara berkala menerusi Latihan Perang Pangkor siri 1/22 yang direalisasikan oleh Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB). Ia dilaksana sekitar perairan Selat Melaka. Latihan meliputi aspek navigasi, komunikasi, ilmu kelautan dan peperangan.
Secara amnya apa yang dilaksanakan oleh TLDM dalam mengadakan latihan berkala seperti Perang Pangkor dan Taming Sari adalah sesuatu yang mesti terus dilaksanakan demi mengekalkan daya operasi platform permukaan dan kecekapan warganya dalam mengendalikan pelbagai sistem persenjataan moden.
Dengan jumlah keanggotaan yang dianggarkan 15,000 pegawai dan anggota, tugas memberi latihan sehingga warganya dapat menguasai bidang masing-masing khususnya ilmu perang maritim adalah sesuatu yang bukan mudah. Ini bukan bermaksud kualiti pegawai dan anggota TLDM berada pada tahap meragukan atau tidak mampu menguasai ilmu perang laut moden yang kini lebih banyak tertumpu pada kemahiran elektronik. Apa yang mungkin menghindari mereka dari penguasaan ilmu ini boleh dikaitkan dengan kekurangan platform permukaan yang jika tidak ditangani segera akan memberi impak lebih buruk.
Seperti yang diketahui umum, TLDM adalah antara yang paling terkesan sekiranya berlaku gangguan atau kelewatan perolehan platform utamanya iaitu platform kapal permukaan. Ini kerana sifat platform kapal permukaan yang unik, berbeza dengan kereta kebal tentera darat atau pesawat tentera udara.
Contohnya kereta kebal utama Pendekar mempunyai tiga kru manakala pesawat Sukhoi miliki dua juruterbang. Ini dibandingkan dengan anak kapal KD Lekir seramai 179 pegawai dan anggota, manakala KD Jebat seramai 164. Ini bermakna setiap kapal utama memerlukan sejumlah kru yang ramai untuk mengoperasinya dan setiap individu mempunyai peranan khusus bagi memastikan kapal dapat dioperasi dengan efisien dan efektif dalam semua keadaan.
Untuk mencapai tahap kecekapan pengoperasian sedemikian, anak kapal perlu mengadakan kekerapan latihan berkala yang berkesan. Ini boleh dilaksanakan menggunakan simulasi di daratan menggunakan simulator, namun teknologi ini masih belum mampu menggantikan pengalaman di atas geladak platform yang berada di samudera.
Sebagai sebuah platform permukaan moden, kesemua kru perlu memiliki kemahiran tinggi kerana kemusnahan kapal akibat kemalangan pada waktu aman atau dalam konflik bersenjata bakal mengakibatkan kemalangan nyawa yang bukan sedikit. Pada 21 Ogos 2017, sebuah kapal pemusnah peluru berpandu atau guided-missile destroyer tentera laut Amerika Syarikat, USS John S McCain telah melanggar kapal komersial Alnic MC di luar pesisir Singapura. Kemalangan ini telah menyebabkan 10 anak kapal tentera laut Amerika terkorban selain kerosakan teruk pada kapal.
Hampir dua tahun kemudian, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat atau National Transportation Safety Board (NTSB) mengeluarkan kenyataan bahawa pelanggaran adalah akibat dari latihan yang tidak mencukupi serta prosedur operasi standard anjungan yang tidak lengkap oleh pihak tentera laut.
Lebih mengejutkan ialah anak kapal yang mengendalikan sistem kawalan haluan kapal mengakui bahawa beliau hanya diberi latihan menggunakan sistem kawalan yang menggunakan paparan skrin sesentuh dalam tempoh hanya sejam menggunakan simulator selain hanya diberi manual bercetak!
Kita tidak mahu keadaan atau kekurangan latihan sedemikian berlaku pada TLDM. Keupayaan TLDM untuk memberikan latihan kepada pegawai dan anak kapal bagi mendapatkan kemahiran ilmu peperangan maritim sebenarnya banyak bergantung kepada jumlah platform yang dapat diguna pakai bagi tujuan latihan dan juga pengalaman hakiki.
Mungkin ada yang akan bersuara bahawa menggunakan simulator adalah latihan yang memadai dan menjimatkan kos. Hairannya kenapa juruterbang tempur tidak pernah dikira kemampuannya walau beribu jam menang bertempur dalam simulator, malah masih dinilai prestasinya dengan ‘jam penerbangan’ hakiki.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007
Klik di sini untuk terus membaca