SHAH ALAM - Majoriti rakyat bersetuju bahawa sekatan pergerakan atau ‘lockdown’ bukan pilihan yang terbaik untuk dilaksanakan kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19. Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Marzuki Isahak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Majoriti rakyat bersetuju bahawa sekatan pergerakan atau ‘lockdown’ bukan pilihan yang terbaik untuk dilaksanakan kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr Marzuki Isahak berkata, ia memandangkan Covid-19 sudah tersebar ke seluruh dunia dan bagi mengurangkan impak tersebut, strategi mitigasi dilakukan, yang mana sekatan pergerakan bukan salah satu daripada tindakan intervensi yang terbaik.

Malah katanya, sukar untuk melaksanakan strategi membendung kerana selain memerlukan banyak tenaga, ia juga memakan kos yang sangat tinggi.

"Untuk mengawal wabak, ada dua tahap iaitu membendung dan mitigasi. Pembendungan ini sebagaimana yang kita laksanakan pada peringkat awal dahulu dengan mengenakan sekatan pergerakan untuk memastikan semua kontak dikuarantin.

"Tetapi selepas dua tahun berdepan dengan wabak ini, kerajaan perlu bergerak kepada pendekatan mitigasi kerana kita sudah tidak mampu (hadapinya) sebab ia sudah tersebar ke seluruh dunia.

"Justeru, saya sangat bersetuju apabila kerajaan melakukan mitigasi kerana kalau ada sebarang kes pun, tidak semestinya kerajaan perlu sekat perjalanan dan semuanya kerana ia memberikan impak besar kepada rakyat dan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat, Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia menjelaskan, pendekatan mitigasi yang dilakukan bukan bermakna kerajaan gagal mengawal wabak ini.

Ini kerana pendekatan sedemikian digunakan di kebanyakan negara di dunia, yang mana Malaysia ke arah mengawal jangkitan dan mengurangkan impak daripada jangkitan.

Malah katanya, banyak negara sudah beralih ke fasa endemik dan berada di fasa mitigasi, berbanding fasa pembendungan sebagaimana yang dilaksanakan di China.

"Apa yang kita perlu pastikan adalah kebolehupayaan hospital untuk menerima kes-kes yang teruk. Kalau itu kita berjaya laksanakannya, maknanya sistem kesihatan kita berjaya dan mampan.

"Tetapi dalam mengawal Covid-19 ini, ia bukannya terletak pada kerajaan sahaja. Kerajaan keluarkan polisi untuk diikuti oleh semua orang.

"Sekarang ini kita sudah beralih ke fasa mitigasi dan mungkin tidak lama lagi beralih ke fasa endemik. Bila kita masuk fasa endemik, maka tidak perlu lagi kita membuat sekatan pergerakan kerana ia memberikan impak yang sangat besar kepada rakyat dan ekonomi negara,” ujar beliau.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Ahad memberitahu, Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat sekiranya melaksanakan sekatan pergerakan untuk mengekang penularan Covid-19.

Sebaliknya beliau berkata, strategi kerajaan untuk menyekat penularan wabak tersebut adalah dengan melaksanakan strategi mitigasi.

ZERO COVID-19

Beliau berkata, tidak dinafikan pendekatan China yang melaksanakan sekatan pergerakan berkesan, namun strategi pembendungan atau ‘zero Covid’ bermaksud sekatan pergerakan penuh dilakukan bila ada hanya tiga kes positif.

Sementara itu, mahasiswa, Nadhirah Zainal, 20, turut berpandangan sekatan pergerakan bukanlah pilihan yang sesuai kerana ia memberikan kesan besar kepada seluruh rakyat, terutamanya melibatkan ekonomi.

"Memang jika sekatan pergerakan dilakukan, ia boleh mengurangkan kes tapi sampai bila kita perlu berdepan dengan sekatan sebegini. Sudah dua tahun kes Covid-19, saya tidak rasa rakyat mampu menanggung beban lebih lama.

"Pada masa ini, adalah lebih baik untuk kita tingkatkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan orang ramai mematuhinya,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah, Dr Mohd Shukri Baba, 50, turut sependapat dan berasakan sekatan pergerakan bukanlah pilihan tepat kerana ia akan menjejaskan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Katanya, terlalu ramai rakyat yang terkesan termasuk hilang pekerjaan disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan dan jika ia diteruskan, dibimbangi akan menimbulkan krisis yang lebih buruk pada masa akan datang.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya, Muhammad Salman Hakim Mahayidin, 22, berkata, strategi mitigasi yang dilaksanakan sekarang adalah yang terbaik.

Pelaksanaan sekatan pergerakan katanya, hanya akan membawa bencana yang lebih besar, terutamanya ekonomi kerana kebanyakan rakyat terjejas teruk sepanjang pandemik melanda dunia.

Klik di sini untuk terus membaca