PENGARUH perubahan iklim meningkatkan kekerapan dan keseriusan bencana alam di seluruh dunia, Malaysia tidak terkecuali. Laporan penilaian iklim dikeluarkan oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menjangkakan kesan perubahan iklim lebih drastik dengan bencana alam yang dahsyat akan berlaku lebih kerap.
Bencana banjir baru-baru ini membuka ruang kepada semua pihak tentang keperluan memperkasa sistem amaran awal bencana agar segala impak negatif dapat diminimumkan khususnya berkaitan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Sistem Amaran Awal Bencana adalah sistem yang memberi amaran awal kepada penduduk setempat terhadap kemungkinan berlakunya bencana. Dengan adanya sistem ini, penduduk mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menyelamatkan keluarga dan harta benda dari musibah yang bakal melanda.
Negara memerlukan ketepatan ramalan pada tahap lebih tinggi dari segi masa dan lokaliti kejadian banjir supaya dapat memberi amaran awal dan bukan berupa kajian selepas kejadian.
Pada masa ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mempunyai 247 stesen cuaca automatik dan 183 stesen pencerapan manual di seluruh negara untuk mencerap data meteorologi seperti hujan, suhu, arah dan kelajuan angin, kadar kelembapan dan tekanan udara agar kejadian bencana dapat dijangka dengan lebih awal dengan ketepatan melebihi 85 peratus sekali gus membantu dalam pengurusan bencana.
Bagi memberikan perkhidmatan lebih komprehensif berkaitan kejadian ribut petir dan hujan lebat, MetMalaysia juga mempunyai 11 unit stesen radar cuaca di seluruh negara yang berfungsi mengesan pembentukan awan hujan atau ribut petir dan mengeluarkan amaran bersesuaian.
Namun, dalam kes banjir baru-baru ini, walaupun wujud sistem amaran awal di kawasan berisiko tinggi di negara ini, namun ia ‘kurang berkesan’ dalam memberi amaran awal kepada masyarakat. Berkemungkinan ada antara sistem amaran sedia ada telah luput, usang dan rosak yang memerlukan penambahbaikan, penggantian segera atau ditukar kepada yang baharu berteraskan teknologi terkini yang lebih efisien.
Umumnya, pelbagai teknologi dan kaedah bagi menyampaikan amaran awal secara pantas dan terus kepada orang awam semudah penghantaran info berkaitan bencana di media sosial seperti WhatsApp atau Twitter, melalui media konvensional seperti radio, televisyen mahupun akhbar atau seringkas penggunaan siren. Semuanya mempunyai objektif yang sama, menyalurkan maklumat awal berkaitan bencana secara cepat dan tepat kepada masyarakat.
Bencana seperti banjir meninggalkan impak yang bukan sedikit. Banjir yang melanda beberapa negeri termasuk di Lembah Klang pada 18 Disember lalu dianggarkan mengakibatkan kerugian melebihi RM15 bilion kepada ekonomi negara.
Maka, sudah sampai masanya untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkenaan sistem amaran awal bencana dipergiatkan supaya ia dapat mengesan sebarang bencana dengan lebih baik, sebaiknya sebelum ia berlaku. Pada tahun 2016 lagi, Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, sudah tiba masanya sistem amaran awal banjir dikaji bagi memudahkan negara mengesan berlakunya bencana itu dan semua pihak bersedia lebih awal dengan pelbagai kemungkinan antaranya dalam mengatasi masalah yang dihadapi mangsa bencana alam.
Selain sistem amaran awal, soal kesiapsiagaan masyarakat dan pemetaan risiko bencana lebih komprehensif membabitkan pelbagai agensi turut perlu diambil kira. Kerajaan juga perlu mempunyai atau menambah baik prosedur operasi mengendalikan bencana dengan meningkatkan kerjasama dengan pihak-pihak yang berkenaan. Agensi berkaitan juga boleh mempelajari dan membandingkan kaedah-kaedah yang digunakan oleh Jepun, sebuah negara yang diakui mempunyai sistem amaran dan pengurusan bencana terbaik di dunia.
*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca